Artikel Popular

Tuesday, September 9, 2014

Kapitalisme Negara

SELASA, 9 September 2014
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) sejak awal tahun 1970-an, menyaksikan penglibatan meluas  kerajaan dalam ekonomi, yang boleh ditafsirkan sebagai kemunculan kapitalisme negara. Namun begitu, sejak tahun 1980-an,   kapitalisme negara memberikan laluan kepada  satu daripada tiga tonggak nasihat   Konsensus Washington, iaitu penswastaan.
            Akibat krisis ekonomi yang berlaku kira-kira empat tahun lalu, disedari bahawa wujud kapitalisme yang berbeza yang diamalkan di negara tertentu, antaranya kapitalisme negara.  Dalam kalangan negara (country) yang kapitalis negara (state), China sering mendapat perhatian kerana kebangkitannya sebagai ekonomi kedua terbesar dunia.  Kapitalisme negara China yang pernah dilihat oleh Barat dikatakan sebagai peralihan antara komunisme dengan kapitalisme.
Dalam keluaran 21 – 27 Januari tahun ini (2012), The Economist melalui leaders  dan laporan khas, muncul dengan kebangkitan kapitalisme negara,  menegaskan  model baru dunia yang sedang muncul.  Pada kulit hadapan majalah itu terpampang gambar Lenin mengacu-acukan cerut seakan-akan membayangkan kebangkitan semula pemikiran pemimpin revolusioner Rusia berhubung dengan kapitalisme negara.   Dalam leaders, penulisannya bermula dengan merujuk bangunan China Central Television di Beijing, menara berkembar Petronas di Kuala Lumpur, dan pejabat VTB, penjana perbankan di Moscow – semua monumen ini akan meningkatkan jenis baru perbadanan hibrid, disokong oleh negara, tetapi berkelakuan, seperti multinasional sektor swasta.    
            Dari segi sejarah, jelas makalah itu, kapitalisme diarahkan oleh negara bukannya idea baru, contohnya Syarikat Hindia Timur Inggeris, tetapi sistem ini mengalami kebangkitan semula  yang dramatik.  Pada tahun 1990-an, kebanyakan syarikat dimiliki negara tidak lebih daripada jabatan kerajaan dalam pasaran sedang muncul; andaiannya bahawa oleh sebab ekonomi telah matang, maka kerajaan akan menutup jabatan berkenaan atau menswastakannya.
            Adrian Wooldridge yang menulis “The Visible Hand” dalam laporan khas The Economist itu menegaskan bahawa krisis kapitalisme liberal Barat yang kebetulan dengan kebangkitan bentuk baru kapitalisme negara yang sangat berkuasa di pasaran sedang muncul.  Era kemenangan pasaran bebas antara tahun 1970 hingga 2000 yang dipelopori oleh Ronald Reagan dan Margaret Thatcher, terpaksa berhenti bergegar-gegar, dan krisis yang memusnahkan Lehman Brothers pada tahun 2008, kini melanda banyak negara kaya.  Jelas Wooldridge, krisis kapitalisme menjadi lebih serius oleh kebangkitan alternatif yang lebih kuat, iaitu kapitalisme negara, yang cuba mengadunkan kuasa negara dengan kuasa kapitalisme.  Unsur kapitalisme negara dapat dilihat di Jepun pada tahun 1950-an dan bahkan Jerman pada tahun 1870-an, kini menyaksikan ekonomi besar yang paling berjaya di dunia mengamalkan sistem ini, iaitu China dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh 30 tahun lalu pada purata 9.5 peratus setahun  dan  perdagangan antarabangsa sebanyak 18 peratus dari segi volum.
            Kapitalisme negara juga mempunyai beberapa syarikat yang paling berkuasa di dunia.  Tiga belas buah firma minyak terbesar, yang antara firma itu menggenggam lebih tiga perempat rizab minyak dunia, adalah semuanya disokong oleh negara.
            “Kapitalisme negara,” tulis Wooldridge, “sedang berarak, melimpah ruah dengan wang tunai, dan diberanikan oleh krisis di Barat. Syarikat negara menguasai 80 peratus nilai pasaran saham di China, 62 peratus di Rusia, dan 38 peratus di Brazil. Syarikat tersebut dikira satu pertiga pelaburan langsung asing (FDI)  dunia sedang muncul antara tahun 2003 hingga 2010.” 
            Dalam laporan khas itu, seperti yang dinyatakan oleh  Wooldridge, tumpuannya adalah terhadap  kapitalisme negara yang baru di dunia sedang muncul dan bukannya terhadap kapitalisme negara yang lama di Eropah kerana hal ini mencerminkan masa hadapan berbanding dengan masa lalu.  Justeru, laporan khas  itu memerhatikan terutamanya China, Rusia, dan Brazil.  Jelas beliau lagi, kapitalisme negara hari ini juga menunjukkan kemajuan yang signifikan berbanding dengan kapitalisme negara yang terdahulu dari beberapa segi:  berkembang pada skala yang sangat luas, China sahaja mempunyai satu perlima penduduk dunia; muncul bersama-sama dengan begitu pantas, China dan Rusia membangunkan formula mereka untuk kapitalisme negara  hanya pada dekad lalu; dan mempunyai alat yang canggih yang boleh digunakan pada bila-bila masa, iaitu negara moden adalah lebih berkuasa berbanding dengan kapitalisme negara sebelum ini. 
