Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Dalam keluaran Ogos lalu, Time muncul dengan rencana utama yang amat provokatif, "The Decline and Fall of Europe (and Maybe the West)" dengan di dalamnya terkandung makalah yang ditulis oleh Rana Forrohar, "The End of Europe." Sejak krisis melanda zon euro, persoalan yang sering dibangkitkan ialah: Adakah zon euro berkecai? Atau lebih jauh sedikit: Bagaimana masa depan Kesatuan Eropah? Di zon euro, persoalan lazim ialah Greece sepatutnya meninggalkan zon mata bersama itu, manakala dalam Kesatuan Eropah, persoalan yang tidak kurang kritikal, iaitu adakah Britain akan meninggalkan kesatuan bersama itu?
Di zon euro wujud teka-teki, iaitu negara mana yang terlebih dahulu mungkir: Greece atau Ireland? Namun, hari ini, Niall Ferguson muncul dalam The Washington Post, antara zon euro dengan Kesatuan Eropah, yang kemudian ini akan runtuh lebih dahulu. Dalam "Why E.U. Collapse More Likely Than the Fall of the Euro," sejarawan dari Harvard University, menulis bahawa politik Eropah menjadi permainan Jenga yang sangat besar. Sejak Jun 2010, kerajaan jatuh di Belanda, Slovakia, Belgium, Ireland, Finland, Portugal, Slovenia, Greece, dan Italy. Namun, beliau mengingatkan persoalan bukannya apakah negara seterusnya? - suatu soalan yang mudah.
Hujah Ferguson, menurut undang Kesatuan Eropah, lebih mudah untuk Britain meninggalkan Kesatuan Eropah berbanding dengan Greece untuk meninggalkan zon euro. Tegas beliau, kehancuran Kesatuan Eropah kini besar kemungkinannya berbanding dengan keruntuhan mata wang tunggal yang dianggap mengikat semua negara anggotanya.
Ferguson memetik tulisannya bersama-sama Laurence J. Kotlikoff dalam Foreign Affairs, 11 tahun lalu, yang membayangkan bahawa kesatuan ekonomi dan monetari (EMU) tidak dapat bertahan lama, dalam membangkitkan krisis zon euro masa kini sejak tahun 2010 yang kebelakangan ini semakin teruk. Dalam makalah itu, Fergsuon dan Kotlikoff membangkitkan kemerosotan zon euro, iaitu ketidakseimbangan generasi antara penduduk yang berumur dengan negara kebajikan yang terlalu murah hati.
Melalui kolumnya dalam Newsweek, Ferguson menulis bencana Eropah yang sedang menghala ke Amerika Syarikat untuk membuktikan betapa teruknya krisis yang melanda benua tersebut. Dalam makalahnya terbaharu itu pula beliau membayangkan Kesatuan Eropah berkecai dan bukannya zon euro. Immanuel Wallerstein dalam komentar terbaharunya juga menegaskan bahawa membazirkan masa untuk membayangkan zon euro akan lenyap.
No comments:
Post a Comment