Artikel Popular

Monday, October 8, 2012

Tembelang "Maharani Tanpa Pakaian" Terbongkar

ISNIN, 8 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Ketika melawat Amerika Syarikat baru-baru ini, lawatan pertama dalam masa empat dekad,  Aung San Suu Kyi disambut dengan besar-besaran.  Selain mengunjungi Presiden Barack Obama dan Setiausaha Negara Hillary Clinton,  pemimpin pembangkang Myanmar,  dianugerahi Pingat Emas Kongres.

Semasa berucap di hadapan khalayak di U.S. Institute of Peace di Washington, D.C., Suu Kyi menyentuh secara ringkas isu kontroversi tentang persengketaan etnik di negeri Arakan.  "Kerajaan menubuhkan suruhanjaya untuk melihat keadaan ini, beritahu beliau.  Walau bagaimanapun, John Sifton, Pengarah Perjuangan Asia untuk Human Right Watch, berharap Aung San Suu Kyi lebih spesifik dari segi demokrasi dan hak asasi manusia.  Beliau memberitu The Daily Beast selepas itu, "Apa yang anda lihat ialah Suu Kyi tidak lagi aktivis hak asasi manusia.  Beliau kini ahli politik."  Bagi Sifton, Suu Kyi tidak boleh menjadi aktivis dan ahli politik serentak. 

Keengganan  Suu Kyi untuk menyatakan sesuatu yang penting  ketika melawat Washington, dapat dikesan dan dibangkitkan oleh  Min Zin dalam Foreign Policy. Ketika berucap dalam majlis makan malam meraikannya, Suu Kyi, menurut Zin memberitahu para hadirin tentang kerja yang dilakukan oleh parti politik beliau, iaitu Liga Kebangsaan bagi Demokrasi dalam komuniti yang parti itu aktif. "Akan tetapi," tulis Zin, "beliau tidak sepatah pun menyebut nasib malang kira-kira 70,000 orang etnik Kachin yang menjadi mangsa akibat peperangan antara tentera Myanmar dengan pemberontak Kachin.  Peperangan meletus sejak tahun lalu apabila kerajaan melanggar genjatan senjata 17 tahun dan melancarkan serangan terhadap pemberontak." 

Suu Kyi, tegas Zin, menyatakan beliau mengutuk sekeras-kerasnya pencabulan hak asasi manusia dan mana-mana usaha untuk melengahkan proses penyatuan di Myanmar.  Akan tetapi, beliau belum lagi menyatakan pendirian yang jelas tentang penyalahgunaan yang masih berleluasa dalam konflik Kachin.

Semakin lama Myanmar bergelut dengan persengketaan kaum, maka jelas siapkah sebenarnya Aung San Suu Kyi:  "pseudodemokrasi," orang yang memperalatkan  hak asasi manusia demi kepentingan politiknya.  Maka, jangan terperanjat apabila beliau ditakdirkan menjadi pemimpin negara itu, semakin buruk persengketaan etnik, dan bahkan pencabulan prinsip yang beliau kononnya anuti.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...