Artikel Popular

Thursday, May 3, 2012

Gaji CEO Meningkat Berlipat Ganda

KHAMIS, 3 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Ekonomi Amerika Syarikat masih lemah, iaitu  pertumbuhan hanya 2.2 peratus pada suku pertama tahun 2012 dan kadar pengangguran masih tinggi,  8.2 peratus.  Perniagaan,  menurut kajian mengurangkan pengambilan pekerja pada bulan lalu. Pada tahun depan, Nouriel Roubini mengingatkan bahawa ekonomi negara itu dalam bahaya, iaitu pertumbuhan  perlahan kerana  upah yang beku  dan kebuntuan  Washington berhubung dengan dasar fiskal. 

Namun,  gaji ketua pegawai eksekutif (CEO) di negara itu, seperti yang dilaporkan oleh The Guardian,  meningkat sebanyak 15 peratus dalam tahun kedua kenaikan digit berganda. Akhbar itu memetik penyelidikan oleh GMI Ratings yang mendedahkan bahawa kenaikan harga saham membatu memacu kenaikan gaji  untuk CEO Amerika Syarikat secara purata pada tahun 2011, dengan purata pakej pampasan mencecah AS$5.8 juta. 

Zaman melambung yang dinikmati oleh CEO sangat berbeza dengan ekonomi secara keseluruhan, dengan upah pekerja hampir datar, atau sering disebut kebekuan upah.  Kajian pampasan yang dijalankan oleh Mercer mendapati bahawa majikan Amerika Syarikat merancang peningkatan purata dari segi gaji asas sebanyak tiga peratus pada tahu n 2012.  Inflasi kira-kira 2.7 peratus. 

Tahun lalu, lapor The Guardian lagi, biro bancian melaporkan bahawa pendapatan keluarga Amerika tipikal jatuh untuk tahun ketiga berturut-turut.  Pendapatan keluarga media pada tahun 2010 ialah AS$49,445, iaitu 7.1 peratus di bawah puncak pada tahun 1999 dan apabila diseleraskan dengan inflasi, kira-kira pada tahap yang kali terakhir dilihat pada tahun 1996.

Laporan setengah tahun GMI itu melihat urus janji gaji pada tahun 2011 untuk CEO di 817 buah syarikat.  Analisis penuh 3000 buah firma akan dapat diperoleh pada akhir tahun ini, maka masih terlalu awal untuk memberitahu sebenar-benarnya  betapa tahun 2011 menguntungkan, tetapi angka interim menunjukkan satu lagi tahun keemasan untuk bos atasan.

The Huffington Post yang turut memetik akhbar Britain itu, menegaskan bahawa gaji CEO meningkat 127 kali lebih pantas daripada gaji pekerja sepanjang 30 tahun lalu. Peningkatan ini selari dengan trend yang wujud tiga dekad lalu.  Upah CEO meningkat 725 peratus antara tahun 1978 hingga tahun 2011, manakala gaji pekerja yang hanya meningkat 5.7 peratus, menurut Economic Policy Institute. Ketidaksamaan pendapatan antara CEO dengan pekerja, meletup akibatnya, dengan CEO memperoleh pendapatan 209.4 kali lebih tinggi daripada pekerja, berbanding dengan 26.5 kali lebih pada tahun 1978, bermakna CEO membawa pulang peratusan yang sangat besar daripada keuntungan syarikat.

Pada akhir tahun lalu, The Guardian juga melaporkan bahawa  CEO Amerika Syarikat meningkat semula selepas dua tahun beku dan merosot.  Bos atasan Amerika menikmati peningkatan gaji antara 27 peratus hingga 40 peratus.  Gaji tertinggi eksekutif Amerika adalah lebih AS$145.2 juta, dan oleh sebab harga saham pulih di semua peringkat, maka nilai median keuntungan bos pada opsyen saham meningkat 70 peratus pada tahun 2010, daripada AS$950,400 kepada AS$1.3 juta. Berita ini muncul tatkala gerakan Menduduki Wall Street menarik perhatian Washington tentang pakej gaji yang dibayar terlalu tinggi terhadap orang Amerika. 


Ketamakan ahli korporat Amerika selalu mendapat liputan, baik sebelum, mahupun selepas krisis kewangan.  Baru-baru ini,  Los Angeles Times mendedahkan bahawa berdasarkan dokumen dalaman,  setahun  Lehman Brothers runtuh pada tahun 2008, menyebabkan ekonomi global jatuh bebas yang menggerunkan, firma Wall Street itu menganugerahkan hampir AS$700 juta kepada 50 orang elitnya. 


Yang jelas, ketidaksamaan pendapatan semakin ketara, atau menurut pemerhatian Michael D. Yates yang menulis dalam Monthly Review, "ketidaksamaan semakin meluas" yang membawa kepada kepupusan dan perkembangan golongan  kelas menengah di Amerika Syarikat. Namun,   Republikan menerusi dasar belanjawan,  "melancarkan peperangan  terhadap golongan miskin."  Sementara Mitt Romney bekas gabenor dan ahli korporat, yang merupakan kesayangan Wall Street,  enggan mendedahkan  cukai pendapatan sebelum tahun 2010.


Kenaikan gaji CEO secara berleluasa dan ketamakan golongan kaya memberikan kewajaran (juga keberangan) aktivis Menduduki Wall Street yang bertenaga semula, dan bahkan Noam Chomsky mencadangkan gerakan itu mengatur tindakan seterusnya. Seperti yang diketahui, Menduduki Wall Street menentang golongan satu peratus yang menguasai kekayaan negara, tetapi kini dikenal pasti, golongan 0.1 peratus yang kaya-raya, seperti Edward Conard, yang merupakan penderma terbesar untuk bakal calon Presiden Republikan, iaitu Mitt Romney.  


Gerakan yang kelihatan kurang bertenaga, dipersegarkan semula oleh Hari Pekerja baru-baru ini. Sementara   Presiden Barack Obama melalui temu bual dalam Rolling Stone, turut mendakapi Menduduki Wall Street.  Dengan pendedahan terbaharu tentang ketidaksamaan agihan pendapatan antara CEO dengan pekerja, pastinya hal ini meniupkan kekuatan kepada gerakan tersebut.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...