Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Semasa makan angin di Turki pada tahun 2010, saya dan isteri bersama-sama anggota rombongan lain, boleh dikatakan, banyak dihidangkan makanan sayur-sayuran. Setelah tiga empat hari di sana, bergerak dari sebuah tempat ke sebuah tempat, tidak sempat tidur lena, seorang daripada anggota rombongan menyatakan tanggapannya bahawa di Turki kami dapat menikmati "kambing bakar," makanan lazim di Timur Tengah.
Saya juga beranggapan begitu, meskipun saya tahu Turki terletak di Eropah, dan pemandu pelancong dari negara itu beberapa kali memberitahu bahawa Turki bukannya Arab. Meskipun Turki negara Mediterranean, saya tidak membayangkan bahawa setiap hari kami dihidangkan dengan sayur-sayuran segar, termasuk cili hijau dan cili padi, tidak kurang cili jeruk dan buah zaitun serta minyaknya. Di sepanjang perjalanan, saya perhatikan pokok zaitun ditanam di kiri dan kanan jalan. Tidak kurang madu lebah, yang di sesetengah hotel kami menginap disajikan bersama-sama "sarangnya."
Isteri yang gemar makan sayur dan tidak makan daging, nampaknya betul-betul seronok dengan makanan yang disediakan itu. Saya pula terpaksa berpada dengan yang ada, meskipun selera mula tumpul kerana selalu makan sayur-sayuran.
Diet Mediterranean yang kaya dengan minyak zaitun, menurut penyelidikan The New England Journal of Medicine, yang dipetik oleh Time, The Atlantic, dan The Telegraph, mengurangkan risiko serangan jantung dan strok.