Artikel Popular

Wednesday, October 31, 2012

Kejutan Oktober Datang Juga Akhirnya

RABU, 31 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Hampir sebulan kejutan Oktober dinanti-nantikan, yang dijangkakan mencorakkan atau mengubah permainan Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat. Dalam penantian itu, pelbagai spekulasi wujud tentang kejutan tersebut, daripada serangan terhadap konsulat Amerika Syarikat di Benghazi yang terus hangat,  kepada cara Presiden Barack Obama menangani  Iran.  Tidak ketinggalan perbelanjaan kempen yang besar jumlahnya semata-mata ingin memastikan Obama tewas di tangan Mitt Romney.

Apabila Donald Trump memberitahu bahawa beliau akan mengumumkan sesuatu tentang Obama, banyak yang mengagak sesuatu yang berkaitan dengan kejutan Oktober.  Namun, nyata segala-galanya meleset, hanya menunjukkan Trump   "syok sendiri" - mencari  publisiti murah, yang akhirnya, "meletakkan dirinya sendiri tidak relevan," memetik Lloyd Grove.

Tatkala kempen tidak teratur  memasuki minggu terakhir  tanpa gambaran jelas siapakah pendahulu,   kejutan Oktober  benar-benar muncul, tetapi bukannya datangnya daripada mana-mana kempen, baik kempen Obama mahupun kempen Romney.  Sebaliknya, kejutan itu berpunca daripada bencana alam yang melanda  Pantai Timur Amerika Syarikat, yang terus mengganas dalam beberapa hari ini: Taufan Sandy.

Oleh sebab taufan itu melanda ketika rakyat Amerika  menghitung detik Hari Pilihan Raya, maka ribut politik berubah menjadi  politik ribut, atau memetik Amy Davidson, "pilihan raya Sandy."  Jika sejak beberapa bulan perhatian tertumpu pada negeri berayun, kini muncul "Taufan Sandy yang dijangkakan mengayun pilihan raya,"  menurut pemerhatian Adam Serwer dalam Mother Jones.  Jelas bahawa Sandy dapat mengubah kempen, menurut jangkaan Alec MacGillis

Presiden Barack Obama, seperti yang dilaporkan secara meluas, terpaksa membatalkan kehadirannya di Orlando, Florida, menyerahkan tugas kempen dengan sepenuhnya kepada bekas Presiden Bill Clinton,  kerana beliau terpaksa pulang ke Washington untuk menghadapi Taufan Sandy. Beliau terpaksa membuat pilihan yang sukar pada detik yang runcing lagi genting, iaitu membatalkan kempen selama tiga hari demi membuktikan  bahawa beliau mengambil berat terhadap ancaman Taufan Sandy itu, bahkan beliau segera "turun padang" dengan melawat ibu pejabat Palang Merah, dan akan melawat New Jersey yang teruk dilanda taufan tatkala Romney sibuk berkempen di Florida, walaupun beliau membatalkan acara kempennya.

Kesan "tragedi Greece"  yang sangat teruk  sehingga menyebabkan pasaran saham New York  York terpaksa ditutup,  bukan sahaja dapat dilihat dari segi ekonomi, yang kerosakannya dianggarkan lebih AS$20 bilion, yang turut dibahaskan oleh Derek Thompson, dan impak pasaran   tetapi juga, bahkan lebih penting,  dari segi politik.  Hal ini demikian kerana, malapetaka itu berlaku ketika rakyat Amerika bersiap sedia untuk memilih Presiden mereka.

"Taufan Sandy," bahas Jonathan Allen, "memaksa politik antipolitik."  Obama meskipun pulang ke Washington pada hari Isnin, menghantar Michelle Obama, Joe Biden, dan Bill Clinton berkempen tanpa beliau.  Sementara kempen Romney yang membatalkan beberapa acara pada Isnin dan Selasa, tetapi Romney turun berkempen  di Dayton, Ohio.

Peter Beinart yang menulis dalam The Daily Beast, mencadangkan supaya tragedi akibat Taufan Sandy dipolitikkan, manakala Jonathan Chait menegaskan bahawa Demokrat mempunyai hak untuk mempolitikkan Sandy.  "Politik dan Taufan Sandy," hujah Jonathan Bernstein, yang bersetuju dengan Chait, dengan berhjuah, "sememangnya kita sepatutnya membahaskan dan membincangkan perkara tersebut ketika pilihan raya.  Sesungguhnya, jika kita mengetepikan semuanya, maka tidak jelas mengapa kita mahukan demokrasi sejak mula-mula lagi."

