Artikel Popular

Thursday, May 31, 2012

Kerkah Kredit

KHAMIS, 31 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Standard & Poor's (S&P), seperti yang dipetik oleh Jeremy Warner, menganggarkan bahawa syarikat di Eropah, Amerika Syarikat, dan ekonomi Asia utama memerlukan kombinasi pembiayaan semula  dan wang baru untuk membiayai pertumbuhan sepanjang empat tahun akan datang antara AS$43 trilion hingga AS$46 trilion.  Tembok hutang yang matang tidak pernah berlaku sebelum ini, meningkatkan prospek kesukaran seterusnya dan melampau dalam pasaran kredit.

"Dengan krisis hutang zon euro masih menekan minyak habis-habisan," tulis Warner, "ekonomi China memperlahkan kepantasan, dan pemulihan Amerika Syarikat masih suam, maka tidak jelas bahawa sistem perbankan adalah dalam mana-mana kedudukan untuk melayani gelombang permitaan yang baru ini."

Krisis zon euro yang berlarutan, tidak menandakan tanda untuk reda,  manakala  Sepanyol kian kesakitan, dan Italy dijangkakan mengalami nasib yang sama, kredit kini, menurut carta harian, The Economist, ketat di kawasan euro jika dibandingkan dengan keadaan ketika krisis kewangan memuncak beberapa tahun lalu.  Keketatan kredit ini mempunyai kesan  menjejaskan ekonomi sebenar, seperti yang berlaku pada 2008-2009, apabila outuput ekonomi merosot, pengangguran meningkat, dan pasaran saham menjunam.

Kecuali, para penggubal dasar mencari penyelesaian yang kekal dan yang patut dipuji, kemungkinan besar perkara yang sama akan berlaku semula.



Wednesday, May 30, 2012

Kopi Lebih, Minyak Kurang (Bukan Gula, Ya)

KHAMIS, 31 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Debat tentang kopi belum lagi reda.  Selepas laporan kajian bahawa orang yang minum kopi panjang umur, BloombergBusinessweek muncul dengan persoalan "kopi boleh membunuh anda?"


Carta harian The Economist melaporkan bahawa  pada tahun 2010, penduduk China hanya minum 25,000 tan kopi, atau kurang separuh cawan setiap orang, berbanding dengan lebih satu juta tan teh.  Akan tetapi, penggunaan kopi di negara itu akan meningkat sebanyak kadar purata hampir 40 peratus setahun dari tahun 2011 hingga 2015, menurut Barclays Capital.  Hal ini akan memerlukan peningkatan besar dalam "keamatan kopi" ekonomi China. Rakyat negara itu akan menggunakan 18 tan kopi bagi setiap AS$1 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2015, berbanding dengan hanya lapan tan pada tahun 2011. 


Barclays meramalkan perubahan besar lain dalam keamatan komoditi ekonomi China pada pertengahan dekad ini.  Amaun tenaga yang boleh diperbaharui digunakan per unit KDNK akan berlipat ganda. 





"Paria" Tetap Popular

RABU, 30 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Sama ada marah ataupun  tidak,  suka ataupun tidak, bahkan membakar sekalipun, perkataan "paria" tetap popular dan tidak mudah dipadamkan sama sekali.  Pada awal bulan ini, Anuar Manshor memuatkan dalam Facebook beliau buku Pariah oleh David Jackson, yang menarik beberapa respons. 

Sebelum ini, Hannah Beech yang menulis tentang Myanmar dalam Time, menggunakan perkataan yang kononnya tidak boleh disentuh di Malaysia: "For as much as we dismiss it as a pariah state, Burma is already a far more political place than China is." Selain China, India juga mengeratkan  hubungan dengan "negara yang bukan lagi paria," tulis Nilanjana Bhowmick dalam Time.   Sebenarnya,  wujud kecenderungan penulis untuk melabelkan Myanmar "negara paria," seperti yang dapat dilihat dalam tulisan Sebastian Strangio dalam The New Republic

Time juga menerbitkan ulasan Mary Pols tentang filem Pariah. Tidak dapat  dipastkan filem ini  akan ditayangkan di Malaysia ataupun tidak.  Kalau ditayangkan, mungkin ada golongan yang merusuh terhadap panggung berkenaan, atau mereka mengadakan upacara pembakaran filem dan poster Pariah.  Juga jika ditayangkan, tidak kurang yang akan naik histeria,  paling tidak terhadap pihak yang berwajib yang membenarkan filem itu ditayangkan.

Selain negara, perkataan "paria" digunakan untuk individu, seperti tulisan Simon Denyer dalam The Washington Post yang merujuk Narendra Modi bekas Ketua Menteri Gujarat, India, yang dituduh bertanggungjawab terhadap pembunuhan atau pogrom  orang Islam, harta benda mereka dibakar,  manakala wanita Islam dirogol, dalam rusuhan kaum yang terburuk yang berlaku di negeri itu.

Yang terbaharu dapat dilihat melalui tulisan Arianna Huffington, "Jimat-cermat:  Kesayangan tahun 2011 menjadi paria tahun 2012" yang menggambarkan pemberontakan Eropah terhadap pelaksanaan langkah jimat-cermat

Mungkin perlu diadakan upacara pembakaran buku yang ditulis oleh Jackson, majalah Time, dan akhbar The Washington Post.  Oleh sebab The Huffington Post hanya akhbar dalam talian, mungkin tindakan protes kerana menggunakan perkataan paria adalah melalui cara lain.  Kepada ahli politik Malaysia yang sentiasa "menangguk di air keruh," mereka sepatutnya hadir ke upacara tersebut sebagaimana kehadiran seorang dua ahli dalam pembakaran Interlok lebih setahun lalu.  

Dunia Ketandusan Bakat

RABU, 30 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Laporan terbaharu menunjukkan kira-kira 72,600 siswazah yang masih  menganggur di Malaysia kerana mereka tidak mempunyai kemahiran mencari pekerjaan dan terlalu bergantung pada pihak lain untuk menyampaikan maklumat tentang peluang pekerjaan. 

Lazimnya, pengangguran  dan kekosongan jawatan yang tidak dapat diisi,  terutamanya yang melibatkan  siswazah di Malaysia, dikaitkan dengan kelemahan penguasaan bahasa Inggeris dan kelemahan komunikasi.  Secara tersirat, bahasa Melayu dipersalahkan yang kononnya menjadi punca segala kejahatan dan kecelakaan, meskipun pengangguran merupakan fenomena global yang mencecah kadar yang tinggi, termasuk pengangguran dalam kalangan belia yang berumur antara antara 15 hingga 24 tahun meningkat kepada hampir 75 juta orang.  

Melalui carta hariannya, The Economist  mendedahkan bahawa meskipun pengangguran  adalah yang tertinggi di banyak negara, satu pertiga  majikan di seluruh dunia menghadapi kesukaran untuk mengisi kekosongan. Memetik kajian ManpowerGroup, melibatkan hampir 40,000 majikan di 41 buah negara. Para pekerja yang mahir sebagai juruelektrik, tukang paip, penurap bata, dan sebagainya adalah kurang dari segi penawaran, diikuti oleh jurutera dan jurujual.  

Kekurangan bakat paling ketara di Asia, terutamanya di Jepun, yang penduduk berumur memburukkan lagi masalah.  Hanya di Perancis, perkadaran majikan yang bersusah payah untuk menemui bakat yang sesuai meningkat dengan signifikat sejak tahun lalu, daripada 20 peratus kepada 29 peratus.  Di Italy, sebaliknya, dikurangkan kepada separuh, daripada 29 peratus kepada 14 peratus.  

Secara keseluruhan, majikan kurang prihatin tentang impak kekurangan kemahiran jika dibandingkan yang mereka hadapi pada tahun 2011. Hal ini demikian mungkin kerana syarikat menjadi lebih selesas menjalankan perniagaan dalam persekitaran tidak pasti yang kekurangan bakat berterusan. 


Kajian tersebut juga dipetik oleh BloombergBusinessweek memang memeranjatkan bahawa dunia kekurangan pekerja mahir.  Seseorang itu tidak perlu bimbang jika dia mempunyai kemahiran tertentu, meskipun di negaranya kadar pengangguran yang tinggi. Kemahiran  yang mempunyai permintaan tinggi ini, pastinya berbeza antara negara:  Juruteknik di China dan Brazil; wakil jualan di Taiwan dan Hong Kong; jurutera di Jepun; pekerja teknologi maklumat di Ireland; buruh di Belanda; dan tukang paip, pengimpal, dan jurulektrik di Amerika Syarikat.

Beberapa buah negara nampaknya berusaha memburu bakat.  Di Malaysia misalnya,  Perbadanan Bakat menyediakan pelan untuk menjadikan negara ini  destinasi bakat global pada tahun 2020.  Negara lain, iaitu China juga sejak dua tahun lalu memperkenalkan "pembangunan bakat" untuk menarik ekspatriat kelahirannya pulang berkhidmat ke negara itu dengan menawarkan gaji yang lumayan dan pelbagai kemudahan.



