Artikel Popular

Wednesday, October 3, 2012

Laluan Romney Semakin Sukar

RABU, 3 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada Disember 2011, seperti yang dicatatkan dengan jelas oleh Elspeth Reeve dalam The Atlantic Wire, pengurus kempen Obama, iaitu Jim Messina,  mengemukakan lima kemungkinan laluan untuk bosnya memperoleh 270 badan perwakilan pemilih yang diperlukan dan kesemua laluan itu kelihatan sukar.  Akan tetapi, 10 bulan kemudian dan banyak tinjauan pendapat akhir-akhir ini,  jelas Reeve, kesemua laluan itu kelihatan terlalu mudah, dengan memetik laporan  Associated Press bahawa kempen Obama mara sehingga ke Arizona - sesuatu yang tidak dapat difikirkan sebelum ini. Selepas mengimbas kembali tentang laluan sukar Obama, Reeve kemudiannya  menulis  dengan mengemukakan "lima teori mengapa Romney tidak menang."

Memang sebelum ini, bukan waktu  yang dinyatakan oleh Reeve, tetapi sejak Pilihan Raya Separuh Penggal 2010, yang menyaksikan Republikan menguasai semula Dewan Perwakilan dan mengurangkan bilangan kerusi majoriti Demokrat dalam Senat, bemakna bahawa laluan penggal kedua adalah sukar untuk Presiden Barack Obama.  Sesiapa sahaja calon Presiden daripada Republikan dijangkakan menempuh pelayaran tenang untuk ke Rumah Putih, "boleh pasang badan awal-awal lagi," dan mengarahkan pasukan peralihan bersiap sedia untuk mengambil alih Pentadbiran Obama.

Namun, kini segala-galanya memihak kepada Obama berbanding lawannya, Mitt Romney. Tinjauan pendapat  kebanyakannya menunjukkan Obama mendahului Romney, termasuk di negeri berayun, yang  alasannya  dibahaskan oleh Ronald Brownstein dalam The Atlantic  dan National Journal. Yang terbaharu, di New Hampshire, Obama didapati melebarkan jaraknya daripada saingan Romney, iaitu 54 peratus berbanding 39 peratus. Pihak Republikan sendiri mengakui bahawa di negeri berayun, Romney kini memikul tugas yang sukar.  Oleh sebab beliau menghadapi keadaan genting lagi runcing di negeri berkenaan, maka beliau dicadangkan agar memberikan tumpuan negeri penting, seperti Florida yang mempunyai 29 badan perwakilan pemilih dan melupakan Ohio.

Selain tinjauan pendapat yang menunjukkan Obama terus mara, meskipun perlumbaan sengit, sebelum debat Presiden pertama di Denver hari ini, 13 unjuran yang dilakukan oleh ahli sains politik, kebanyakannya memberikan kelebihan kepada Obama, meskipun keputusan itu bukan sebulat suara, menurut Dan Balz dalam The Washington Post.  

Beberapa hari sebelum debat Presiden pertama, John Cassidy meneliti peta Obama-Romney yang berubah menjadi biru.  Di  semua negeri yang menjadi saingan yang pilihan raya akan diputuskan, hujah Cassidy, kajian terbaharu menunjukkan Barack Obama melebarkan kemaraannya, bergerak pantas, atau menutup peluang Mitt Romney.  Dengan 270 undi dalam badan perwakilan pemilih yang diperlukan, unjuran berdasarkan tinjauan pendapat terbaharu menunjukkan Presiden akan menang sekurang-kurangnya 300 undi, dan kemungkinan lebih lagi.  "Peta tahun 2012," tulis James Hohmann dalam Politico, boleh menjadi deja vu untuk Obama, memetik anggaran bahawa beliau mungkin menang 350 badan perwakilan pemilih. 

