Artikel Popular

Tuesday, October 16, 2012

Buku Teks dalam Perhatian

SELASA, 16 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Sebuah makalah dalam  The Economist mengemukakan sesuatu yang menarik yang juga berlaku di Malaysia, iaitu penulisan dan penerbitan buku teks.  "Apa yang dimasukkan dalam buku teks sekolah, dan bahkan yang lebih penting, apa yang tidak dimasukkan, mencetuskan keprihatinan dan kontroversi di seluruh dunia."

Hanya sedikit kalaupun ada, instrumen yang membentuk kebudayaan kebangsaan yang lebih kuat jika dibandingkan dengan bahan yang digunakan di sekolah.  Buku teks, hujah makalah itu  bukan sahaja tergolong dalam kalangan buku pertama yang kebanyakan orang temui; di banyak tempat, buku teks, bersama-sama buku agama, merupakan hampir satu-satunya buku yang mereka temui.  Kajian di Afrika Selatan menunjukkan hanya kurang daripada separuh murid yang mempunyai akses kepada lebih 10 buah buku di rumah.  Pada tahun 2010 kajian oleh kerajaan Mesir mendapati, selain buku teks sekolahg, 88 peratus isi rumah Mesir tidak membaca buku.

Tulisan itu juga menganggap bahawa kawalan kerajaan terhadap buku teks yang digunakan dalam bilik darjah adalah baik, jika kurang tepat, menjadi panduan kepada komitmen kerajaan untuk kawalan ideologi. Apabila keinginan itu kuat, kerajaan berkemungkinan menerbitkan buku teks mereka sendiri atau mentakrifkan secara terperinci apakah yang terkandung dalam buku teks berkenaan. Akan tetapi, bahkan apabila kerajaan kurang terlibat secara langsung, ideologi dapat ikut serta, sama ada ideologi kumpulan yang mengawal penulisan buku teks, ataupun mereka yang mencuba menerusi lembaga sekolah dan seumpamanya, untuk mengawal buku teks.  

Jabatan Negara Amerika Syarikat, menurut makalah itu melantik orang untuk memerhatikan buku teks di negara lain, dalam usaha untuk memahami lebih baik bagaimana orang negara itu berfikir dan apakah kerajaan mereka mahu mereka berfikir.  Negara lain juga berkemungkinan melakukan perkara yang sama.  Demikian juga Georg Eckert Institute, sebuah pusat penyelidikan buku teks di pekan Jerman, Braunschweig, yang mengumpulkan contoh buku teks dari 160 buah negara. Menurut Simone Lassig, pengarah institut itu, kebanyakan perbalahan ialah buku yang merangkumi sejarah dan geografi, terutamanya apabila buku teks itu memasukkan peta, meskipun agama merupakan bidang yang semakin mencetuskan pertikaian.

Makalah itu juga meninjau masalah dan kontroversi penerbitan buku teks di beberapa buah negara, seperti  Arab Saudi, China, Hong Kong, di Amerika, Perancis, Palestin, Afghanistan, Libya, dan Afrika Selatan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...