Rusia Pindah Ibu Negara?

RABU, 30 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH




Fareed Zakaria melalui GPS-nya menulis dengan memetik ahli akademik bahawa Rusia sepatutnya memindahkan ibu negaranya dari Moscow ke tempat yang lebih jauh, iaitu 4000 batu dari ibu negara asal, iaitu ke  Vladivostok.  

Idea itu datangnya daripada ahli akademik terkenal, Sergei Karaganov dari Sekolah Tinggi Ekonomi Moscow, yang menurut Fareed,  menulis dalam  akhbar milik negara  bahawa ibu negara yang terletak jauh di timur akan menjadikan Rusia sebagai sebahagian apa yang Sergei sebut "dunia yang sedang bangkit," iaitu lebih rapat dengan ekonomi Asia yang dinamik dan pergi jauh daripada Eropah yang semakin tua. 

Hujah Fareed, idea tersebut bukannya baru sama sekali dengan menyatakan perpindahan Calcutta ke Delhi pada tahun 1911 oleh India British, Istanbul ke Ankara, Rio de Janeiro ke Brasilia, dan Almaty ke  Astana Kazakhstan untuk lebih rapat dengan Rusia. Namun, beliau menambah, "Mustahil Presiden Vladimir Putin mahu mengikut jejak itu.  Akan tetapi, beliau akan melakukan lebih baik untuk memikirkan kepercayaan yang mendasari di sebalik hujah tersebut, iaitu Moscow memerlukan pembaharuan segera.  Rusia bukannya benar-benar ekonomi pasaran sedang muncul yang sedang melambung, sebaliknya kleptocrazy kaya minyak."

Meskipun Putin sering memetik angka untuk zaman melambung ketika beliau menjadi Presiden. Pendapatan rakyat Rusia purata meningkat lebih tujuh kali ganda pada dekad lalu, iaitu daripada AS$2000 kepada AS$14,000 setahun.  Namun, hujah Fareed, "statistik itu memberitahu cerita yang tidak lengkap.  Pertumbuhan Rusia tidak seimbang."  Jelas beliau, "Moscow mempunyai 78 orang jutawan, satu jumlah yang besar jika dibandingkan dengan mana-mana kota di dunia.  Jutawan itu, bersama-sama dengan yang lain di Rusia, mewakili 20 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Rusia. Jauh lebih tinggi daripada  mana-mana negara. Akan tetapi, ekonomi Rusia tidak dinikmati oleh perniagaan dan 141 juta orang lain di negara itu.

Masalah lain, hujah Fareed, nasib Moscow untuk bertahun-tahun dikaitkan dengan harga minyak mentah.  Data menunjukkan bagaimana saham Rusia meningkat dan menjunam seiringan dengan harga minyak.  Rusia kini memerlukan harga minyak mentah diniagakan pada harga AS$117 setong semata-mata untuk mengimbangkan belanjawannya. 

Balik kepada hujah ahli akademik yang dipetik oleh Fareed itu yang seakan-akan membayangkan Rusia ingin menjauhkan dirinya dari "Eropah dalam krisis" - memetik program  Bloomberg setiap petang dan sesebuah demi sebuah negara di benua itu tersenarai dalam "orang sakit Eropah"   yang sukar dibendung dan  menjadi pengetahuan umum: krisis zon euro.  Tatkala Greece belum pulih, tiba pula giliran Sepanyol

Selain itu, menurut kajian,  jurang antara negara zon euro, iaitu antara Jerman dengan Greece, dan kebanyakan rakyat benua itu  percaya  bahawa integrasi ekonomi Kesatuan Eropah merosakkan ekonomi negara mereka. Di benua itu, berjuta-juta orang sedar bahawa  euro akan lenyap dan kacau-bilau ekonomi menanti mereka.  Bahkan, Fareed sendiri pernah menulis baru-baru ini, mempersoalkan bahawa demokrasi sebahagian masalah ekonomi Eropah.

Pastinya, cadangan perpindahan ibu negara Rusia itu selari dengan kemerosotan Barat,   yang pasti berlaku, anjakan kuasa dari Barat ke Timur, sebahagian krisis  orde lama, dan kemunculan "Abad Pasifik," seperti yang pernah dibahaskan oleh Hillary Clinton dalam Foreign Policy. Sementara Putin sendiri dengan kembali semula beliau ke Kremlin, dikatakan mempunyai aspirasi Eurasian

Sama ada, perpindahan ibu negara dari Moscow ke Vladivostok menjadi kenyataan ataupun tidak, yang jelas Rusia semakin  memandang ke Timur, dan  jauh sekali untuk mendengar celoteh Washington, apatah lagi London. 

Tuesday, May 29, 2012

Kejayaan Bersejarah Obama

KHAMIS,  31  Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Dengan masa yang hanya tinggal kurang dari dua minit,  Dewan Perwakilan Amerika Syarikat memperoleh undi ke-216, iaitu angka magik yang diperlukan untuk meluluskan rang undang-undang pembaharuan penjagaan kesihatan.  Dan, pada pukul 11.35 malam (E.T.), Ahad 21 Mac 2010, rang undang-undang diluluskan dengan 219 undi menyokong, 212 menentang, termasuk 34 orang anggota Demokrat sendiri.  Dipercayai dalam memori moden inilah kali pertama bidang besar perundangan diluluskan tanpa satu pun undi Republikan. 

Setelah bertarung selama setahun, Republikan mengharapkan pembaharuan penjagaan kesihatan itu Waterloo untuk Obama.  Strategi parti ini ialah memperlihatkan bangkangan yang bersatu terhadap idea Demokrat yang besar.  Dari perspektif perundangan,  ada yang menjangkakan  bahawa  strategi Republikan tidak berkesan, meskipun berbulan-bulan ramalan daripada anggota Republikan bahawa rang undang-undang itu akan menemui kegagalan dan akan melumpuhkan kedudukan Obama sebagai presiden.  

David Frum, felow di American Enterprise Institute, sebuah organisasi penyelidikan dipetik sebagai berkata, “Anggota  Republikan  mencuba untuk menewaskan rang undang-undang itu untuk melemahkan Presiden Obama dari segi politik, tetapi dalam proses ini, mereka melepaskan peluang mempengaruhi rang undang-undang yang amat besar.  Imperatif politik mengasak keluar imperatif dasar.  Dan, anggota  Republikan kini hilang kedua-duanya.” Beliau mengakui bahawa “dalam usaha untuk mengubah penjagaan kesihatan menjadi Waterloo Obama – ulangan bencana Clinton pada tahun 1994 – anggota  Republikan menjadikannya Waterloo mereka.”  Kini, orang mula mengakui bahawa Waterloo Obama itu berubah menjadi benih kemusnahan terhadap Republikan.

Hampir  satu abad, presiden dan anggota Kongres mencuba dan gagal untuk menyediakan faedah kesihatan universal untuk rakyat Amerika.  Kos penjagaan kesihatan dikatakan meningkat, misalnya pada tahun 2008, satu dalam enam dolar dibelanjakan untuk penjagaan kesihatan, dan dianggarkan 46 juta orang di negara itu tanpa perlindungan penjagaan kesihatan. Pembaharuan penjagaan kesihatan yang baru sahaja diluluskan itu  akan menyediakan perlindungan kesihatan kepada anggaran 32 juta tambahan rakyat Amerika, bermakna bahawa 95 peratus rakyat negara itu yang dari segi undang-undang mempunyai insurans kesihatan, iaitu meningkat daripada 83 peratus.

Beberapa bulan sebelum diluluskan,  ramai orang memikirkan  bahawa pembaharuan penjagaan kesihatan itu akan berkubur: penentangan padu daripada Republikan, Demokrat yang berbelah bahagi, dan kekalahan calon Demokrat di tangan Republikan untuk kerusi senator di Massachusetts yang sebelum ini dikuasai oleh mendiang Edward Kennedy kira-kira setengah abad.  Namun begitu,  Marc Ambinder membuat jangkaan  yang  tepat dalam makalahnya yang diterbitkan dalam  The Atlantic dalam talian pada awal Mac. “Sememangnya, perfect storm yang hampir-hampir membunuh pembaharuan penjagaan kesihatan dalam Kongres pada tahun lalu,” tulis  beliau, “iaitu suatu proses yang panjang, kepimpinan yang lemah dari Rumah Putih, bangkangan yang kuat daripada Republikan, dan pemilihan Scot Brown.  Tetapi kini, dengan tiadanya perubahan yang dapat ditanggap untuk landskap politik, peluang untuk perundangan besar diluluskan lebih cerah pada hari ini berbanding dengan keadaan dalam dua bulan.   Demokrat bergerak dari half court  ke  three-point line.”

