Artikel Popular

Sunday, May 20, 2012

Angela, "Padamu Kuletakkan Harapan"

AHAD, 20 Mei 2012 
Oleh: ZULKILI SALLEH 



Sejak sekian kali, iaitu sejak krisis melanda zon euro, harapan diletakkan pada Canselor Jerman Angela Merkel, yang pernah dibincangkan dalam blog ini sebelum ini.  Antara yang berbuih mulut mengharapkan beliau menyelamatkan zon euro  ialah hartawan George Soros beberapa tulisan beliau dan tatkala  beliau muncul dalam beberapa forum atau persidangan. Tulisan itu kini dibukukan dalam Financial Turmoil in Europe and The United States:  Essay

Namun, mungkin kerana hilang sabar melihat tindak-tanduk Merkel yang terhegeh-hegeh,  akhirnya Soros  bertelagah dengan beliau semasa Forum Ekonomi Dunia di Davos awal tahun ini. 


Tatkala krisis euro terus meruncing dan meletakkan Eropah dalam pencemaran moral,     harapan masih diberikan kepada Merkel untuk menyelamatkan euro.  Kali ini datangnya daripada Perdana Menteri British David Cameron bahawa hanya Merkel dapat menyelamatkan euro. Cameron mendesak Canselor Jerman itu supaya menyelamatkan Greece dan ekonomi lain di Eropah yang tenat atau menanggung risiko keruntuhan mata wang tunggal. Cameron menjelaskan harapan untuk menyelamatkan zon euro terletak pada Jerman yang ekonomi masih tumbuh dengan kukuh


Sebelum ini, Cameron memberikan kata dua kepada para pemimpin, sama ada "bertindak atau berpecah."  Bagi beliau, zon euro di persimpangan dan beliau akan melakukan apa-apa sahaja untuk melindungi negaranya. Campur tangan Cameron itu berlaku selepas  Sir Mervyn King, Gabenor Bank of England, melahirkan kekecewannya terhadap para pemimpin Eropah yang "sekadar menyepak tin-tin kosong di atas jalan." Kelemahan Eropah, iaitu di tengah-tengah risiko yang semakin meningkat Greece keluar, zon euro belum lagi menyatakan tugas menyelamatkan mata wang tunggal itu. Namun, bahas editorial The Guardian, "Britain dan zon euro, mengalami nasib yang sama seperti negara lain." Justeru, Cameron tidak perlu berlagak pandai dan menyibuk "menjaga tepi kain orang."  Cameron juga dikritik kerana cuba mengajar para pemimpin euro. 

Adakah Jerman ditakdirkan menyelamat euro?  Jeremy Warner membangkitkan persoalan seakan-akan membayangkan keraguan.  Pastinya, keraguan itu bukan sesuatu yang baru sama sekali.  Telah terbukti selama ini, Berlin "sejuk kaki" untuk  menyelamatkan zon euro.  Lebih-lebih lagi, dengan keputusan pilihan raya negeri di North-Rhine Westphalia yang  menghantar mesej ekonomi yang jelas kepada Merkel sebagai  tamparan terhadap langkah jimat-cermat yang beliau laksanakan apabila parti pimpinannya kalah teruk.   

Meskipun saku Jerman dalam, tidak wajar jika Berlin diminta menyelamatkan sesebuah negara di zon euro, terutamanya negara di pinggir yang menghadapi krisis.  Merkel dikatakan sejak awal lagi berhati-hati dalam menyelamatkan negara berkenaan kerana bimbang akan  kemungkinan tercetus   pemberontakan rakyatnya melalui peti undi - sesuatu yang beliau tidak sanggup hadapi. 

Lagipun, seperti yang dibahaskan oleh Fareed Zakaria dalam Time, kritikan terhadap Jerman dinyatakan  berlebih-lebihan, dan menegaskan Greece sepatutnya berterima kasih kepada negara itu.  "Pertimbangkan bahawa Jerman diminta mengambil wang pembayar cukainya dalam demokrasi dan menggunakan wang itu menyelamatkan negara, seperti Greece, yang bersalah kerana salah urus, daya saing yang lemah, dan fraud kewangan. Dan Jerman bersetuju.  Sebagai balasannya, Jerman disebut Nazi dalam akhbar Greece." 


Memang disedari  bahawa rakyat Greece dilontarkan dengan tohmohan yang tidak berasas, seperti malas, tetapi tidak wajar mereka menyalahkan segala-galanya terhadap pihak lain, terutamanya  Jerman.  Sesungguhnya, "lebih mudah menyalahkan Jerman, tetapi lebih  bijak belajari daripada mereka."  

Sementara itu, para pemimpin G-8 yang sedang bermesyuarat di Camp David,  didilaporkan terus mendesak Angela Merkel supaya lebih banyak memberikan sokongan terhadap negara zon euro yang bergelut dengan krisis. Presiden Barack Obama dan Perdana Menteri David Cameron dikatakan bertelagah dengan Canselor Angela Merkel mendesak beliau menentukan  laluan yang jelas untuk keluar Eropah keluar daripada krisis semasanya.  Jerman dikatakan terasing dalam mesyuarat itu.

Mahukah Angela Merkel melayan rayuan demi rayuan agar beliau menyelamatkan zon euro? Tanpa diragui bahawa negaranya mampu memikul tanggungjawab ini.  Namun, mahukah beliau menerima keberangan rakyatnya kerana asyik menyelamatkan negara zon euro?


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...