Artikel Popular

Tuesday, May 22, 2012

Keluar dari Afrika

RABU, 23 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Afrika, seperti yang dapat diteliti dan dihayati dalam buku Robert D. Kaplan, The Ends of the Earth:  A Journey  to the Frontiers of Anarchy dan The Coming Anarchy:  Shattering the Dreams of the Post Cold War, tidak mempunyai gambaran yang indah, juga seolah-olah tidak mempunyai masa depan.  Daripada keterhakisan wibawa kerajaan pusat dan  keruntuhan undang-undang kepada  stres alam sekitar dan kepadatan penduduk.  

Kemunduran, kemiskinan, kebuluran, wabak penyakit, dan peperangan serta kekacauan seolah-olah berakar umbi.   Penjajahan turut menyumbang kepada nasib malang, meskipun negara di benua itu kebanyakannya sudah lama mencapai kemerdekaan.  Penjajahan bukan sahaja menjarah segala kekayaan di Afrika, tetapi juga membantu memperkenalkan HIV di benua itu. Bagi negara di benua itu yang pernah dijajah oleh British, beribu-ribu dokumen telah dimusnahkan baru-baru ini.  

Namun, tatkala zon euro terus  bergelut dengan krisis dan boleh menjejaskan pemulihan ekonomi global, manakala   banyak negara di dunia terpaksa berhempas-pulas untuk mengejar pertumbuhan, diruncingkan lagi oleh ketidaksamaan pendapatan,  benua Afrika, seperti yang ditunjukkan oleh carta harian The Economist, mempunyai khabar gembira.  Sesuatu yang pernah dibayangkan selama ini, telah berlaku di benua itu apabila sepanjang lima tahun lalu, jumlah kematian kanak-kanak di bawah lima orang bagi setiap 1000 orang kanak-kanak yang dilahirkan hidup.  Kejatuhan jumlah kematian ini melibatkan 20 buah negara di benua itu.  


Sementara makalah The Economist membawa kisah baik untuk pembangunan di Afrika berhubung dengan kemerosotan yang besar dalam kematian kanak-kanak.  

Namun, The Atlantic melalui tulisan Howard W. French membawa sesuatu yang lebih memeranjatkan:  Asia seterusnya ialah Afrika yang mengalami pertumbuhan ekonomi yang pesat. Oleh sebab ekonomi berkembang, maka masyarakat juga berubah. 

Afrika, tulis French, dengan jumlah penduduk dijangkakan berlipat ganda pada pertengahan abad ini, dikenal pasti sebagai benua yang mengalami pertumbuhan penduduk yang pesat di dunia.  "Akan tetapi, kisah yang kurang diberitahu ialah ekonomi yang meningkat.  Pada dekad lalu, kadar pertumbuhan Afrika secara keseluruhan,  hampir menyamai Asia, dan menurut unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Afrika secara purata akan mempunyai ekonomi yang tumbuh dengan pesat di dunia berbanding dengan mana-mana benua sepanjang lima tahun akan datang." 

Tujuh daripada 10 ekonomi yang tumbuh dengan begitu ialah negara Afrika, jelas French.  Benua itu terkenal dengan kekayaan sumber, yang pasti membantu, tetapi beberapa kajian terkini menunjukkan bahawa pemacu utama yang amat kurang lazim untuk Afrika, dan amat menggalakkan untuk masa depan benua itu: perdagangan borong dan runcit, pengangkutan, telekomunikasi, dan pembuatan. 

Memetik laporan terkini yang dikeluarkan oleh Bank Pembangunan Afrika yang mengunjurkan bahawa pada tahun 2030, banyak negara Afrika akan mencapai majoriti kelas menengah rendah dan kelas menengah, dan perbelanjaan pengguna akan meledak daripada AS$680 bilion pada tahun 2008 kepada AS$2.2 trilion.  French juga memetik McKinsey and Co., bahawa Afrika telah pun mempunyai lebih banyak pengguna kelas menengah berbanding dengan India, yang mempunyai penduduk yang lebih banyak.  Demikian laporan terkini, "giliran Afrika" oleh  Goldman Sach.  

Walau bagaimanapun, dikhuatiri pertumbuhan ekonomi yang pesat boleh dibahayakan oleh ketidaksamaan pendapatan.  Meskipun berlaku krisis kewangan global, benua iotu tetap mencatatkan pertumbuhan yang pesat, tetapi hampir separuh penduduk Afrika masih berpendapatan kurang AS$1.25 sehari, demikian amaran yang diberikan oleh Africa Progress Panel yang dipetik oleh The Guardian.  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...