Dengan lulusnya rang undang-undang yang melibatkan peruntukan AS$940 bilion,  Presiden Barack Obama memperlihatkan dirinya sebagai pemimpin yang tidak mudah mengaku kalah.  Sebagaimana  perjalanannya ke Rumah Putih yang terpaksa menempuh pelbagai halangan serta rintangan, bahkan beliau hampir-hampir tewas di tangan Hillary Clinton untuk calon presiden daripada Demokrat, demikian juga ranjau yang terpaksa hadapi untuk pembaharuan penjagaan kesihatan. Selepas setahun bertegang leher yang riuh-rendah, berdekad-dekad kegagalan, dan satu abad harapan yang rosak, akhirnya Amerika Syarikat, di bawah Presiden Obama sampai kepada  sistem penjagaan perubatan yang memperluaskan perlindungan hampir kepada semua warganegaranya.

Apabila Presiden Obama sibuk semula tentang penjagaan kesihatan empat minggu sebelum pengundian, iaitu menunjukkan dengan jelas keutamaan beliau, mengundang anggota  Republikan untuk menghadiri forum di Blair House, dan tanpa belas kasihan mendesak alasan beliau sendiri terhadap syarikat insurans yang macam penyangak, maka orang awam mula menarik perhatian.

Dalam beberapa minggu sebelum  dibahaskan  dalam Kongres, tumpuan beliau adalah terhadap pembaharuan penjagaan kesihatan yang membayangi setiap isu lain, sama ada luar negara ataupun dalam negara.  Bahkan, beliau sanggup  membatalkan lawatannya ke Indonesia dan Australia semata-mata untuk melobi dan memperlihatkan komitmennya.   Dalam makalah “Health Care Pushes Other Issues to the Margins” yang diterbitkan dalam The New York Times pada 19 Mac, Peter Baker memerhatikan bahawa dalam lima minggu selepas  operasi besar-besaran tentera Amerika di Marja, Afghanistan, Obama membuat 38 ucapan, kenyataan atau komen awam lain, tidak pernah sekalipun beliau menyebut operasi itu.  “Bahkan, daripada kira-kira 100,000 perkataan yang diungkapkan dalam tempoh itu,” tegas Baker, “perkataan ‘Taliban,’ ‘Marja,’ dan ‘pengganas’ tidak pernah keluar dari mulut Obama.  Tidak juga kedengaran yang mempunyai sesuatu yang ingin dikatakan tentang pembinaan penempatan di Baitulmuqqadis Timur, golongan militan di Pakistan atau perbicaraan pengganas di New York.  Sebaliknya, beliau menggunakan perkataan ‘kesihatan,’ ‘insurans,’ atau beberapa variasi untuk perkataan itu lebih 800 kali.” 

Ketika dalam wawancara Fox News, pewawancara, Bret Baier mengganggu Obama berpuluh-puluh kali untuk  menanyakan soalan jika beliau berfikir bahawa rang undang-undang itu diluluskan.  Obama menjawabnya  seperti lazim dengan penuh keyakinan: “Ya. Saya yakin rang undang-undang ini akan diluluskan. Dan alasan saya berasa yakin bahawa rang undang-undang  diluluskan adalah kerana ini ialah perkara yang betul untuk dilakukan.

Dalam wawancara itu Presiden Obama juga    menyangkal kritikan Republilkan tentang taktik parlimen, dengan mengatakan “Apa yang saya boleh beritahu anda ialah bahawa undi yang akan berlangsung  akan merupakan undi untuk pembaharuan penjagaan kesihatan.  Dan, jika anda undi menyokong, apa-apa jua bentuk yang berlaku, ini pastinya undi untuk pembaharuan penjagaan kesihatan.” Idea bahawa beliau mahukan pembaharuan “adalah kerana ini ialah perkara yang betul untuk dilakukan” dipercayai  bergema bersama-sama dengan orang ramai.  Sama ada mereka bersetuju dengan beliau ataupun tidak,   mereka kelihatan benar-benar percaya bahawa beliau mempunyai niat yang baik, dan beliau orang yang baik.

Hal ini juga   ditunjukkan dalam tinjauan pendapat Pew Research Center yang mendapati bahawa meskipun kadar penerimaan terhadap Obama ialah 46 peratus, tetapi 61 peratus rakyat Amerika masih berkata bahawa beliau masih memberikan inspirasi.  Seterusnya, 57 peratus mengambarkan beliau sebagai tegas, 54 peratus berkata bahawa beliau masih menjadikan mereka berasa mempunyai harapan, dan 49 peratus berkata beliau sebagai sumber inspirasi.

Presiden Obama  mengadakan pertemuan dan membuat panggilan kepada kira-kira tiga dozen anggota  Demokrat dalam beberapa hari dan memenuhi jadualnya untuk lebih banyak rayuan minit terakhir, termasuk rapat umum di Fairfax, Virginia.  Dalam cara kempen penuh, suara beliau semakin kuat, hampir-hampir menuntut kemenangan dengan mengisytiharkan di hadapan para khalayak yang bersorak.   “Kita akan menentukan penjagaan kesihatan di Amerika,”  beliau memberitahu khalayak.  “Anda perlu menyokong saya untuk menyelesaikan perjuangan ini. Anda perlu berdiri bersama-sama saya sebagaimana anda lakukan tiga tahun lalu dan buat beberapa panggilan dan ketuk beberapa pintu, berbincang  dengan ibu bapa anda, berbincang dengan rakan-rakan anda.  Jangan berhenti.”

Anggota Kongres Demokrat yang pada mulanya menentang, seperti Dennis J. Kucinich dari Ohio dan Dale E. Kildee dari Michigan,   mengubah pendirian mereka dengan menyokong rang undang-undang berkenaan.  Pada hari Jumaat sebelum hari penentuan, dilaporkan bahawa  seorang demi seorang anggota Kongres Demokrat yang atas pagar menentukan pendirian masing-masing, dan perjuangan yang panjang dan cukup bergelora terhadap perundangan penjagaan kesihatan yang amat penting, memang jelas memihak kepada Presiden Obama.

Sebelum  hari Ahad itu, Obama memutuskan untuk melakukan usaha terakhir melalui pujukan peribadi kepada anggota   Demokrat yang berpangkat rendah, mengatur lawatan pada hari Sabtu ke Capitol Hill.  Para pemimpin Demokrat dan Obama menumpukan usaha lobi saat-saat akhir terhadap dua kumpulan Demokrat, iaitu 37 orang yang menentang rang undang-undang awal di Dewan Perwakilan dan 40 orang yang menyokong hanya selepas dijamin rang undang-undang itu memasukkan had pengguguran kandungan yang ketat. Bart Stupak anggota Kongres Demokrat dari Michigan dan bilangan kecil yang menjadi penentu daripada anggota Demokrat lain   yang menentang pengguguran kandungan, berkata pada petang Ahad  bahawa mereka  menyokong perundangan itu.

“How Obama Did It” Peter Beinart dalam The Daily Beast berhujah bahawa presiden tewas pertarungan ideologi terhadap pembaharuan penjagaan kesihatan.   Akan tetapi, dengan tumpuan utama apakah keperluan rata-rata rakyat Amerika, beliau mengatasi perpecahan puak Kiri-Kanan, dan mengukir namanya dalam sejarah.  Mengapa pembaharuan penjagaan kesihatan diluluskan, jelas Beinart, orang ramai melihat siapakah yang turun padang dan siapakah yang merasai denyut nadi mereka.   Dengan memberikan tumpuan debat terhadap individu-individu yang keadaan  kesihatan mereka   “hidup segan mati tak mahu” akibat sistem penjagaan kesihatan kita yang dahsyat dan gila, Obama memperoleh pendapatnya dan memberi partinya keberanian.

“Kini, pada masa kita,” ulas Beinart, “berpuluh-puluh juta rakyat Amerika akan menikmati insurans kesihatan kerana sejak dua bulan lalu, Barack Obama menemui bahasa Franklin Roosevelt dan Lyndon Johnson tentang pembaharuan pragmatik dan berterus terang.”  

Pastinya, penjagaan kesihatan diluluskan kerana kepintaran perundangan Speaker Nancy Pelosi, dan kerana Rumah Putih memenangi anggota Kongres dengan pelbagai sifat baik.  Nancy Pelosi, dikatakan telah pun mencipta buku sejarah, dan kini dengan lulus penjagaan kesihatan itu, kini beliau menulis bab baru dalam mengacu-acukan kuasa.

Sambil menghargai pembaharuan penjagaan kesihatan dan mengatakan  berjuta-juta keluarga pekerja kini  dapat tidur lena, David Brooks dalam kolumnya dalam The  New York Times menyanjung Barack Obama dan  Nancy Pelosi yang memang  layak memainkan peranan utama.  Kedua-duanya terjelma dua sayap besar parti, aspirasi yang berfikiran tinggi golongan terpelajar, dan tahan lasak seperti mesin sistem parti.

