Artikel Popular

Saturday, October 20, 2012

"Romnesia"

SABTU, 20 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Seperti yang dinyatakan dalam tulisan sebelum ini, debat pertama Presiden menyaksikan kedua-dua calon, iaitu Barack Obama dan Mitt Romney menggunakan metafora dan ungkapan.  

Sementara kritikan keras Perdana Menteri  Julia Gillard terhadap pemimpin pembangkang yang berulang-ulang kali menggunakan bahasa seksi, mendorong kamus yang paling autoritatif di Australia, memutuskan untuk mengemaskinikan takrif "misogini" atau benci perempuan.

Pendek kata, pemimpin dan orang politik juga turut menyumbang kepada pembinaan dan pengembangan bahasa, baik secara langsung mahupun tidak langsung.  Tatkala Hari Pilihan Raya Amerika hanya kurang tiga minggu,  Mitt Romney berjaya  mengatur semula kedudukannya, iaitu beranjak daripada konservatif kepada liberal. Strategi Romney nampaknya membuahkan hasil apabila beliau, menurut tinjauan pendapat Gallup, jauh meninggalkan Obama, iaitu 52 peratus berbanding 45 peratus dalam kalangan kemungkinan pengundi.

Meskipun belanjawan dan  rancangan cukai yang diperkenalkan oleh Romney, bukan sahaja oleh ahli ekonomi di sebelah Obama, bahkan juga yang pernah berkhidmat di bawah Presiden Ronald Reagan, iaitu Bruce Barlett,  demikian juga janjinya untuk mewujukan pekerjaan kepada rakyat Amerika jika dipilih sebagai Presiden, anehnya sejak debat pertama, beliau memperlihatkan kemaraannya. 

Barack Obama dan kempennya yang kebingungan seketika melihat kebangkitan lawannya, Romney, akhirnya mereka  muncul dengan remedi yang lucu dan menarik, iaitu "Romnesia," untuk menyekat Romney daripada menampilkan dirinya sebagai tokoh sederhana.  Obama yang akan "merawat Romney yang sakit itu,"  memperkenalkan gelaran itu ketika beliau berkempen di Fairfax, Virginia, pada hari Jumaat, semalam, untuk menunjukkan calon Republikan itu menderita teruk akibat "Romnesia" - istilah yang pernah diperkenalkan oleh David Corn dalam Mother Jones,  empat bulan lalu. 

"Pesakit 'Romnesia' itu," sindir Obama, "bernasib baik kerana Obamacare menyediakan insurans untuk mendapatkan rawatan."  Greg Sargent dalam ulasannya tentang "Romnesia" menggambarkan Romney lari daripada (wesel) daripada pendiriannya sebelum ini. Jelas Sargent, berbanding dengan Burung Besar, "Romnesia" benar-benar serius.  

Burung Besar dibangkitkan oleh Romney semasa debat pertama Presiden, yang akhirnya digunakan oleh kempen Obama untuk menyerang beliau. Selain prestasi teruk Obama, pascadebat pertama turut diwarnai oleh "politik Burung Besar" yang dibahaskan dengan meluas, misalnya oleh Greg Mitchell dalam The Nation,  James Poniewozik dalam Time, Alice Hines dalam The Huffington Post, dan Mary Elizabeth William dalam Salon.

Sememangnya, kempen pilihan raya kali menyaksikan penciptaan beberapa istilah, baik yang dicipta oleh calon mahupun pihak lawan.  Selain "Romnesia" yang terbaharu, dan sebelum ini Burung Besar, "binders full of women,"  yang pernah popular ialah Randian Ryan,  "47 peratus," yang kini dihasilkan dalam e-buku oleh David Corn.  Tidak kurang pula berbagai-bagai kesilapan bodoh yang dilakukan, sama ada oleh Barack Obama ataupun Mitt Romney.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...