Obama mempunyai kelebihan dalam kalangan pengundi wanita,  dengan 18 titik peratusan mengatasi Romney, iaitu 56 peratus berbanding 38 peratus, menurut kajian terbaharu Quinnipiac.  Sebaliknya, Romney menguasai pengundi lelaki, iaitu 52 peratus berbanding 42 peratus untuk Obama.  Dalam kalangan pengundi Latino pula, Obama jauh meninggalkan Romney, iaitu  44 titik peratusan,  menurut tinjauan pendapat CNN, "70 peratus yang menyokong Obama tahun ini."

Laluan untuk Romney menang semakin sempit. "Jika pilihan raya diadakan pada hari ini," isytihar Associated Press pada 30 September,  "Obama menang."  Lima minggu untuk Hari Pilihan Raya, Presiden Barack Obama mampu meraih 270 undi badan perwakilan pemilih yang diperlukan untuk menang penggal kedua. Sebaliknya,   laluan  Mitt Romney daripada Republikan untuk menang semakin sempit.  "Untuk mengatasi Obama, Romney menghadapi tugas sukar di hampir semua sembilan buah negeri  yang beliau dan Obama sedang bersaing sengit."  Bahkan,  Cenk Uygur  yang menulis dalam blogThe Huffington Post pergi lebih jauh, "pilihan raya ini berakhir,  Obama menang."

Sebenarnya,  peluang terbentang luas untuk dimanfaatkan oleh Romney, baik dari segi ekonomi mahupun  dasar luar, tetapi beliau, seperti yang dibahaskan oleh Michael Gerson dalam The Washington Post, "terpaksa bermain bertahan,"  dan Gerson menyalahkan kempen beliau.   Romney dilihat cenderung  mempersia-siakan peluang yang datang bergolek, dan kadangkala bertelagah dengan penasihatnya, seperti kes Libya.  

Untuk bersikap adil,   bekas gabenor ini,  bukan kesayangan media. Sebaik-sebaik sahaja Romney  membuka mulut tentang isu tertentu, seperti serangan terhadap kedutaan Amerika Syarikat di Kaherah dan Benghazi, yang menyebabkan Obama kelihatan tertekan, beliau disergah dan dihentam habis-habisan, dan yang terbaharu, tulisannya dalam The Wall Street Journal. Mungkin hal ini, seperti yang dibahaskan oleh Howard Kurtz, "Romney terperangkap dalam naratif negatifnya."

Sebaliknya Obama, walaupun terbukti gagal dari segi ekonomi dan dasar luar, menurut pemerhatian George F. Will, rakyat Amerika masih boleh bertolak ansur, dan seolah-olahnya beliau ialah ahli politik  bernasib baik -  memetik Matt Latimer. Walau bagaimanapun, perlu diakui juga bahawa Romney sendiri gagal mengemukakan alternatif terbaik, misalnya dari segi ekonomi, dan kadangkala terhegeh-hegeh, seperti kes imigresen - lebih tiga bulan untuk beliau memberikan jawapan untuk soalan yang mudah.

Selain kempennya  silap langkah, seperti yang diakui  oleh calon Naib Presiden, Paul Ryan,  kerana "bermain selamat," namun Romney sendiri  melakukan kesilapan yang beliau terpaksa bertanggungjawab jika beliau kalah.  "Bukan masalah kempen, tetapi akhirnya disedari,  masalah Mitt," menurut Politico.  Dalam "40 hari malam," Charles M. Blow menulis, "Mitt Romney kalah teruk. Dan beliau wajar menyalahkan dirinya sendiri.  Beliau bukan sahaja ditinggalkan oleh Presiden Obama dalam hampir setiap tinjauan pendapat, bahkan beliau ketinggalan dalam hampir setiap tinjauan pendapat negeri berayun."

Walau bagaimanapun, Steve Kornacki yang menulis dalam Salon, menyangkal dakwaan Republikan  bahawa "premis yang Romney bina untuk seluruh kempen Presiden adalah silap." Sebalinya, beliau mengingatkan Republikan melihat apakah yang dilakukan empat tahun lalau dan  para pengundi masih belum dapat melupakan krisis kewangan  yang berpunca daripada Pentadbiran Bush,  dan sekali gus menyebabkan usaha kempen Romney untuk bertarung di medan ekonomi runtuh. Fareed Zakaria menyalahkan Parti Republikan baru  dan bukannya Romney.

