Artikel Popular

Tuesday, October 23, 2012

Kesan Debat Ketiga: Berapa Jauh Berapa Dalam?

SELASA, 23 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Berbulan-bulan kalaupun tidak bertahun-tahun, Presiden Barack Obama mempunyai kelebihan dari segi dasar luar berbanding dengan lawannya, Mitt Romney yang mempunyai kelebihan dari segi ekonomi.  Namun, serangan  di Benghazi yang  mengorbankan empat nyawa, sehingga mencetuskan kontroversimendedahkan kelemahan utama Obama, menurut pandangan para pengundi.  Sejak serangan 11 September itu yang diperburuk lagi prestasi buruk Obama dalam debat pertama Presiden di Denver, pada 3 Oktober, beliau kelihatan terhuyung-hayang dan menuju ke arah kekalahan. 

Jika tidak berlaku serangan yang semakin dipolitikkan oleh Republikan, dicampuradukkan dengan pendustaan,  pastinya Obama mempunyai perjalanan yang selesa ke Rumah Putih, dan pastinya beliau mempunyai laluan mudah dalam debat ketiga yang tertumpu pada dasar luar, terutamanya Timur Tengah.  Maka, dijangkakan bahawa beliau tidak dapat  meraih kemenangan besar, dan bahkan kemungkinan kalah dalam debat ketiga yang baru sahaja berlangsung di Boca Raton, Florida, meskipun kekalahan itu mungkin tidak seteruk kekalahan dalam debat yang pertama. 

Walau bagaimanapun, Obama memenangi debat tersebut, menurut tinjauan segera oleh CBS News dan CNN. "Obama menang pusingan tiga," isytihar Elspeth Reeve dalam The Atlantic Wire.  Debat dasar luar, kemenangan untuk Obama, tulis Lexington dalam The Economist.

Pastinya, debat terakhir  itu mengundang pelbagai tafsiran oleh cerdik pandai, lazimnya ditentukan oleh "di mana mereka duduk, di situ mereka berdiri," misalnya dikatakan bahawa  Obama  menang,  Romney tidak tumbang, walaupun jelas beliau, menurut Fred Kaplan, cuba mengelak, dan bersetuju dengan Obama dari segala segi.  Romney, bahkan, menurut pemerhatian  E.J. Dionne Jr.,  "naik ke pentas untuk bermain, dan bukannya untuk menang."  Romney tahu bahawa tidak ada jalan untuk beliau menang debat dasar luar, maka beliau tenggelam.

Debat Obama-Romney itu, seperti yang ditegaskan oleh Alex Roarty, berkemungkinan detik utama terakhir dalam kempenYang jelas, debat tersebut tidak mewujudkan "detik Gerald Ford" - memetik Amy Davidson yang menulis dalam New Yorker - majalah yang mengisytiharkan sokongan kepada Obama.  Atau menurut Dana Milbank, tidak benar-benar debat dasar luar kerana bercampur-aduk dengan dasar dalam negara yang dibangkitkan oleh kedua-dua calon. Khusus bagi bekas Gabenor itu, seperti yang dibahaskan oleh John Nichols, "dasar luar yang benar-benar asing bagi Romney."

Secara keseluruhanya, beberapa cerdik pandai, seperti David Corn, Alec MacGillis, Robert Wright, James Fallows, Andy BorowitzAlexander Burns, Ewen MacAskill, Robert Reich, Matt Zelller, Dan Balz dan David Nakamura, David Ignatius,  Eugene Robinson, Greg SargentHoward Kurtz,  Andrew Sullivan, Joe Klein,  dan Roger Simon,  dengan tegas menyataka bahawa Obama benar-benar terserlah dalam debat itu, jauh berbeza daripada lawannya, Romney. Jelas bahawa beliau mendahului Romney yang berjaya meletakkan lawannya dalam keadaan defensif.  Bahkan, ibu-ibu Walmart yang menyertai kumpulan fokus, dilaporkan memihak kepada Obama.

Namun, seperti yang dipersoalkan oleh Molly Ball, hanya dua minggu sebelum Hari Pilihan Raya, debat yang baik untuk Obama, tetapi dapatkah beliau menyekat Romney yangsemakin memperkukuh rentaknya?  Perkara yang hampir sama dibangkitkan oleh Michael Tomasky:  Obama menang, tetapi adakah kemenangan itu memberikan apa-apa kebaikan kepada beliau? Seperti yang ditegaskan oleh Gary Younge, sukar untuk membayangkan bahawa debat ini mengubah minda para pengundi.  Berhubung dengan perkara ini, Brian Montopoli yang menulis dalam CBS News berpendirian bahawa debat dasar luar tidak berkemungkinan mengubah banyak minda.

Sebelum debat ini berlangsung, Harry J. Enten mempersoalkan adakah debat ketiga Presiden ini membawa perubahan, sama ada untuk Obama ataupun Romney?  Enten juga mengingatkan bahawa Romney kekurangan laluan yang boleh laksana untuk untuk memperoleh 270 undi badan perwakilan  pemilih.  Meskipun beliau menguasai beberapa buah negeri berayun, beliau masih kekurangan undi yang diperlukan paling minimum, iaitu 270 badan perwakilan pemilih.

Namun, bagi Obama, setelah kalah teruk dalam debat pertama, kemudian berjaya disekat oleh Joe Biden daripada jatuh bebas dalam debat Naib Presiden, dan Obama sendiri menghentikan pendarahan berikutan kemenangan beliau dalam debat kedua, kemenangan debat terakhir membuktikan bahawa beliau masih menguasai dasar luar. Sekurang-kurangnya kemenangan beliau dalam debat kedua dan ketiga dapat mengobati kekalahan teruk dalam debat pertama. 

Walaupun kempen Romney memberikan tumpuan terhadap dasar luar sejak akhir-akhir ini, iaitu selepas serangan 11 September di Benghazi, debat terbaharu ini menyimpul  kukuh kedudukan Obama dalam bidang ini, yang jelas menunjukkan bahawa tidak mampu dicabar dan disaingi oleh Romney. Dengan demikian, ini membolehkan Obama memperkukuh kedudukannya di beberapa buah negeri berayun demi memastikan kemaraannya ke Rumah Putih dengan beberapa laluan alternatif di negeri berkenaan. 

Memandangkan masa semakin suntuk, sebarang kesilapan pastinya membawa padah yang sukar untuk dibaiki. 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...