Artikel Popular

Tuesday, October 30, 2012

Apa Kata Model Tentang 6 November

SELASA, 30 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat memasuki minggu terakhir.  Sama ada Barack Obama kekal di Rumah Putih untuk satu penggal lagi, ataupun digantikan oleh Mitt Romney daripada Republikan, pastinya diketahui selewat-lewatnya pada 7 November tengah hari (waktu Malaysia).  

Kerancakan kempen, terutamanya bagi Barack Obama, terjejas akibat Taufan Sandy yang melanda pantai Atlantik Amerika Syarikat.  Beliau terpaksa membatalkan kempen di Florida, yang akhirnya disempurnakan oleh bekas Presiden Bill Clinton yang gigih berkempen untuk Obama,  kerana perlu pulang ke Washington untuk menangani taufan itu. Taufan Sandy berkemungkinan mengganggu penjejakan tinjauan pendapat Pilihan Raya Presiden yang sebelum ini kekal stabil.

Dalam pada itu, Kevin Drum melalui kemas kini pilihan raya, mengemukakan empat model peramalan presiden yang paling popular, dengan dua teratas ialah Drew Linzer dan Nate Silver, manakala dua di bawah ialah Sam Wang dan Pollster. Obama, menurut Drum, melebarkan jaraknya daripada Romney sejak kira-kira 10 Oktober, dan kini menjadi pilihan dalam semua empat model itu.  Purata semua empat model itu memberikan 301 undi badan perwakilan pemilih kepada Obama.  


Selain itu, memang diakui oleh banyak pihak,  menurut Mark Halperin dan Elizabeth Dias, dalam Time keluaran 5 November, bahawa  Obama mempunyai kelebihan berbanding dengan Romney untuk meraih 270 undi badan perwakilan pemilih.  Obama mempunyai deposit tetap 237 undi badan perwakilan pemilih, dan Romney 191, manakala 110 lagi terbuka untuk direbut oleh kedua-dua calon itu.  Dengan itu, bermakna Romney memerlukan 79 undi badan perwakilan pemilih daripada sembilan buah negeri berayun atau "lambung duit."  

Daripada kesemua negeri itu, Romney dijangkakan menguasai Florida yang mempunyai 29 undi badan perwakilan pemilih. Namun, seperti yang dibahaskan oleh Nate Cohn dalam The New Republic, Florida, merupakan persaingan sengit antara Romney dengan Obama, dan dengan itu, Romney masih belum pada kedudukan yang selesa. Dalam tulisan yang berasingan tentang Colorado - sebuah lagi negeri berayun, Obama, tegas Cohn, kemungkinan tidak dapat mengulangi kejayaannya pada tahun 2008.

Obama yang luka parah dalam debat pertama Presiden di Denver, Colorado, nampaknya dapat memulihkan keadaan jika diperhatikan tinjauan pendapat Pew yang dikeluarkan lapan hari sebelum Hari Pilihan Raya,  apabila kedua-duanya terikat pada 47 peratus dalam kalangan kemungkinan pengundi. Sedikit peningkatan untuk Presiden Obama daripada tinjauan pendapat  4 - 7 Oktober yang menunjukkan Romney mendahului Obama 49 peratus berbanding 45 peratus.

Meskipun berlaku "momentum Mitt" sejak debat pertama itu, kempen Obama, seperti yang dicatatkan oleh David Corn, menolak hal itu sama sekali.  Sebaliknya, bagi dua ahli strategi kempen Obama, iaitu David Axelrod dan Jim Messina, adalah tentang matematik untuk mara ke Rumah Putih  dengan merentas beberapa laluan di negeri berayun, yang Obama dipercayai mempunyai kelebihan.

Sementara kempen Romney didapati mempunyai kelebihan dari segi kewangan, kerana disokong oleh penderma konservatif yang berazama menumbang Obama,  kempen Obama pula mempunyai senjata sulit: turun ke lapangan untuk memujuk pengundi, seperti yang didedahkan oleh Sasha Issenberg dalam  Slate.  Walau bagaimanapun, super PAC pro-Obama dan Demokrat juga tidak ketinggalan dari segi sumbangan derma.

Balik kepada empat model peramalan, segala-galanya akan terbukti ketepatannya kelak, hanya kira-kira seminggu dari sekarang.  Mungkinkah "kejutan Oktober" mengubah permainan?



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...