Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Semakin hari, semakin meruncing krisis zon euro. Kemungkinan Greece meninggalkan zon mata wang tunggal itu tidak dapat dielakkan lagi. Jika negara itu mengambil langkah demikian, kawasan euro dijangkakan semakin kuat. Walau bagaimanapun, Michael Sivy yang menulis dalam Time, mengingatkan bahawa tindakan Greece meninggalkan euro boleh membawa lebih banyak keterukan daripada yang dijangkakan.
Selain bergelut dengan krisis hutang, Greece juga menghadapi kemelesetan dan pengangguran yang tinggi. Greece dalam tahun kelima kemelesetan, menurut laporan Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan, mengalami penguncupan 5.3 peratus tahun ini dan 1.3 peratus pada tahun 2013, manakala pengangguran mencecah 21.7 peratus pada bulan Februari.
Greece, seperti yang sering diperkatakan, oleh sebab menganggotai zon euro, boleh menurunkan nilai mata wang bersama itu supaya dengan langkah tersebut, eksportnya lebih berdaya saing. Sebaliknya, menurut carta harian The Economist, Greece terpaksa menurunkan kadar pertukaran sebenar dengan memotong harga dan upah. Langkah ini terbukti merupakan proses yang menyakitkan.
Memetik tinjauan ekonomi terbaharu OECD, satu ukuran kemajuan, iaitu kos buruh unit adalah merosot dan akan terus merosot. Buruh yang murah sepatutnya menghasilkan barang murah, menjadikan eksport Greece lebih menarik untuk pembeli asing dan membantu menambahbaikkan defisit perdagangan.
No comments:
Post a Comment