            Meskipun  kapitalisme negara mempunyai kelemahan dari segi melakukan inovasi dan membetulkan dirinya apabila melakukan kesilapan, diakui bahawa negara kapitalisme semakin kelihatan seperti trend yang mendatang. Selain itu, kapitalisme negara merupakan musuh yang paling menggerunkan  yang kapitalisme liberal pernah hadapi setakat ini. 
            Makalah lain dalam laporan khas menyatakan bahawa kapitalisme negara muncul hampir sama lamanya dengan kapitalisme itu sendiri.  Dari segi realiti, setiap kuasa yang sedang bangkit perlu bergantung pada negara untuk menyepak mula pertumbuhan atau sekurang-kurangnya melindungi industri yang lemah.  Namun, jenis baru kapitalisme negara bermula di Singapura.  Lee Kuan Yew, pengasasnya, ialah Perdana Menteri lebih 30 tahun, dan tidak berasa penat untuk memperjuangkan “nilai Asia,” yang beliau maksudkan campuran antara nilai keluarga dengan autoritarianisme.
            Selain laporan khas yang mengandungi 14 halaman dan leaders, melalui dalam talian,  The Economist memuatkan perdebatan antara Aldo Musacchio sebagai pencadang dengan Ian Bremmer sebagai pembangkang berhubung dengan kapitalisme negara. Musacchio memulakan hujahnya bahawa negara kapitalisme negara bukan hanya ekonomi perintah yang dikuasai oleh golongan elit autoritarian.  Demokrasi dan autokrasi mengikuti model ini.  Tidak wujud sistem politik tunggal dalam negara kapitalisme dan tidak wujud model tunggal pengaruh terhadap ekonomi.  Sebaliknya, Ian Bremmer berhujah bahawa negara kapitalisme bukan sekadar sistem ekonomi.  Sistem ini merupakan ciptaan  politik yang direka bentuk demi memastikan bahawa aktiviti pasaran dan kekayaan memenuhi kepentingan negara dan mereka yang menguasai negara.  Hal ini merupakan alasan utama bahawa kapitalisme negara tidak akan menjadi alternatif berdaya maju untuk kapitalisme liberal.
            Adrian Wooldridge yang menjadi moderator perdebatan itu berkata bahawa Ian Bremmer bermula dengan mempertahankan takrif beliau tentang kapitalisme negara sebagai  gagasan  politik yang negara gunakan untuk menggalakkan kepentingan elit politik. Bremmer bersetuju bahawa sesetengah syarikat kapitalis negara menjadi lebih cekap dengan meniru pasaran.  Akan tetapi, setakat ini, syarikat berkenaan “menuai buah yang tergantung rendah.” Soal beliau, apakah yang akan terjadi apabila kepentingan ekonomi bertentangan dengan kepentingan ekonomi negara?   Bremmer juga mencatatkan bahawa organisasi kapitalis negara, daripada syarikat perindustrian kepada dana kekayaan berdaulat, menyelubungi aktiviti  mereka secara rahsia.
            Sementara Aldo Musacchio, ulas moderator Wooldridge, mengulangi pandangan luas beliau tentang kapitalisme negara bahawa tidak wujud sistem politik tunggal dalam kapitalisme negara, sebaliknya keinginan yang sentiasa merebak untuk menggunakan kuasa negara untuk menggalakkan pertumbuhan ekonomi. Musacchio menegaskan bahawa kapitalisme negara bertambah baik secara dramatik dari segi keupayannya untuk berurusan dengan dua kelemahan yang Ian Bremmer kenal pasti, iaitu kekurangan “pemusnahan kreatif” dan ketidakmampuan Leviathan  untuk melakukan inovasi.  Negara (countries) kapitalis negara (state) bersedia untuk mengorbankan syarikat yang tidak cekap menjadi muflis atau melalui penswastaan.  Negara kapitalis negara juga mula menguasai seni  inovasi, ada kalanya melalui inovasi beransur-ansur, ada kalanya menerusi keragaman yang lebih radikal.
            Dari segi takrif, Wooldridge menyatakan pandangannya   adalah di tengah-tengah.  Maksudnya, kapitalisme negara ialah sistem yang negara memacu ekonomi kapitalis menerusi dengan cara mengambil saham yang signifikan dalam syarikat strategik dan dengan mewujudkan dana kekayaan berdaulat.  “Hal ini membezakan kapitalisme negara daripada kedua-duanya, iaitu fahaman negara gaya lama dan campuran ekonomi Eropah.” Beliau memasukkan Brazil dalam kumpulan negara kapitalis kerana pengaruh kerajaan terlalu merebak, tetapi mengetepikan Norway kerana bola api antara ahli politik dengan syarikat negara adalah terlalu tinggi.
