Artikel Popular

Sunday, October 7, 2012

Politik Pekerjaan

AHAD, 7 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Hampir empat tahun Barack Obama bertakhta di Rumah Putih dengan  kritikan bertalu-talu daripada Republikan terhadap pelan penjagaan kesihatan "Obamacare" dan kadar pengangguran yang tinggi, iaitu lebih lapan peratus.  Sememangnya, kritikan itu membuahkan hasil, seperti yang dapat dilihat dalam keputusan Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2010 yang menyaksikan Republikan  menguasai semula Dewan Perwakilan dan mengurangkan majoriti Demokrat dalam Senat.

Modal ini terus digunakan Mitt Romney sejak beliau bersiap sedia untuk menerima pengesahan daripada Republikan sebagai calon Presiden Amerika Syarikat.  Setiap kali data pengangguran diumumkan pada hari Jumaat pertama setiap bulan, yang pada suatu ketika meningkat kepada 8.3 peratus dan kelihatan tidak mahu turun, Romney dan kempennya melompat keriangan kerana  menandakan kegagalan Pentadbiran Obama.  Maka, wujud tanggapan bahawa Romney begitu seronok dengan kesedihan orang lain, iaitu golongan yang kehilangan pekerjaan. Kadar pengangguran yang tinggi, meskipun turun kepada 8.1 peratus pada bulan Ogos, dijaja ke sana ke mari  oleh Romney dan kempennya , termasuk ketika debat pertama Presiden pada 3 Oktober lalu (4 Oktober waktu Malaysia).

Justeru, apabila laporan pekerjaan bulan September diumumkan yang menunjukkan  pengangguran turun kepada 7.8 peratus,  dan sekali gus menaikkan Obama yang baru sahaja kalah teruk dalam debat tersebut, Romney dan Republikan sukar menerima laporan itu, dan bahkan sebilangan penyokong GOP  menuduh data itu "direka-reka" dan menurut Jack Welch,  wujud "konspirasi."  Pada bulan Januari 2009, iaitu ketika Obama mula memikul tanggungjawab sebagai Presiden, pengangguran meningkat kepada 7.9 peratus, kemudian memasuki wilayah lapan peratus ke atas.  Namun, dengan laporan pekerjaan yang terbaharu itu, Obama, menurut The Economist, "memperoleh talian hayat daripada sumber yang mustahil: ekonomi."  

Tindak-tanduk Welch itu mengundang pelbagai kritikan, antaranya daripada Eliot Spitzer bahawa "Welch sepatutnya malu pada diri sendiri,"  Deborah Solomon, yang mendakwa "beliau tidak tahu apa yang beliau katakan," Matthew Zeitlin bahawa "angka pengangguran tidak boleh direka-reka," dan  Joseph Stiglitz, bahawa "sesuatu yang mustahil Presiden cuba pinda, kecuali Presiden Richard Nixon,"  Puak kanan, hujah Josh Barro, gemar akan teori konspirasi. Setelah digasak dari segenap penjuru dan mungkin  menyedari bahawa ciaknya itu tidak memberikan apa-apa faedah kepada calon pilihannya ,  akhirnya Jack Welch menjelaskan    bahawa beliau sepatutnya memasukkan  tanda soal.

Dalam beberapa hari ini, seperti yang diperhatikan, debat dan laporan  pekerjaan mencorakkan perlumbaan tahun 2012 ini. Keputusan debat menyaksikan berlaku lantunan pada pihak Romney, menurut tinjauan pendapat Reuters/Ipsos, meskipun beliau didapati tidak henti-henti berbohong, seperti yang didedahkan oleh Andy Borowitz. Pada 5 Oktober, di negeri berayun  berlaku peralihan ketara ke arah Romney selepas debat itu, hujah Nate Silver.  Seandainya laporan pekerjaan terbaharu itu menunjukkan kadar pengangguran atau kekal pada 8.1 peratus, maka Obama diibaratkan "sudah jatuh ditimpa tangga," dan pastinya memerlukan masa yang lama untuk bangkit semula, atau tidak akan bangkit hingga 6 November ini.

Kejatuhan kadar pengangguran itu, bahas David A. Fahrenthold dan Philip Rucker dalam The Washington Post, "merampas Romney dari segi penghujahan," atau dengan kata lain, beliau dan kempennya serta Republikan kehilangan medan pertempuran yang amat strategik.  "Bagi Romney," hujah kedua-dua penulis ini, "angka membuktikan segala-galanya.  Sejak detik awal kempennya, calon Republikan ini menggunakan angka mudah ini untuk merangsang hujahnya bahawa Presiden Obama tidak mampu menyelesaikan ekonomi Amerika Syarikat: lapan peratus."

"Ekonomi sedang bergerak,"  menurut menurut lembaga editorial The Washington Post  - suatu berita baik untuk Obama.  Memang diakui bahawa Obama menyelamatkan ekonomi Amerika, tetapi tidak dapat dipastikan, sama ada beliau mampu menyelamatkan pekerjaannya pada 6 November ini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...