“Obama dan Pelosi,” tulis Brooks, “kedua-duanya memiliki kekuatan dan ketahanan politik yang hanya ada jika anda hidup untuk kerajaan dan percaya tanpa belas kasihan dalam kemungkinannya.”  Menurut pemerhatian Brooks, anggota pasukan Obama-Pelosi menghabiskan masa untuk berusaha dalam keadaan yang berliku-liku – menahan sikap remeh anggota yang berfikiran kecil, pendapat awam yang bersikap bermusuhan, hanya kritikan dan maklumat  salah yang melampau, kumpulan besar idea yang bodoh dan ramalan salah daripada orang ramai, seperti saya yang berfikir kemungkinan menang tidak memihak kepada mereka.  “Kerana semangat yang tidak mudah luntur,” puji Brooks,  mereka layak menerima penghormatan generasi akan datang.” 

Dalam seni peperangan, setiap pihak yang berperang memilih  muka bumi yang paling memberikan kelrnihsn  untuk menyerang dan mencuba memaksakan muka bumi itu terhadap pihak lawan supaya mereka hanya  bertahan.  Hal yang sama dalam politik.  Demikian Presiden Barack Obama menjadikan  pembaharuan penjagaan kesihatan sebagai “muka bumi” untuk berperang dengan Republikan,   “Parti Tidak.”   Sesungguhnya, banyak yang boleh dipelajari daripada cara  Presiden Barack Obama menangani pembaharuan penjagaan kesihatan: mengatur strategi, membina pasukan, menggembleng kekuatan, memujuk kawan dan lawan, mendapatkan sokongan rakyat, dan memberikan keutamaan dan fokus.  Obama seolah-olahnya menghayati petua  politik klasik  bahawa “tindakan tanpa penjelmaan bukannya tindakan politik.”
        (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Mei 2010.)

Lebihan dan Defisit Makanan

SELASA,  29 Mei  2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Pada awal Februari, tanpa pesta-pestaan dan meriah-meriah, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengisytiharkan berakhirnya  kebuluran di Tanduk Afrika.Suatu berita yang dialu-alukan, apabila berlaku kemarau terburuk dalam 60 tahun merosakkan wilayah itu, dengan 13 juta orang terpaksa bergelut dengan kebuluran.  Sementara Afrika, menurut tinjuan ekonomi tahun 2012, muncul sebagai salah   wilayah yang mengalami pertumbuhan yang pesat di dunia - menggambarkan bahawa benua itu seolah-olahnya tidak lagi terus bergelut dengan krisis makanan, tetapi hakikatnya, tidak seindah itu.


Laporan terbaharu menunjukkan seorang dalam empat orang kanak-kanak menghadapi pemakanan tidak seimbang yang teruk atau terbantut. Pemakanan tidak seimbang membunuh sebanyak 2.6 juta orang kanak-kanak dan 100,000 orang ibu setiap tahun.  


Memetik Cargill, syarikat perdagangan bijian, carta harian The Economist menunjukkan wilayah manakah di dunia ini mempunyai lebihan atau defisit makanan, dan bagaimana import dan eksport berubah sejak tahun 1965.  Perubahan besar dalam pengeluaran makan pada masa itu datangnya dari Amerika Selatan (terutamanya Brazil) dan di Eropah Timur (Rusia terutamanya).  Kebimbangan adalah bahawa peningkatan ini turun kepada faktor sekala: perkebunan tanah yang diterbiar di Brazil dan keruntuhan Komunisme di Rusia.

Sementara itu, dari segi penggunaan, kelihatan seakan-akan bahawa Asia dan Timur Tengah dan Afrika akan terus memerlukan import yang meningkat untuk menampung keperluan jumlah penduduk yang meningkat.  Untuk menampung keperluan sendiri pada setengah abad akan datang, dunia memerlukan revolusi pertanian di Afrika. 



Monday, May 28, 2012

Orde Dunia Baru Minyak

SELASA, 29 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Minyak sering dikaitkan dengan Timur Tengah yang mendorong Amerika Syarikat selalu menunggu peluang untuk campur tangan di wilayah itu. Negara lain yang turut memiliki  sumber yang mencorakkan geopolitik ialah Venezuela dan Rusia.  Tatkala kebangkitan rakyat berlaku di mana-mana sahaja berikutan Pemberontakan Arab, rejim yang negara mereka kaya dengan minyak dikatakan terselemat sekiranya harga minyak terus meningkat. Minyak juga mendorong  kebangkitan  kapitalisme negara, dan sesebuah terdorong untuk memiliknegarakan sumber ini, seperti yang dilakukan oleh Argentina baru-baru ini

Juan Forero yang menulis dalam The Washington Post mendedahkan bahawa pusat graviti dalam dunia minyak beranjak ke negara-negara Amerika yang secara tradisional, tidak dikenali sebagai pengeluar tenaga ini. Berlaku perubahan yang cepat dari segi dinamik geopolitik tenaga dalam cara yang tidak didugakan hanya beberapa tahun lalu. 

"Dari Kanada ke Colombia ke Brazil," tulis Forero, "pengeluaran minyak dan gas di Hemisfera Barat melambung, dengan Amerika Syarikat muncul kurang bergantung pada bekalan dari Timur Tengah yang tidak stabil.  Pusat persamaan tenaga baru ini ialah Amerika Syarikat sendiri, yang pengeluaran menanjak naik dan kini mengeluarkan 1.7 juta tong lebih minyak bahan api cecair setiap hari berbanding dengan tahun 2005."

Beliau memetik Ruben Etcheverry, Ketua Eksekutif Gas and Oil of Neuquen, firma tenaga yang dimiliki negara yang mengatur kedudukannya untuk memajukan telaga minyak dan gas di Patagonia bahawa "Wujud pemain dan pemacu baru di dunia.  Berlaku anjakan geopolitik baru, dan negara yang tidak pernah menyediakan minyak dan gas kini melakukannya."

Tanpa menafikan minyak yang dikeluarkan di negara Teluk Parsi, terutamanya Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu, Kuwait, dan Iraq akan kekal penting untuk gambaran tenaga dunia, Forero menegaskan bahawa  Kanada, Brazil, dan Colombia,  meningkatkan eksport ke Amerika Syarikat sebanyak 700,000 tong sehari pada tahun 2006 dan kini menyediakan hampir 3.4 juta tong sehari. 

Enam negara Teluk Parsi menyediakan hanya 22 peratus daripada semua import Amerika Syarikat, manakala jiran-jiran Amerika Syarikat di Hemisfera Barat menyediakan lebih separuh, angka yang dipegang secara mantaf untuk bertahun-tahun kerana pengeluaran yang jatuh dalam kuasa minyak Venezuela adn Mexico, sumber itu dapat diperoleh di tempat lain.

Kemelesetan: Industri Seks Greece Terjejas

ISNIN, 28 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Krisis euro tidak memperlihatkan tanda untuk reda, manakala Greece terus menjadi perhatian dan diperingatkan, yang terbaharu oleh Cristine Lagarde, Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)  bahawa ini masa Greece  membayar balik dan jangan mengharapkan simpati. Jika Greece meninggalkan zon euro, selain Britain yang pemulihannya terjejas, kemakmuran  Jerman  dijangkakan  turut pergi bersama-sama Greece

Jika euro runtuh, Britain dilaporkan sudah bersiap sedia menyekat kebanjiran warga Greece dan dari negara lain dalam Kesatuan Eropah ke negara itu.  Sementara menteri kewangan negara anggota juga bersiap sedia dengan pelan kontingensi Grexit membayangkan bahawa suatu kepastian negara itu meninggalkan euro

Greece yang bergelut dengan krisis hutang, kemelesetan, dan pengangguran yang tinggi, turut membawa implikasi sosial, iaitu bunuh diri dalam kalangan rakyatnya. Negara itu dikatakan dilanda wabak bunuh diri.

Implikasi lain akibat kemelesetan, seperti yang dilaporkan oleh The Huffington Post dan The Telegraph, industri seks di negara itu turut terjejas. Industri seks yang pernah berkembang maju, menjadi mangsa terbaharu krisis hutang negara itu kerana rakyat Greece kurang berbelanja untuk mainan erotik, pornografi, dan pakaian dalam yang menghairahkan. 

Hanya satu perempat daripada 300 buah hingga 400 buah kedai seks yang pernah wujud di Athens dapat bertahan menghadapi krisis, dan perniagaan kelihatan muram bagi mereka yang membawa barang mereka ke pesta ria seks. 


Sunday, May 27, 2012

Dari Rusia Tanpa Bahasa

AHAD, 27 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Pada hari Khamis, tercetus pergaduhan dalam kalangan anggota Parlimen Ukraine, yang turut mendapat liputan saluran televisyen di Malaysia.  Pergaduhan itu berpunca daripada rang undang-undang untuk menjadikan bahasa Rusia sebagai bahasa rasmi di wilayah timur Ukraine yang mempunyai penduduk yang kebanyakannya bertutur dalam Rusia.  Anggota Parlimen yang terbabit dilaporkan bergomol dan bertumbuk, dan seorang daripada mereka dimasukkan ke hospital dengan kecederaan di kepala. 