            Kedua-dua pendebat, iaitu Musacchio dan Bremmer, dan moderator Wooldridge terpaku dalam perbahasan takrif kapitalisme negara bahawa jelas tidak ada kesepakatan antara mereka.  Dalam konteks ini, Musacchio cuba menjelaskan bahawa sebahagian masalah debat ini adalah bahawa orang ramai melihatnya sebagai fenomena hitam-putih, seperti Perang Dingin, seolah-olahnya wujud  satu pemenang.  “Pendirian saya,” jelas Musacchio, “adalah bahawa kapitalisme negara merupakan alternatif berdaya maju bukannya kerana sistem ini adalah yang terbaik atau hanya satu sistem yang terus wujud, tetapi kerana kapitalisme negara terbukti sebagai dinamik dan tidak mudah luntur, sebagaimana kapitalisme liberal, meskipun wujud kecacatannya.” 
            Menolak takrif Bremmer tentang kapitalisme negara yang beliau samakan dengan autokrasi, bahawa negara kapitalisme negara hanya wujud di negara dengan sistem sistem ekonomi dan politik yang sama dengan yang diamalkan di China, Rusia, dan mungkin Myanmar, Musacchio, mengetengahkan kapitalisme negara 2.0: Sistem hibrid yang kerajaan mempunyai pengaruh yang meluas terhadap ekonomi, sama ada memiliki atau mengawal syarikat ataupun menerusi peruntukan kredit dan hak istimewa kepada syarikat swasta.  Tersenarai dalam kapitalisme negara 2.0, menurut beliau,  ialah  Brazil, India, Korea Selatan, Singapura, Malaysia, Italy, dan Greece.
            Ian Bremmer dalam hujah balas mengakui bahawa beliau mempunyai pandangan yang sangat berbeza daripada Aldo Musacchio tentang daya maju kapitalisme negara.  “Musacchio ahli ekonomi, manakala saya ahli sains poliltik.  Beliau menumpukan hujahnya terhadap tanggapan kecekapan dan potensi produktif kapitalisme negara.  Saya menggariskan motif politik yang mencipta sistem ini dan memberikan amaran bahawa terutamanya pada masa krisis, pegawai negara akan menggunakan syarikat yang dikendalikan oleh negara dan alat pelaburan (investment vehicles) untuk mempertahankan kepentingan negara, bahkan dengan mengorbankan prestasi ekonomi syarikat dan pelaburan berkenaan.”
            Dari segi persoalan takrif, hujah Bremmer, “sebagai sistem, kapitalisme negara memerlukan lebih daripada hanya kehadiran syarikat yang dikendalikan oleh negara dan dana kekayaan berdaulat.  Lagipun, jika kita menganggap setiap syarikat “hibrid” sebagai mewakili trend ini, hampir setiap negara perindustrian di dunia boleh dianggap kapitalis negara.”   Beliau menolak Norway dan Brazil sebagai negara (country) kapitalis negara (state).
            Seterusnya, Bremmer mempersoalkan daya maju kapitalisme negara di tempat yang dipersetujui bahawa sistem itu muncul.  “Adakah Rusia, China, atau perusahaan yang dimiliki oleh negara Arab Teluk menjadi lebih berdaya saing sebagai sebahagian jenis ‘kapitalisme negara 2.0’ yang ditegaskan oleh Musacchio?”  Mengetepikan persoalan bilangan syarikat ini yang semakin meningkat yang bersaing dengan multinasiol terbesar di dunia, yang sesetengah muncul sebagai pemenang, Bremmer membangkitkan persoalan, “Jika syarikat benar-benar menjadi berdaya saing, mengapa mereka masih memerlukan sokongan kewangan dan politik daripada kerajaan mereka?  Mampukah syarikat  berkenaan bersaing secara berkesan tanpa kelebihan ini?
            Tidak dapat dipastikan, apabila mengetengahkan persoalan tersebut, sama ada Bremmer sedar bahawa banyak   bank  dan firma kewangan yang perlu diselamatkan atau dimiliknegarakan oleh kerajaan akibat krisis kewangan tahun 2007-2008.  Maksudnya, ketika krisis, syarikat swasta  yang kononnya sentiasa melakukan “pemusnahan kreatif” dan berdaya saing  juga memerlukan perlindungan dan pertolongan kerajaan.
            Sebenarnya, dalam mana-mana ekonomi, penglibatan kerajaan yang bukan sekadar pengawal selia adalah penting; pasaran tidak boleh dibiarkan bergerak sebebas-bebasnya kerana ini boleh membawa padah, seperti yang dapat dilihat dalam krisis kewangan semasa.  Jika pihak swasta enggan memainkan peranannya atas pertimbangan untung rugi, maka kerajaan perlu memikul peranan itu. Demikian juga perusahaan yang dianggap strategik, sepatutnya dikendalikan oleh negara. Sesungguhnya,  kapitalisme negara diperlukan untuk mengimbangi, kalaupun tidak sebagai alternatif, kapitalisme liberal yang semakin ketara cacat-celanya.
            (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Ekonomi, Julai 2012.)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...