Artikel Popular

Tuesday, October 23, 2012

Laluan ke 270: Nasional Lawan Negeri Berayun

SELASA, 23 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Menjelang debat terakhir Presiden yang berlangsung di Boca Raton, Florida, pagi ini (waktu Malaysia), tertumpu pada dasar luar  -  debat yang menentukan hidup mati calon, iaitu Presiden Barack Obama dan pencabarnya, Mitt Romney, satu demi satu tinjauan pendapat muncul untuk menyatakan siapa yang mendahului siapa.  Romney mula merapatkan jurang dan  diperhatikan masih mempunyai laluan untuk menang, tetapi Obama masih menguasai pertandingan negeri mengikut negeri untuk menguasai 270 undi badan perwakilan pemilih 

Tinjauan pendapat baru  Washington Times/Zogby yang melibatkan 800 orang  kemungkinan pengundi, Obama kini mendahului Romney dengan 50 peratus berbanding 47 peratus, tetapi para pengundi memberikan mesej yang bercampur-campur.  Sebaliknya, tinjauan pendapat Gallup yang mencetuskan kontroversi dan diragui,  menujukkan Romney mendahului Obama dengan enam   titik peratusan, iaitu 51 peratus berbanding 45 peratus.  Walau bagaimanapun, hujah Nate Cohn, dan Ezra Klein,  responden di Selatan menjejaskan kedudukan Obama di peringkat nasional.

Menjelang debat ketiga ini dan hanya dua minggu minggu sehingga Hari Pilihan Raya, Presiden Barack Obama dan Mitt Romney kini terikat di peringkat nasional, menurut tinjauan pendapat terbaharu The Wall Street Journal/NBC News.  Dalam kalangan kemungkinan pengundi, Obama dan Romney masing-masing memperoleh 47 peratus.  Obama, menurut tafsiran Nate Cohn, berdasarkan tinjauan pendapat itu, menghadapi kesukaran untuk memenangi golongan kemungkinan pengundi.

Sementara tinjauan pendapat penjejakan negeri medan pertempuran yang dijalankan oleh Politico/George Washington University menunjukkan Romney mula mendahului Obama, dengan 49 peratus berbanding 47 peratus. Sebaliknya, tinjauan pendapat CBS News/Quinnipiac University menunjukkan di Ohio,  Obama masih mendahului Romney dengan lima titik peratusan, walaupun margin ini berkurangan separuh sejak September. Obama mendahului Romney dengan 50 peratus berbanding 45 peratus dalam kalangan kemungkinan pengundi, jatuh daripada 53 peratus kepada 43 peratus kelebihan pada 26 September.

Perlumbaan di negeri berayun memperlihatkan Romney menguasai Florida dan North Carolina manakala New Hampshire, walaupun hanya mempunyai empat undi badan perwakilan pemilih, merupakan pertaruhan besar: menentukan kemenangan Presiden.  Walau bagaimanapun, dalam perlumbaan yang sengit ini, Ohio diperhatikan menentukan kemenangan Presiden yang kini menjadi rebutan sengit.

Berita buruk untuk Barack Obama kerana  dalam debat kedua yang berlangsung di Hempstead, New York,  tinjauan pendapat segera menyatakan beliau hanya menang tipis.   Namun, diakui bahawa sekurang-kurangnya, dengan kemenangan itu, beliau berjaya menyekat pendarahan teruk yang berlaku sejak debat pertama Presiden.  Tambahan pula, dalam debat Naib Presiden antara Joe Biden dengan Paul Ryan, Biden dikatakan berjaya menyekat jatuh bebas Obama.

Seperti yang dibahaskan oleh Nate Silver dalam FiveThirtyEight, wujud tanda kecil bahawa hal ini diterjemahkan ke dalam lantunan untuk Obama dalam tinjauan kepada dengan kepala menentang Mitt Romney.  Sebaliknya, perlumbaan Presiden mungkin memasuki tempoh yang stabil secara relatifnya.  Walau bagaimanapun, wujud   berita buruk untuk Romney juga, tegas Silver.  "Normal baru" kempen Presiden yang lebih memihak kepada beliau jika dibandingkan persekitaran sebelum debat pertama di Denver.  Namun, beliau ketinggalan dari satu segi, mungkin dengan dua titik peratusan, di negeri yang paling penting dalam badan perwakilan pemilih.

Silver meramalkan bahawa tidak berlaku perubahan penting sekali lagi pada hari Ahad, dengan Obama mengekalkan 67.6 peratus peluang untuk menang undi badan perwakilan pemilih, berbeza sedikit daripada 67.9 peratus yang beliau peroleh pada Jumaat dan Sabtu.  Dalam ramalan yang dikemaskinikan pada 21 Oktober, Obama dijangkakan memperoleh 288.0 badan perwakilan pemilih berbanding 250.0 untuk Romney.  Sementara The Economist, melalui negeri yang menjadi pertaruhan, menunjukkan bahawa Obama memperoleh 253 dan Romney memperoleh  191 undi badan perwakilan pemilih, manakala 94 merupakan perlumbaan sengit antara kedua-dua calon: Colorado, Iowa, Florida, Ohio,  Virginia, North Carolina, dan New Hampshire.

TPM dalam ramalan terbaharunya menjangkakan bahawa Obama memperoleh 271 berbanding 199 badan perwakilan pemilih untuk Romney, manakala 68 lagi menjadi rebutan yang disebut "lambung duit" yang terdiri daripada Colorado, Iowa, Virginia, Florida, dan memeranjatkan Arizona.  Jumlah yang sama diberikan oleh The Huffington Post kepada Obama, tetapi 191 badan perwakilan pemilih untuk Romney, manakala selebihnya, iaitu 76 ialah "lambung duit."  John Cassidy yang mengingatkan  loceng kecemasan kepada Obama, menjangkakan beliau memperoleh 277 badan perwakilan pemilih berbanding 235 untuk Romney, dan 26 "lambung duit," iaitu di Colorado dan New Hampshire.  

Meskipun rendah, iaitu sekadar melepasi garisan sempadan, jumlah tersebut cukup untuk Obama kekal dalam penggal kedua, dan kemungkinannya beliau akan memenangi beberapa negeri berayun, seperti Colorado, Iowa,  dan New Hampshire,  untuk melebarkan jarak. Yang menarik, Ohio tidak lagi dianggap negeri berayun, tetapi negeri yang memihak kepada Obama.

Walaupun sesetengah tinjauan pendapat menunjukkan bahawa Mitt Romney menguasai perlumbaan di peringkat nasional, di peringkat negeri berayun, secara keseluruhannya dikuasai oleh Barack Obama. Jika trend ini berterusan, tetapi  bergantung pada debat ketiga Presiden Obama dijangkakan memenangi perlumbaan untuk mendapatkan 270 undi badan perwakilan pemilih dengan kemungkinan tewas  undi popular.  Untuk ke destinasi itu, beliau diperhatikan mempunyai beberapa laluan alternatif.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...