Artikel Popular

Tuesday, October 2, 2012

Parti Ketiga

SELASA, 2 Oktober 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Conor Friedersdorf menulis makalah yang cukup provokatif dalam The Atlantic mengapa beliau enggan mengundi Barack Obama dalam pilihan raya kali ini.  Tulisan Friedersdort itu, menurut semakan terakhir, seperti yang dicatatkan  oleh rakan sejawatannya, Robert Wright, dalam "mengapa saya enggan untuk enggan mengundi Obama,"  mempunyai cadangan 160,000 Facebook, setanding dengan pita video "47 peratus"  Romney.

Apabila Friedersdorf  menegaskan bahawa beliau enggan mengundi Obama, pastinya terbayang dalam fikiran para pembaca bahawa beliau ingin mengundi Romney.  Sebaliknya, beliau menarik perhatian  bahawa wujud calon dalam kertas undi di sekurang-kurangnya 47 buah negari daripada semua 50 buah negeri, yang secara tetap bercakap menentang trend pasca-11/9, dan semua setiap dasar yang menggubahnya.  "Namanya," jelas Friedersdorf, "ialah Gary Johnson dan beliau tidak akan menang."  Jika saya mengundi, jelas beliau lagi, "saya mengundi Johnson."

Tulisan Friedersdorf itu sebenarnya mencerminkan kekecewaan  terhadap  amalan sistem dua parti yang diamalkan di Amerika Syarikat sehingga menyebabkan para pengundi hanya mempunyai pilihan yang terbatas: sama ada Demokrat atau Republikan.  Oleh sebab itu, sesetengah pengundi sentiasa mengharapkan kehadiran calon daripada parti ketiga, yang berlaku sekali-sekala, antaranya pada tahun 2004.  

Pilihan Raya Presiden tahun ini akan menyaksikan kehadiran  calon daripada ketiga, selain Johnson, iaitu Virgil Goode, anggota Kongres yang pada asalnya daripada Parti Demokratik, kemudian melompat kepada Republikan.  Kehadiran calon ini, sedikit sebanyak, akan mempengaruhi keputusan pilihan raya, sama ada terhadap Barack Obama ataupun Mitt Romney, terutamanya di negeri berayun.  Di Virginia, misalnya, kehadiran Goode dijangkakan memberikan kelebihan kepada Obama, sebaliknya merugikan Romney.

"Perlumbaan Presiden mungkin bergantung pada calon parti ketiga," tulis  Julie Hirschfeld Davis dalam Bloomberg.  Julie  merujuk  keputusan pilihan raya pada tahun 1992  dengan  kehadiran Ross Perot sebagai calon bebas yang berjaya meraih 19 peratus undi   menyebabkan George H.W. Bush hilang jawatan Presiden di tangan Bill Clinton, dan pada tahun 2000, calon Parti Hijau, Ralph Nader yang memperoleh 97,488 undi, menyebabkan Al Gore tewas di tangan George Bush dengan hanya 537 undi yang kritikal di Florida dalam menentukan Presiden.

Walau bagaimanapun, tinjauan pendapat Gallup menunjukkan bahawa rakyat Amerika berbelah bahagi tentang perlunya calon parti ketiga, hanya wujud sokongan minimum kepada calon berkenaan dalam pilihan raya tahun ini.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...