Artikel Popular

Thursday, May 10, 2012

Politik Perkahwinan Sejenis

KHAMIS, 10  Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Apabila Naib Presiden Amerika Syarikat, Joseph Biden mengatakan bahawa beliau "selesa dengan perkahwinan sejenis," maka perhatian tertumpu  pada Presiden Barack Obama, iaitu bagaimana pula pendirian beliau.  Penyokong hak gay dilaporkan ingin mendapatkan jawapan muktamad daripada Obama tentang perkahwinan sejenis selepas Joe Biden dan Setiausaha Pendidikan, Arne Duncan dalam wawancara televisyen yang berasingan menyatakan mereka menyokong perkahwinan gay.  Obama sebenarnya menyokong hak sama untuk golongan tersebut, tetapi tidak menyatakan sokongannya terhadap perkahwinan sejenis. 

Walau bagaimanapun, Presiden Obama tidak menunggu lama untuk melakukan kejutan politik  dengan  menyatakan bahawa beliau menyokong perkahwinan gay dengan berkata bahawa pasangan yang mempunyai jantina yang sama sepatutnya mempunyai hak untuk berkahwin. Beliau menyatakan pendirian yang dinanti-nantikan itu semasa diwawancara oleh Robin Roberts dari saluran televisyen ABC, iaitu  selepas North Carolina mengharamkan perkahwinan gay.  Keputusan negeri  itu  dianggap kemenangan untuk ketaksuban. Namun, ini tidak bermakna Obama berubah fikiran kerana beliau sememangnya menyokong perkahwinan sejenis.  

Sokongan Obama pada hari Rabu semalam mengambil pendirian berisiko, merupakan peristiwa penting untuk gerakan hak gay, yang pertama datangnya daripada Presiden dan merupakan angin buritan yang berkemungkinan terlalu kuat untuk Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat. 

Pendirian itu yang dialu-alukan oleh peguam cara, Ted Olson, seperti yang dilaporkan oleh The Daily Beast, dan Obama, bahas Andrew Sullivan, "melenyapkan ketakutan dan sanggup menerima akibat politik." Dengan memperlihatkan keberanian moral, beliau dijangkakan mengambil risiko politik, dan bahkan,  beliau  berkemungkinan dihukum oleh para pengundi kulit hitam.  Dari satu segi yang lain, oleh sebab Obama bukan Presiden kulit putih, maka beliau diperhatikan,  begitu cepat  menyokong perkahwinan gay yang selama ini tidak mampu dilaksanakan oleh Presiden Demokratik kulit putih. 

Namun, hujah Richard Socarides dalam The New Yorker, yang membangkitkan persoalan mengapa Obama tidak boleh tunggu, mengingatkan kesamaan perkahwinan menjadi ujian penting.  Presiden akan menghadapi pilihan raya semula dan meminta orang ramai mengundi beliau kerana kualiti kepimpinannya berbanding dengan Mitt Romney.  Sementara Ronald Brownstein yang muncul dalam The Atlantic menegaskan pengumumam Obama itu tidak membawa perubahan yang signifikan tahap sokongan kepada beliau pada tahun 2012, terutamanya apabila isu ekonomi adalah lebih penting.  Akan tetapi, pengumuman itu mungkin mencerminkan pemikiran kem Obama tentang kemungkinan komposisi sokongan terhadap beliau. 

Dengan menyatakan sokongannya sekarang, beliau  tidak dianggap sebagai orang yang terdesak berbanding  jika beliau menyatakan sokongan itu pada masa yang genting menjelang pilihan raya.  Lagipun, lebih baik beliau menyatakan sokongannya sekarang sebelum Romney mengasaknya ke segenap penjuru pada bulan November ini. Barack Obama pada hakikatnya memaksa pencabarnya, Mitt Romney melakukan penjajaran dengan penentang perkahwinan gay

Walau bagaimanapun, pihak Republikan menuduh bahawa dengan menyokong perkahwinan sejenis,  Obama bermain politik:  "Kami menyokong mengekalkan perkahwinan antara seorang lelaki dengan seorang wanita dan akan menentang  mana-mana usaha untuk mengubahnya."  Romney dalam respons menegaskan bahawa pendirian terhadap perkahwinan sejenis tidak berubah.  "Saya mempunyai pandangan yang sama tentang perkahwinan, seperti yang pernah tegaskan ketika saya menjadi gabenor.  Saya percaya bahawa perkahwinan ialah hubungan antara lelaki dengan wanita."  


Obama dituduh cuba menggunakan "perang budaya" untuk memesongkan para pengundi daripada ekonomi yang muram.  Namun, dalam wawancara dengan ABC itu beliau menjelaskan bahawa beliau tidak menghabiskan banyak masa dengan bercakap perkara itu kerana keutamaan beliau sekarang ialah memastikan kita mengembangkan ekonomi. 


M.S. yang menulis dalam The Economist mengulas bahawa sokongan itu baik untuk Obama, tetapi buruk untuk perkahwinan gay.  Pengumuman tersebut pastinya membantu, dan tidak menjejaskan usaha pemilihan semula Obama.  "Jumlah orang yang keluar mengundi akan meningkat; suara sokongan untuk Obama akan menjadi lebih tegas.  Wujud pertimbangan yang waras bahawa pendirian Obama untuk wawasan Amerika sangat berbeza daripada Mitt Romney.  Langkah itu mungkin membantu memilih semula Presiden yang menyokong perkahwinan gay."

Sementara perkahwinan sejenis diperhatikan  menjadi isu politik menjelang Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat, Wanita Pertama Perancis Valerie Trierweiler, yang pernah menjanda dua kali,  yang akan menggantikan Carla Bruni, hanya teman, dan bukannya isteri Francois Hollande. Dalam politik, apa-apa sahaja merupakan kemungkinan yang kadangkala tidak dapat dibayangkan oleh kebijakan konvensional.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...