Rang undang-undang berkenaan, menurut ABC News,  membenarkan penggunaan bahasa Rusia di mahkamah, hospital, dan institusi lain di wilayah tersebut.  Pergaduhan tercetus antara anggota pembangkang pro-Barat yang mahu menarik keluar Ukraine daripada bayangan Rusia dengan anggota Parlimen daripada parti Presiden Viktor Yanukovych yang mempunyai sokongan kuat di wilayah timur yang penduduknya bertutur dalam bahasa Rusia. 


Bahasa Rusia nampaknya menjadi tumpuan di negara bekas "takluk" Kesatuan Soviet.  Sebelum ini, Latvia mengadakan pungutan suara atau referendum berhubung dengan penggunaan bahasa Rusia sebagai bahasa kedua. 


Melihat pergaduhan yang tercetus dalam kalangan anggota Parlimen itu, meskipun pergaduhan seperti itu bukan asing dalam kalangan mereka kerana pernah tercetus pada Disember 2010, terlintas dalam kepala saya adakah anggota Parlimen Melayu di Malaysia nekad dan cekal mempertahankan bahasa Melayu daripada diceroboh oleh bahasa asing yang semakin berleluasa? 


Apa yang saya fikirkan itu, saya poskan dalam Facebook, dan bahkan saya membayangkan sekiranya debat antara Najib Razak dengan Anwar Ibrahim diadakan, pusingan pertama mesti berhubung dengan bahasa Melayu.  Mungkin tajuknya, "Bahasa Melayu dalam Pembinaan Bangsa" sebelum masuk ke dalam bab lain, seperti ekonomi dan hubungan antarabangsa.

Menonton Fox News Jadi Dungu

AHAD, 27 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Di sebelah menyebelah Atlantik, Rupert Murdoch dan empayar medianya menghadapi keadaan yang cukup  runcing.  Skandal penggodaman telefon menyebabkan raja media dianggap "bukan orang yang layak"  untuk menerajui News Corporation, dan kini dihadapkan kepada Leveson Inquiry yang mendedahkan pelbagai "skandal" dan bagaimana berpengaruhnya Rebekah Brooks sehingga  Perdana Menteri (dan dua bekas Perdana Menteri) British dan orang penting lain di Britain, semuanya  "masuk ke dalam skirtnya."  

Sementara kajian,  yang antaranya  dipetik  oleh Ben Adler dalam The Nation  dan The Huffington Post, bahawa secara rasmi, menonton Fox News milik Murdoch,  menjadikan penonton dungu. Penonton Fox News dikatakan kurang berpengetahuan, dan bahkan mereka kurang mengetahui tentang politik dan peristiwa semasa berbanding dengan orang ramai yang tidak menonton sama sekali. 

Penonton yang biasanya mampu menjawab 1.8  daripada empat soalan tentang berita asing, dan 1.6 daripada lima soalan tentang berita dalam negara, dan orang ramai yang tidak menonton mana-mana berita mampu menjawab dengan betul 1.22 soalan tentang dasar dalam negara. Seseorang yang menonton Fox News akan dijangkakan menjawab hanya 1.04 soalan tentang dalam negara dengan betul, angka yang secara signitikan teruk jika dibandingkan jika mereka melaporkan tidak menonton media sama sekali. 

Fox News, yang beberapa tahun menjadi perhatian kerana personaliti di stesen itu, dan seperti yang dinyatakan dalam The New Republic, melawan Presiden Barack Obama, mengumpulkan segala kekuatan untuk menyerang Pentadbiran Obama

Di Amerika Syarikat, terbukti bahawa menonton Fox News menjadikan seseorang itu dungu.  Bagaimana pula di Malaysia jika orang ramai menonton TV1, TV2, dan TV3? Untuk menjawab soalan yang cukup kritikal ini, kita memerlukan kajian yang melampaui  politik. 


Bagi pembangkang, seperti yang dapat dilihat melalui Facebook dan blog terutamanya, ketiga-tiga saluran tersebut (dua RTM dan sebuah lagi swasta) memang teruk, mungkin setanding dengan Fox News. Kalau di Amerika Syarikat, saluran televisyen mendungukan orang ramai, maka hal sama tidak mustahil berlaku di Malaysia!


Saturday, May 26, 2012

Krisis Ekonomi China

SABTU, 26 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH



Republik Rakyat Skandal terus menjadi perhatian media dan para pengulas, antaranya James Fallows dan Robert D. Kaplan,  yang merangkumi pelbagai aspek, termasuk hubungan dengan negara jirannya. Fareed Zakaria yang turut menyumbang  untuk rencana utama Time, iaitu tentang kepulangan politik di China, sekali lagi muncul dalam The Washington Post dengan krisis ekonomi negara itu. Fareed memulakan tulisannya dengan membahaskan pergelutan kuasa di China berikutan penyingkiran Bo Xilai, ketua Parti Komunis yang sangat berkuasa di Chongqing, yang menggunakan populisme, wang, dan komplot untuk menuju ke puncak.

"China mungkin mampu mengharungi krisis politiknya," tulis Fareed, tetapi negara itu mendepani cabaran yang lebih mendesak, iaitu krisis ekonomi."  Selama tiga dekad, pertumbuhan ekonomi China amat menakjubkan, iatu 9.5 peratus secara purata setahun. Akan tetapi, hujah beliau, hal ini bukan tidak pernah berlaku sebelum ini.  Jepun, Korea Selatan, dan Taiwan semuanya mengalami pertumbuhan hampir sembilan peratus setahun selama kira-kira dua dekad, dan kemudian mula perlahan.  Banyak orang berfikir bahawa nasib China adalah seperti Jepun, yang runtuh pada tahun 1990-an dan belum bangkit semula.  Akan tetapi, senario yang lebih realistik di Jepun pada tahun 1970-an apabila pertumbuhan harimau Asia asal perlahan, iaitu daripad sembila peratus kepad kira-kira enam peratus.  Korea dan Taiwan mengikut laluan yang sama.

Fareed menjelaskan bahawa punca kemerosotan ini ialah kejayaan.  "Dalam setiap kes, ekonomi mewujudkan tahap pendapatan pertengahan.  Memang  menjadi lebih sukar untuk tumbuh pada rentak terlalu laju apabila anda mempunyai ekonomi dan masyarakat kelas menengah yang besar."  Meskipun kelas menengah di Amerika Syarikat dikatakan merosot, dijangkakan kumpulan ini berkembang sebanyak satu juta orang pada dekad akan datang, kebanyakannya di Asia, termasuk China. Kewujudan golongan kelas menengah dipercayai penting untuk pertumbuhan ekonomi, tetapi Fareed nampaknya mempunyai pendirian yang berbeza.

Data yang lemah mula kelihatan di China apabila baru-baru ini dilaporkan bahawa sektor pembuatannya merosot selama tujuh bulan berturut-turut. Bank Dunia dalam unjuran terbaharunya mengurangkan pertumbuhan ekonomi China pada tahun 2012,  daripada 8.4 peratus kepada 8.2 peratus juga kadar yang sama dijangkakan oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) baru-baru ini. Dalam suku pertama tahun 2012, ekonomi China jatuh kepada 8.1 peratus, terendah dalam masa tiga tahun, tetapi dijangkakan melantun semula dalam bulan mendatang. 

Arthur Kroeber yang menulis dalam Foreign Policy, memerhatikan pertumbuhan ekonomi negara itu  adalah terutamanya mengenai penggemblengan sumber, dan bukannya kecekapan sumber. Kira-kira dua pertiga pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebenar tahunan China disumbangkan oleh tambahan modal dan buruh. Hanya satu pertiga datangnya daripada kecekapan yang lebih besar dalam penggunaan sumber. Kelajuan pertumbuhan ekonomi negara itu dikatakan mula "melanggar tembok."  Selain itu, bagi China, bahas Austin Ramzy, pertumbuhan ekonomi tidak selalunya kegembiraan yang sama.

China boleh dikatakan tidak terlepas daripada radar The Economist, daripada "paradoks kemakmuran" kepada "barbarian di tepi pintu kota," seterusnya, laporan khas tentang ekonomi China. Dalam carta hariannya, majalah itu menafikan bahawa pertumbuhan China disumbangkan oleh eksport, seperti yang banyak orang percaya, sebaliknya sumbangan pelaburan yang tinggi, jauh lebih tinggi daripada keajaiban Asia sebelum ini, seperti Korea Selatan dan Jepun. 





Friday, May 25, 2012

Pusing Ganti dan Prestasi CEO

JUMAAT, 25 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Setelah muncul dengan carta harian tentang bayaran setem di beberapa  buah negara, yang kini memperlihatkan pejabat pos  susah cari makan, bahkan di Amerika Syarikat,  nyaris-nyaris ditutup, bahkan dicadangkan supaya Senat menyelamatkannya, seterusnya The Economist,  menunjukkan pusing ganti dan prestasi ketua pegawai eksekutif. 



