Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Minyak sering dikaitkan dengan Timur Tengah yang mendorong Amerika Syarikat selalu menunggu peluang untuk campur tangan di wilayah itu. Negara lain yang turut memiliki sumber yang mencorakkan geopolitik ialah Venezuela dan Rusia. Tatkala kebangkitan rakyat berlaku di mana-mana sahaja berikutan Pemberontakan Arab, rejim yang negara mereka kaya dengan minyak dikatakan terselemat sekiranya harga minyak terus meningkat. Minyak juga mendorong kebangkitan kapitalisme negara, dan sesebuah terdorong untuk memiliknegarakan sumber ini, seperti yang dilakukan oleh Argentina baru-baru ini.
Juan Forero yang menulis dalam The Washington Post mendedahkan bahawa pusat graviti dalam dunia minyak beranjak ke negara-negara Amerika yang secara tradisional, tidak dikenali sebagai pengeluar tenaga ini. Berlaku perubahan yang cepat dari segi dinamik geopolitik tenaga dalam cara yang tidak didugakan hanya beberapa tahun lalu.
"Dari Kanada ke Colombia ke Brazil," tulis Forero, "pengeluaran minyak dan gas di Hemisfera Barat melambung, dengan Amerika Syarikat muncul kurang bergantung pada bekalan dari Timur Tengah yang tidak stabil. Pusat persamaan tenaga baru ini ialah Amerika Syarikat sendiri, yang pengeluaran menanjak naik dan kini mengeluarkan 1.7 juta tong lebih minyak bahan api cecair setiap hari berbanding dengan tahun 2005."
Beliau memetik Ruben Etcheverry, Ketua Eksekutif Gas and Oil of Neuquen, firma tenaga yang dimiliki negara yang mengatur kedudukannya untuk memajukan telaga minyak dan gas di Patagonia bahawa "Wujud pemain dan pemacu baru di dunia. Berlaku anjakan geopolitik baru, dan negara yang tidak pernah menyediakan minyak dan gas kini melakukannya."
Tanpa menafikan minyak yang dikeluarkan di negara Teluk Parsi, terutamanya Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu, Kuwait, dan Iraq akan kekal penting untuk gambaran tenaga dunia, Forero menegaskan bahawa Kanada, Brazil, dan Colombia, meningkatkan eksport ke Amerika Syarikat sebanyak 700,000 tong sehari pada tahun 2006 dan kini menyediakan hampir 3.4 juta tong sehari.
Enam negara Teluk Parsi menyediakan hanya 22 peratus daripada semua import Amerika Syarikat, manakala jiran-jiran Amerika Syarikat di Hemisfera Barat menyediakan lebih separuh, angka yang dipegang secara mantaf untuk bertahun-tahun kerana pengeluaran yang jatuh dalam kuasa minyak Venezuela adn Mexico, sumber itu dapat diperoleh di tempat lain.
No comments:
Post a Comment