Bob Burnett mengemukakan tiga alasan Romney tewas, iaitu pertama, kempen Obama mampu mentakrifkan Romney sebelum beliau sendiri sempat memperkenalkan dirinya kepada para pengundi; kedua, kesilapan yang bodoh yang beliau lakukan ketika di London dan kenyataan tentang  "47 peratus"  yang pita videonya didedahkan oleh Mother Jones; dan  ketiga, masalah psikologi, iaitu Romney mempunyai kecacatan sifat.  Burmett menambah satu lagi alasan: egotisme Mitt.

Romney dilihat terpaksa menanggung akibat keceluparannya terhadap "47 peratus," sehingga menjejaskan peluangnya  di negeri berayun, dan memusnahkan pencalonannya. Kesilapan yang bodoh itu benar-benar menghantuinya sehingga Hari Pilihan Raya yang pastinya digunakan oleh kempen Obama secara berterusan: "Anda tidak membina itu" lawan "47 peratus."  "47 peratus," hujah Noam Scheiber dalam The New Republic, teruk untuk Romney.  Dengan kata lain, "47 peratus," seperti yang ditegaskan oleh Greg Mitchell, " berdasarkan tinjauan pendapat, menyempitkan peluang Romney," dan bahkan cerdik pandai Republikan menggasak beliau.

Meskipun Romney kelihatan sukar untuk memperkukuh kedudukannya dan kemungkinan penderma  Republikan meninggalkannya, seperti yang berlaku pada tahun 1996, masih wujud   peluang beliau untuk menang.  Seperti yang dibahaskan oleh John Cassidy, peluang Romney masih belum tertutup.  Elspeth Reeve yang menulis dalam The Atlantic Wire, menegaskan walaupun tinjauan pendapat menunjukkan seolah-olahnya segalanya berakhir untuk Romney, hakikatnya belum pasti lagi.  Beliau mengemukakan dua alasan, iaitu debat Presiden dan mungkin semua tinjauan pendapat silap?  "Pertandingan tidak sepantas itu," George E. Condon Jr., mengingatkan, "anda belum boleh lagi mengatakan Romney terkeluar."   Romney masih boleh menang, tetapi tidak semudah itu.  Satu dalam tiga peluang, ulas Nate Silver, membayangkan kesukaran yang Romney hadapi.

Walaupun  berulang-ulang kali dinyatakan bahawa ekonomi merupakan isu paling penting dalam pilihan raya ini,  dan banyak orang memberitahu bahawa mereka  lebih yakin pada Romney dari segi pengurusan ekonomi berbanding dengan Obama,  malangnya beliau  gagal  menguasai medan pertempuran ini. "Mitt Romney kehilangan mojo," tegas James Antle dalam The Guardian, "kerana beliau melupakan ekonomi."

Mitt Romney masih mempunyai menebus "kekalahannya" sejak beberapa bulan lalu, melalui debat Presiden yang berlangsung pada hari ini. Di gelanggang inilah Romney terpaksa bertarung demi kelangsungan politiknya, walaupun beliau kelihatan terhuyung-hayang.  Bahkan, Republikan sendiri mempunyai pandangan yang berbeza-beza terhadap keupayaan beliau untuk menghasilkan sesuatu dalam debat penting ini.  Setelah ditinggalkan oleh Obama, meskipun jaraknya makin dekat, menurut tinjauan pendapat NBC News/The Wall Street Journal, pastinya Romney lebih berasa lebih tertekan kerana "debat ini akan menentukan, sama ada beliau mara atau tumpas"  - memetik Nancy Cook.

Tatkala kedua-dua calon ini bersiap sedia untuk berdebat, Michael Tomasky sekali  lagi mengisytiharkan bahawa Barack Obama menang besar.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...