Artikel Popular

Monday, October 29, 2012

Jalan Berlumuran Darah ke Arah Aparteid: Di Manakah Maharani Tanpa Pakaian?

ISNIN, 29 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pemimpin pseudodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi,  yang pada suatu ketika mempunyai peminat di seluruh dunia, termasuk di Malaysia, boleh tersenyum lebar kerana berjaya mencipta lawatan bersejarah, pertama ke Eropah, dan kemudian ke Amerika Syarikat.

Namun, kejayaan itu tidak dapat mengaburi mata antarabangsa kerana di Myanmar masih berlaku persengketaan etnik, iaitu pembunuhan yang berleluasa terhadap  orang Islam  minoriti, Rohingya.  Pada pertengahan bulan ini, Reuters melaporkan bahawa beribu-ribu sami Buddha berarak di dua buah kota terbesar Myanmar, menunjukkan bantahan mereka terhadap Pertubuhan Kerjasama Negara Islam (OIC), yang bercadang menubuhkan pejabat perhubungan di negeri Rakhine.

Dalam persengketaan terbaharu, menurut kerajaan Myanmar, 82 orang terbunuh di Rakhine, dan 2800 buah rumah dibakar.  Kedua-dua angka itu, hampir keseluruhannya dikurangkan anggaran.  Human Rights Watch, yang beribu pejabat di New York, yang memantau persengketaan itu menunjukkan pemusnahan oleh kebakaran pada 24 Oktober yang melibatkan kediaman orang Islam di kepulauan Kyauk Pyu.  Penduduk di kepulauan  dilaporkan melarikan diri, kebanyakannya melalui laut, ke ibu negeri, Sittwe. Di situ, kira-kira 75,000 orang, kebanyakan orang Islam Rohingya, ditempatkan di dalam kem yang menjelikkan untuk tujuan dipindahkan secara dalaman.

Banyan yang menulis dalam The Economist, mendedahkan bahawa Myanmar sedang menuju ke arah Aparteid dengan berlumuran darah.  Dan bahkan,  aktivis demokrasi di Yangon, enggan mengiktiraf orang Rohingya sebagai warganegara Myanmar, tegas Banyan.  "Aung San Suu Kyi, pemimpin pembangkang, berkata bahawa beliau tidak tahu, sama ada mereka ialah warganegara ataupun tidak."

Meskipun persengketaan etnik ini mengancam pembaharuan yang rapuh, seperti yang dibahaskan oleh Hannah Beech, pemimpin pembaharuan yang menjadi "budak mata biru" Barat, iaitu Suu Kyi, tetap memilih jalan selamat demi kelangsungan politiknya. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...