Memetik kajian baru tentang pusing ganti CEO di 2500 buah syarikat awam terbesar di dunia oleh Booz & Company, yang menunjukkan bahawa syarikat melantik semula CEO selepas tempoh keberatan melakukan sedemikian ketika krisis kewangan tahun 2009-2010.  Kadar pusing ganti CEO meningkat kepada 14.2 peratus, purata bersejarah tujuh tahunnya.  Kajian itu juga menunjukkan bahawa syarikat sekali lagi melakukan eksperimen dengan melantik CEO dari luar organisasi mereka semula.  Lantikan dari luar adalah 22 peratus daripada jumlah perlantikan  CEO pada tahun 2011, peningkatan yang besar daripada 14 peratus pada tahun 2007, perbezaan ketara trend sedekad lalu terhadap orang dalam.


Thursday, May 24, 2012

Manfaat Minyak Sawit untuk Kesihatan

KHAMIS, 24 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Kira-kira 20 tahun lalu, minyak sawit dari Malaysia diserang hebat oleh pengeluar kacang soya di Amerika Syarikat dengan pelbagai alasan, antaranya keburukan  kesihatan penggunanya.  Mereka menggunakan pelbagai fakta untuk menyokong hujah mereka sehingga menyebabkan Malaysia terpaksa bertungkus-lumus menangkis segala tohmahan itu, termasuk melalui perhubungan awam,  dan terpaksa mengeluarkan perbelanjaan yang besar.  

Serangan pengeluar kacang soya itu sebenarnya berpunca daripada kemasukan minyak sawit Malaysia ke Amerika Syarikat yang mencetuskan persaingan terhadap minyak kacang soya. Mana-mana pengeluar tidak akan membenarkan keluaran mereka terjejas di negara mereka sendiri, seperti yang dilakukan oleh pengeluar kacang soya itu.  Pada pihak Malaysia, negara ini juga melakukan kesilapan kerana memasuki  pasaran negara asing tanpa   usul periksa.  Mudah cakap, "masuk padang orang, kalau tidak kena cara, kena belasah."

Meskipun perang antara kacang soya dengan kelapa sawit sudah pun reda, dari semasa ke semasa, akan berlaku serangan terhadap komoditi utama Malaysia, Indonesia, dan beberapa negara lain, dengan menggunakan isu alam sekitar.  Bahkan, Bank Dunia yang pernah membiayai penanaman kelapa sawit di Afrika Sub-Sahara dan wilayah membangun lain, yang bernilai AS$132 juta, akhirnya menghentikan program itu atas desakan yang mengelirukan daripada kumpulan alam sekitar. 

Dengan membangkitkan pelbagai sumbangan kelapa sawit, seperti dari segi kesihatan, penggunaan dan kepenggunaan, ekonomi negara pengeluar komoditi ini,  dan peluang pekerjaan, Thompson Ayodale yang menulis dalam The New York Times pada Oktober 2010, "kesilapan  Bank Dunia terhadap minyak sawit." 

Dua hari lalu, Neel Chowdhury menulis dalam Time,   bahawa para penyelidik membuktikan potensi manfaat kesihatan daripada minyak sawit. Penyelidikan awal menunjukkan bahawa bentuk vitamin E terkandung dalam buah kelapa sawit, iaitu tocotrienol, yang dapat melawan kanser dan mencegah strok.   Meskipun tocotrienol boleh ditemui dalam bran beras, barli, dan gandum, minyak sawit kaya dengan sumber tersebut, memetik Pramod Khosla, profesor madya dari Jabatan Pemakanan, Wayne State University di Detroit. Beliau memberitahu beberapa kajian tabung uji yang dilakukan sepanjang dua dekad lalu, di Amerika Syarikat, Kanada, dan Malaysia, menunjukkan tocotrienol "sangat berkesan" dalam membunuh sel kanser.

Dapatan kajian terbaharu ini pastinya meredakan pengeluar kelapa sawit dari Malaysia dan negara-negara lain yang  sentiasa menjadi sasaran serangan pihak tertentu, termasuk dari negara maju.  Tidak kurang cadangan pihak tertentu supaya mana-mana produk yang menggunakan minyak sawit, seperti coklat diboikot. Serangan pencinta alam sekitar tidak pernah reda, ada-ada sahaja "modal" mereka untuk mencari kelemahan komoditi ini. Dengan dapatan tersebut, maka mana yang lebih penting: Kesihatan atau alam sekitar yang kesan pencemaran serta kemusnahan tidak seberapa?


Australia Negara Paling Gembira

KHAMIS, 24 Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Australia menurut Bloomberg, merupakan negara paling gembira di dunia, mengatasi Norway dan Amerika Syarikat berasaskan kriteria pendapatan, pekerjaan, perumahan, dan kesihatan. Memetik Better Life Index yang dikeluarkan oleh Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD),  yang melibatkan   11 kategori yang dikaji di 36 buah negara yang diberikan wajaran yang sama.  

Jangkaan hayat pada kelahiran di Australia adalah hampir 82 tahun, dua tahun lebih tinggi daripada purata OECD.  Lebih 72 peratus penduduk negara itu yang berumur antara 15 hingga 64 tahun mempunyai kerja berbayar, mengatasi purata 66 peratus OECD. 

Australia hanya satu-satunya negara maju utama mengelakkan kemelesetan global tahun 2009 dan kerajaan bercita-cita untuk mengembalikan belanjawannya kepada lebihan dalam tahun fiskal yang bermula 1 Julai.  Ledakan pelaburan perlombongan meningkatkan guna tenaga dan memacu kadar pengangguran di bawah lima peratus, meskipun ketika kenaikan nilai mata wang menjejaskan sektor pembuatan dan pelancongan. 