Pastinya, tumpuan lebih terarah kepada Obama berbanding dengan Romney, kerana beliau Panglima Besar Amerika. "Ribut," tulis David Nakamura dan Karen Tumulty, "menghidangkan detik Panglima Besar kepada Obama." Jelas bahawa beliau bersiap siaga untuk menghapi segala kemungkinan daripada Sandy, seperti yang diperhatikan oleh John Cassidy.  Nyata bahawa Obama berjaya  menawan detik penyelamat Taufan Sandy, menurut tafsiran Howard Kurtz. Sebaliknya bagi Republikan, seperti yang dibahaskan oleh Ben Adler dalam The Nation, Taufan Sandy mendedahkan ketidakmampuan perubahan mereka.

Walau bagaimanapun, taufan itu yang merumitkan pilihan raya yang telah pun berbaur, dipercayai lebih banyak membawa kerosakan terhadap Presiden Obama jika dibandingkan dengan Romney.  "Kejutan Oktober ini," tulis Margaret Carlson, "boleh merosakkan Obama," manakala Romney yang masih dapat berkempen ke sana ke mari, "perlu mengelakkan dirinya daripada menjadi sasaran malapetaka itu."

Untuk mengatakan bahawa Taufan Sandy itu memberikan kelebihan kepada Romney, sememangnya tidak tepat sama sekali.  Bahkan, rakan separtinya, iaitu Chris Christie, Gabenor New Jersey, yang sebelum ini sering menggasak Obama,  menyanjung daya usaha  Presiden  menangani malapetaka itu.

Selain itu, yang lebih penting, Romney mula dihantui oleh pendiriannya yang beliau bangkitkan ketika pemilihan awal Republikan agar tanggungjawab menangani bencana alam dipikul oleh kerajaan negeri, dan bukannya oleh kerajaan pusat.  Beliau dilaporkan enggan menjawab soalan pemberita tentang bagaimana beliau akan menangani Agensi Pengurusan Darurat Persekutuan (FEMA).  Pendirian beliau tentang FEMA, menurut Rick Ungar, bercanggah dengan rakannya, Gabenor Christie.

Rekodnya semasa berkhidmat sebagai Gabenor Massachusetts yang pernah memohon peruntukan Persekutuan untuk mengawal banjir, kemudian beliau vetokan peruntukan itu, diselongkar.  Sedangkan selepas itu, beliau mencadangkan kerajaan Persekutuan jangan terlibat dalam bantuan bencana.

Nate Silver dalam FiveThirtyEight, bagaimanapun, mengakui kesan Taufan Sandy terhadap pilihan raya pada Selasa sukar diramalkan. Untuk sementara waktu, ribut itu mempunyai impak terhadap bilangan tinjauan pendapat, yang sebilangannya menangguhkan tinjauan pendapat penjejakan nasional. Setakat hari ini, Silver menjangkakan Obama memenangi 299.0 undi badan perwakilan pemilih berbanding dengan 239.0 untuk Romney.  Peluang menang untuk Obama ialah 77.4 peratus, manakala Romney 22.6 peratus.


Adakah Sandy mencurahkan rahmat politik  kepada lelaki di Rumah Putih untuk kekalkan sepenggal lagi? - seperti yang dibayangkan oleh Noam Schebier dalam The New Republic.  Atau paling tidak, seperti yang dibahaskan oleh Jonathan Cohn, Sandy memberikan pengajaran kepada para pengundi bahawa kerajaan penting.

Sebagai penjawat kini, Barack Obama  mempunyai beberapa kelebihan berbanding dengan pencabarnya, Mitt Romney, meskipun ada kalanya berisiko.  Selain berkempen, Obama atas kedudukannya sebagai Presiden boleh muncul untuk program atau majlis rasmi, yang pastinya sukar dinikmati oleh Romney. 

Demikian juga apabila berlaku Taufan Sandy, beliau dapat menggerakkan dan menggembleng segala sumber negara. Secara rasmi, beliau kelihatan bertindak sebagai Panglima Besar, tetapi secara tersirat, beliau juga berkempen sebagai calon Presiden.  Sebenarnya, beliau berkempen dengan menjalankan tugas rasminya.  Pendek kata, "sambil menyelam minum air."


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...