Artikel Popular

Tuesday, May 15, 2012

Kerugian Terbesar dalam Sejarah

SELASA, 15  Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Igauan ngeri keruntuhan Lehman Brothers pada September 2008 yang mengakibatkan dunia terjebak dalam krisis kewangan dan kemelesetan, dan akibat yang berentetan, banyak pemimpin yang tumbang, masih belum reda, kini  sekali lagi berlaku  "terlalu besar untuk gagal." 

Time NewsFeed menyenaraikan 10 kerugian terbesar dalam sejarah, termasuk yang terbaharu, JPMorgan Chase (JPM)  yang kerugian AS$2 bilion dalam masa enam minggu dalam perdagangan di London. Kesilapan perdagangan itu menyebabkan JPM kerugian berbilion-bilion di sana sini. Kerugian itu  terus  mendapat liputan meluas,  antaranya oleh Bloomberg dan Time.   Akibat kerugian,     ketua pelaburan JPM, Ina Drew meletakkan jawatan


Simon Johnson, ahli ekonomi, yang muncul dalam  saluran televisyen Bloomberg,  mendesak Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Jamie Dimon sepatutnya  meletakkan jawatan dalam keaiban. Walau bagaimanapun, Dimon mengakui bahawa beliau "dead wrong" untuk menolak kebimbangan berhubung perdagangan bank yang beliau terajui itu sebulan kerugian berlaku. 


Kerugian itu mendorong gesaan pengawasan  yang lebih ketat terhadap Wall Street, mencetuskan penyiasatan kawal selia di kedua-dua belah Atlantik dan melenyapkan AS$14 bilion nilai bank itu.  Agensi penarafan, Standard  Poor's menyemak semula tinjauannya terhadap bank itu daripada stabil kepada negatif dan Fitch Ratings  menurunkan grednya daripada A+ kepada AA-. 


Cerita mula tersebar pada bulan April bahawa peniaga JPM  di London dengan nama ringkas "London Whale" atau "Voldemort" mengambil pertaruhan yang besar dalam pasaran derivatif kredit. 


Fortune yang turut mengulas sebaik-baik berita diumumkan menganggap jumlah kerugian itu hanya permulaan,    Jamie Dimon gagal krisis pengurusan 101,  dan tidak ada kemenangan utama untuk  Peraturan Volcker. Tiba-tiba Peraturan Volcker yang diperkenalkan oleh Paul Volcker, bekas Pengerusi Rizab Persekutuan dan penasihat ekonomi Presiden Barack Obama, berhubung dengan pembaharuan kewangan meletup semula. 


Allan Sloan yang menulis dalam The Washington Post mengingatkan perlu segera menerima pakai Peraturan Volcker untuk menyekat perdagangan spekulatif oleh institusi yang memegang  deposit bank yang diinsuranskan secara persekutuan. Namun, beliau yakin JPM hanya berasa aib, tetapi tidak terancam.  Nyata bahawa kerugian JPM lebih besar daripada kos kawal selia kewangan.  "Pengajaran daripada kerugian JPM itu," bahas David Rohde dalam The Atlantic, "ialah pecahkan bank-bank besar."

Sesungguhnya, kerugian yang ditanggung oleh JPM, seperti yang dibahaskan Joe Klein, "mimpi buruk untuk Jamie Dimon" dan sebelum ini,  Klein mendakwa, "pencemaran moral" Dimon. Maksudnya, jika JPM jatuh muflis, Dimon mengharapkan pelan penyelamat daripada  kerajaan Amerika Syarikat, seperti yang pernah dilaksanakan ketika krisis kewangan tahun 2007-2008.  Dijangkakan JPM tidak memerlukan pelan penyelamat, tetapi jangan lupa bahawa Jared Berstein mengingatkan bahawa bank ini  untung semula banyak kena-mengena degnan A$95 bilion dalam dana pelan penyelamat.


Jamie Dimon pernah merupakan banker pilihan utama Barack Obama, penyokong besar kempen Presiden tahun 2008.  Akan tetapi, beliau menentang keras percubaan Obama untuk mengawal selia industri perbankan.  Dimon menggasak Paul Volcker, suara alasan sebenar, kerana mencadangkan cara untuk mengehadkan aktiviti bank-bank besar.  


Tatkala Dimon menjadi sasaran kritikan dan dihantui oleh igauan ngeri, Peter S.  Goodman mempunyai pendirian yang berbeza.  Beliau menyalahkan Barack Obama dan pembantunya Timothy Geithner, Setiausaha Pembendaharaan dan Larry Summer yang mempunyai pengalaman yang luas yang sepatutnya membolehkan mereka mengenal pasti bahaya membenarkan Wall Street meneruskan perniagaan derivatif bebas daripada kawal selia. 


Anehnya, ketika mendapat peluang terbuka untuk menyerang Obama berhubung dengan kegagalan JPM ini, Mitt Romney yang menggesa pemansuhan undang-undang peraturan kewangan Dodd-Frank,  tidak memberikan komen secara langsung sejak Dimon membuat pengumuman pada 10 Mei lalu.  Bahkan, beliau tidak mempedulikan pertanyaan wartawan berhubung dengan kerugian besar  JPM itu.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...