Wednesday, May 23, 2012

Krisis Masih Merayau-rayau

KHAMIS, 24  Mei 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH


Bagi kebanyakan negara, mimpi ngeri, iaitu krisis kewangan dan kegawatan ekonomi yang dialami kira-kia dua tahun lalu, nampaknya kian reda.  Jika Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku keempat 2009 disandarkan harapan untuk tahun 2010, banyak negar boleh menarik nafas lega. Misalnya, Malaysia pada tempoh berkenaan mencatatkan pertumbuhan 4.5 peratus, dan dijangkakan pada tahun ini (2010), mengalami pertumbuhan antara lima hingga enam peratus.  Sementara Amerika Syarikat, pada suku keempat 2009 mencatatkan pertumbuhan 5.7 peratus, terpantas dalam tempoh enam tahun.  China pula, menurut unjuran terbaharu Bank Dunia, akan berkembang pada 9.5 peratus pada tahun ini berbanding dengan unjuran sembilan peratus sebelum in. 
Namun begitu, 16 buah negara zon euro, yang dalam tiga bulan terakhir tahun lalu hanya mencatatkan pertumbuhan 0.1 peratus, mencetuskan ketakutan bahawa Eropah mungkin terjebak semula dalam kemelesetan.  Dalam tempoh itu, Jerman tidak mengalami pertumbuhan sama sekali, Perancis mencatatkan pertumbuhan 0.6 peratus, manakala Italy dan Sepanyol masing-masing menguncup 0.2 peratus dan 0.1 peratus.  Kemelesetan terus melanda Ireland, Greece, dan Cyprus, manakala Portugal lembap, meskipun Austria dan Belanda berkembang. 
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam World Economic Outlook yang diterbitkan  awal tahun ini menyatakan bahawa selepas menguncup lapan peratus pada tahun 2009, KDNK global diunjurkan meningkat kepada 3.9 peratus pada tahun 2010 dan 4.3 peratus 2011.  Meskipun  KDNK untuk ekonomi  maju  dijangkakan turut berkembang untuk tahun ini dan tahun hadapan, tetapi kadarnya agak rendah.  Setelah menyusut sebanyak 3.2 peratus tahun lalu, KDNK ekonomi maju diunjurkan berkembang pada 2.1 peratus (2010) dan 2.4 peratus (2011).   Dalam ekonomi berkenaan, Amerika yang menyusut pada kadar 2.5 peratus tahun lalu, laporan itu mengunjurkan berkembang pada 2.1 peratus (2010) dan 2.4 (2011, manakala zon euro pula yang menyusut 3.9 peratus, diunjurkan berkembang pada kadar 1.0 peratus (2010) dan 1.6 peratus (2011). 
Dalam kalangan  BRIC pula, laporan tersebut  mengunjurkan bahawa Brazil yang menyusut 0.4 peratus tahun lalu, berkembang 4.7 peratus (2010) dan 3.7 peratus (2011), Rusia yang menguncup 3.9 peratus, berkembang 4.3 peratus tahun ini dan 5.1 peratus tahun hadapan.  Sementara India dan China yang masih mengalami pertumbuhan, meskipun dunia dilanda kemelesetan, iaitu masing-masingnya 5.6 peratus dan 8.7 peratus pada tahun lalu; pada tahun 2010 dan 2011,  India  diunjurkan berkembang  7.7 peratus dan 7.8 peratus, manakala China 10.0 peratus dan 9.7 peratus. 
Pada awal tahun ini, Pengarah Urusan IMF, Dominique Strauss-Kahn berkata bahawa China dan ekonomi membangun lain di Asia akan menerajui pemulihan global yang  adalah pantas dan kuat daripada yang dijangkakan, tetapi beliau mengingatkan bahawa wang yang meluru ke dalam pasaran sedang muncul boleh menyebabkan gelembung aset.   China, India, dan ekonomi Asia sedang muncul lain adalah hampir-hampir kembali semula kepada kadar pertumbuhan prakrisis, manakala lantunan di Amerika, Jepun, dan ekonomi maju lain masih  “lembap.”  
Walaupun IMF tidak meramalkan kemelesetan dua cerun  (double-dip)  atau kemelesetan kedua, namun tegas Strauss-Kahn, risiko masih wujud.  Kita perlu terlalu berhati-hati kerana pemulihan ini adalah sangat lemah.  “Meskipun beratus-ratus bilion dalam perbelanjaan rangsangan di seluruh dunia mengelakkan satu lagi Kemelesetan Besar,” kata beliau, “risiko paling penting yang mendepani ekonomi global adalah untuk memutuskan berapa dan bila untuk kebalikan dasar berkenaan dan menangani akibat beban hutang.  Mencari masa yang betul untuk melaksanakan dasar keluar adalah benar-benar sukar.  Jika anda keluar terlalu lewat, anda membazikan sumber.  Jika anda keluar terlalu awal, anda berhadapan dengan risiko untuk mengalami kemelesetan semula.” 
Sementara laporan Bank Dunia, Global Economic Prospect 2010: Crisis, Finance, and Growth  menyatakan bahawa krisis yang berlaku mempunyai kesan kumulatif yang serius terhadap kemiskinan, dengan 64 juta lebih orang dijangkakan hidup dalam kemiskinan melampau pada akhir tahun 2010 berbanding dengan keadaan tanpa krisis. Meskipun ekonomi dunia kini bebas daripada krisis, dan kadar pertumbuhan KDNK mula meningkat, tetapi laporan itu mengingatkan bahawa pertumbuhan mungkin perlahan pada akhir tahun ini kerana impak pertumbuhan rangsangan pakej rangsangan lemah, dan bahawa memerlukan masa bertahun-tahun sebelum pekerjaan dipulihkan dan kapasiti perindustrian diserapkan semula.  KDNK global yang merosot sebanyak 2.2 peratus tahun lalu, dijangkakan tumbuh pada kadar 2.7 peratus ini dan 3.2 peratus tahun 2011.  Volum perdagangan dunia yang jatuh secara mengejutkan 14.4 peratus tahun lalu, diunjurkan berkembang pada 4.3 peratus tahun ini dan 6.2 peratus tahun 2011. 
“Kekuatan pemulihan akan bergantung pada permintaan pengguna dan sektor perniagaan yang picking up dan langkah kerajaan menarik balik rangsangan fiskal dan monetari.  Jika dilakukan segera, ini mungkin membunuh pemulihan; namun begitu, menunggu terlalu lama mungkin menggembungkan semula beberapa gelembung yang mencetuskan krisis.” 
Negara membangun, menurut laporan itu,  dijangkakan mencatatkan pemulihan yang kuat, dengan 5.2 peratus pertumbuhan KDNK tahun ini dan 5.8 peratus tahun 2011 – berbanding dengan 1.2 peratus tahun 2009. Negara kaya yang merosot sebanyak 3.3 peratus tahun lalu, dijangkakan tumbuh kurang cepat, iaitu sebanyak 1.8 peratus tahun 2010 dan 2.3 peratus tahun 2011.  Prestasi dunia membangun adalah berbeza-beza.  Kemelesetan adalah teruk di Eropah dan Asia Tengah, sedangkan pertumbuhan terus kuat secara relatifnya di Asia Timur dan Pasifik.  Asia Selatan dan Timur Tengah dan Afrika Utara selamat daripada kesan teruk daripada krisis, manakala Afrika Sub-Sahara adalah teruk, dengan tinjauan rantau ini masih tidak pasti.  Di Amerika Latin dan Caribbean yang fundamental adalah kukuh membantu rantau ini menempuh krisis ini dengan lebih baik jika dibandingkan dengan krisis yang lalu. 
Menurut Global Economic Prospects 2010   lagi, pasaran kewangan masih susah dan permintaan sektor swasta jatuh di tengah-tengah pengangguran yang tinggi, mengingatkan bahawa meskipun keterukan krisis kewangan, mungkin berakhir, tetapi pemulihan adalah lemah.  Laporan meramalkan kesan sampingan daripada krisis akan mengubah landskap untuk kewangan dan pertumbuhan sepanjang 10 tahun akan datang. 
Semasa menyampaikan kertas kerja, “International Policy Cooperation:  Essential for Securing the Global Economic Recovery and Modernizing the Global Financial Architecture” sempena mesyuarat tahunan ahli parlimen Eropah pada 17 Mac, Strauss-Kahn mengakui bahawa krisis kewangan  mengkibatkan kebinasaan sejak tahun 1930-an, iaitu krisis yang mencetuskan akibat  yang sangat besar terhadap penduduk di seluruh dunia.  Sambil  mengakui bahawa krisis ini mendedahkan kelemahan yang serius dalam ekonomi dan institusi kewangan,  di Eropah, tegas beliau,  “krisis ini membangkitkan beberapa persoalan tentang kelangsungan (survival) Kesatuan Eropah.”   Beliau juga mengakui bahawa kebanyakan ekonomi maju, pemulihan masih agak suam, dan masih bergantung pada ekonomi sokongan, manakala di banyak negara, tugas yang kritikal untuk beberapa tahun akan datang adalah untuk meletakkan semula hutang awam pada tahap yang mampan, iaitu untuk mengelakkan hutang membebankan kadar faedah dan pertumbuhan, dan mencuri ruang untuk tindakan dalam peristiwa kejutan masa depan.  Strauss-Kahn akur bahawa keadaan ini adalah sukar kerana dalam  ekonomi maju, hutang awam pastinya meningkat kepada purata 110 peratus KDNK pada 2014, kira-kira 35 titik peratusan lebih tinggi daripada sebelum krisis.  
How to Walk the Fiscal Tightrope that Lies Before Us”  yang diterbitkan dalam Financial Times,  Martin Wolf mengemukakan perangkaan tentang defisit di beberapa buah negara yang boleh menyebabkan banyak orang berasa bimbang tentang masa hadapan ekonomi dunia.   “Negara pendapatan tinggi yang mengalami lompatan yang besar dalam defisit dan hutang,” tulis Wolf, “tidak dapat dielakkan ialah Ireland, Sepanyol, United Kindom, dan Amerika Syarikat.  Negara ini yang mempunyai ledakan kredit yang besar dan gelembung aset.”  Dengan memetik unjuran Rumah Putih,  bahawa di Amerika, hutang persekutuan kasar akan melebihi 100 peratus KDNK pada 2012, Wolf mengingatkan, “Amerika adalah diramalkan tidak akan mengalami belanjawan berimbang lagi; bahawa dasar monetari, bukannya defisit yang menyelamatkan ekonomi; bahawa kadar faedah yang tinggi akan akan dilaksanakan; dan, terutama sekali, hutang fiskal yang tinggi adalah merosakkan.”  
Beliau juga memetik sumber  pengarang daripada Bank for International Settlements (BIS) bahawa nisbah hutang awam dengan KDNK boleh mencecah 250 peratus di Italy pada 2050, 300 peratus di Jerman, 400 peratus di Perancis, 450 di Amerika Syarikat, 500 peratus di United Kingdom, dan 600 peratus di Jepun.  Dengan memetik kertas kerja  Carmen Reinhart  Kenneth Rogoff baru-baru ini bahawa “sebaik-baik sahaja nisbah hutang awam dengan KDNK melebihi 90 peratus, kadar pertumbuhan median akan jatuh sebanyak satu peratus setahun,” Wolf menegaskan, “ini akan menelan belanja yang besar.  Lagipun, wujud risiko pada tahap tertentu, keyakinan akan hilang dan kadar faedah akan meningkat naik, dengan impak teruk terhadap dinamik hutang.”  Namun begitu, beliau nampaknya berkongsi pandangan popular bahawa mengetatkan  fiskal  besar-besaran pada hari ini akan menjadi kesilapan yang serius:  “Risiko yang besar yang pasti bahawa ini akan melonggokkan  dunia balik semula ke dalam kelemesetan.” 
Meninjau jauh ke hadapan, bagaimanakah pemulihan dapat dikekalkan dalam jangka yang lebih panjang?  Salah satu yang penting adalah untuk mengurangkan ketidakseimbangan global.  Demikian bahas  Strauss-Kahn dalam kertas kerja yang dinyatakan di atas.  Namun begitu, dalam keadaan Greece  kucar-kacir, zon euro kucar-kacir, negara Barat kucar-kacir, dan dunia kucar-kacir, sesungguhnya, langkah untuk mengurangkan ketidakseimbangan global adalah sesuatu yang sukar, mungkin juga sesuatu yang mustahil dalam tempoh yang terdekat.  Di bawah ini diperturunkan beberapa beberapa kepincangan serta krisis, dan oleh itu, ketidakseimbangan global yang tidak mudah dirungkaikan. 
Sumber Kesatuan Eropah menganggarkan Greece memerlukan suntikan kewangan kira-kira AS$27 bilion.  Setakat ini, belum kelihatan usaha untuk menyelesaikan krisis kewangan Greece menerusi bantuan Eropah.  Presiden Suruhanjaya Eropah, Jose Manuel Barroso, yang tidak mahu Greece diabaikan, berkata, “Adanya bantuan daripada rakan-rakan Greece akan menunjukkan pasaran kewangan bahawa negara Kesatuan Eropah adalah bersatu untuk mempertahankan mata wang tunggal mereka dan kestabilan zon euro,”  kawasan yang 16 buah negara berkongsi euro sebagai mata wang mereka. Sementara  Suruhanjaya Eropah mendesak Jerman dan kerajaan zon euro yang lain melaksanakan pakej pinjaman kerajaan-dengan-kerajaan untuk meredakan keadaan getir kewangan dan menamatkan berminggu-minggu kacau-bilau kewangan dan spekulasi. Tatkala  Greece bergelut dengan beban defisit yang besar dan berbulan-bulan mencari  penyelesaiannya, Perancis dan Jerman tidak sepakat:  Presiden Perancis Nicolas Sarkozy menentang desakan Jerman supaya IMF menghulurkan pinjaman kepada Greece. 
Untuk Eropah, Pengarah Urusan IMF, Dominique Strauss-Kahn,  mencadangkan  bahawa benua itu perlu  mempunyai “pasukan bomba” yang disokong oleh dana daripada kerajan dan sektor swasta untuk berhadapan dengan kegagalan bank-bank besar.  Krisis kewangan yang berlaku  mendedahkan beberapa kelemahan dalam kawal selia kewangan Eropah, termasuk tiadanya mana-mana mekanisme yang ditakrifkan dengan baik untuk berurusan dengan pemberi pinjaman yang besar yang beroperasi merentas sempadan negara. 
Di Amerika, selain   hutang awam bertimbun-timbun pada kadar yang menghairankan dan tidak berhenti-henti,   upah untuk golongan kelas menengah lembap. Kadar pengangguran masih tinggi. Negara itu  memerlukan masa  untuk pulih sepenuhnya daripada krisis kewangan.  Agensi penarafan kredit, iaitu  Moody’s, Standard and Poor’s, dan Fitch  memberikan amaran bahawa mereka mungkin menurunkan gred hutang tiga kali ganda-A Amerika Syarikat jika negara itu gagal mengawal defisit belanjawan.  
Walaupun Asia dikatakan menerajui dunia untuk keluar daripada kemelesetan, namun  pada pertengahan Mac lalu, Bloomberg.com melaporkan penggubal dasar Bank England, Andrew Sentance,  berkata bahawa pemulihan dalam ekonomi global, terutamanya di Asia, menimbulkan risiko inflasi yang lebih pantas.  “Wujud kebimbangan bahawa pertumbuhan di Asia dan pasaran yang sedang muncul yang lain mungkin terbukti terlalu kuat, merangsangkan pertumbuhan harga aset dan meletakkan tekanan menaik terhadap harga tenaga dan komoditi.”  
Sementara Jepun pula terpaksa bertarung dengan deflasi, justeru,  Bank Jepun  baru-baru ini  menawarkan pinjaman murah kepada bank-bank.  Bank pusat negara itu mengakui bahawa   cabaran kritikal  terhadap ekonomi Jepun untuk mengatasi deflasi dan kembali kepada laluan pertumbuhan mampan dengan kestabilan harga.  Jepun yang mengalami pertumbuhan pada kadar tahunan 3.8 peratus pada suku tahun keempat 2009, terpaksa mengambil langkah yang berbeza dengan beberapa buah negara Asia-Pasifik, yang mengetatkan dasar monetari: peningkatan kadar faedah di  Australia dan Malaysia, manakala China dan India mengurangkan kecairan untuk mengawal inflasi. 
Untuk mengurangkan ketidakseimbangan global, pastinya memerlukan usaha bersepadu yang melibatkan banyak negara, baik negara maju mahupun negara membangun. Malangnya, bulan-bulan awal 2010 – tatkala dunia baru sahaja bebas daripada kemelesetan, Amerika dan China asyik bertelagah. 
Dengan eksportnya meningkat, meskipun ekonomi besar lain masih bertungkus-lumus untuk pulih  daripada cengkaman kemelesetan, dipercayai,  China dengan jelas  menggunakan peraturan tentang perdagangan global untuk kepentingannya, iaitu memacu ekonominya sendiri sambil menjejaskan negara lain, termasuk Amerika.  Dengan mencuba untuk mengekalkan penguasaan eksportnya, China dikatakan menggunakan  usaha dua penjuru, iaitu menentang fahaman perlindungan dalam kalangan negara rakan perdagangannya dan menurunkan nilai mata wangnya. 
Ketegangan yang  bangkit yang berpunca daripada dasar ekonomi China, dan  memang wajar begitu, tulis Paul Krugman dalam The New York Times pada 14 Mac lalu:  “Dasar China mengekalkan mata wangnya, renminbi, dikurang nilai menjadi punca utama yang meleret-leretkan pemulihan ekonomi.  Sesuatu mesti dilakukan.”  Dengan membangkitkan bahawa aduan yang meluas bahawa China memanipulasikan mata wangnya, iaitu menjual renminbi dan membeli mata wang asing, supaya renminbi terus lemah dan eksport China berdaya saing secara dibuat-buat, Penerima Hadiah Nobel Ekonomi itu  mengingatkan bahawa dasar ini memberikan kerosakan yang serius terhadap negara lain di dunia ini.  Kebanyakan ekonomi besar dunia tersekat dalam perangkap kecairan, meleset dengan mendalam, tetapi tidak mampu menjanakan pemulihan dengan memotong kadar faedah kerana kadar relevan telah pun hampir-hampir sifar.  Oleh sebab dasar mata wang China banyak menambah kepada masalah ekonomi dunia pada masa apabila masalah itu telah pun sangat teruk, Krugman menyeru, “Inilah masa untuk menyatakan pendirian.” 
“Will China Listen?” demikian tajuk editorial The New York Times sebagai menandakan ketidakpuasan terhadap keputusan China untuk mengasaskan pertumbuhan ekonominya pada eksport barang yang  sengaja dikurang nilai adalah mengancam ekonomi di seluruh dunia.  Langkah China itu dikatakan memarakkan lagi defisit perdagangan yang besar di Amerika dan Eropah.  Bahkan lebih teruk langkah itu mengasak keluar eksport dari negara membangun lain, mengancam harapan pemulihan negara berkenaan.  Menurut editorial itu lagi, aduan demi aduan di Washington tentang manipulasi China terhadap mata wangnya – dan sikap berdiam diri kebanyakan negara lain – mungkin mendorong seseorang untuk berfikir bahawa semua ini adalah semata-mata masalah Amerika.  Tetapi, tidak.  
Walau bagaimanapun, China dengan tegas mempertahankan dasarnya.  “Saya tidak fikir renminbi adalah dikurang nilai,” kata Perdana Menteri China, Wen Jiabao yang menolak cadangan supaya yuan dinaikkan nilai, meletakkan risiko kemerosotan yang seterusnya dalam hubungan dengan Amerika apabila para penggubal undang-undangnya dan ahli-ahli ekonomi berkata pendirian beliau itu menghalang pemulihan global.  Menurut Bloomberg.com, Paul Krugman menganggarkan bahawa pertumbuhan global  adalah kira-kira 1.5 titik peratusan lebih tinggi jika China menghentikan mengawal nilai yuan, dan selepas jawapan Wen itu, beliau berkata “Amerika sepatutnya mempertimbangkan pelaksanaan surcaj 25 peratus terhadap barang China.” 
Sesungguhnya, pemulihan ekonomi global bukan sahaja suatu perjalanan yang jauh, tetapi juga terpaksa menempuh  pelbagai krisis yang mungkin menjelma di sepanjang perjalanan itu.  Setengah-tengah krisis itu kelihatan di kejauhan, manakala sesetengahnya muncul dengan tiba-tiba.  Ketiadaan pemimpin dunia untuk mengambil daya usaha bersepadu untuk membendung krisis seperti yang dapat dilihat ketika  krisis kewangan baru-baru ini memungkikan  krisis bermaharajalela.  Sesungguhnya juga, psikologi penafian akan menyediakan ruang yang luas untuk krisis merayau-rayau mencari mangsanya, baik korporat mahupun negara.
         (Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan  Ekonomi Mei 2010.)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...