Artikel Popular

Thursday, November 1, 2012

Romney Tergelincir di Ohio?

KHAMIS, 1 November 2012
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH




Tatkala Hari Pilihan Raya tinggal enam hari lagi dan Presiden Barack Obama masih bergelut dengan Taufan Sandy, pencabarnya, Mitt Romney melalui kempen dan sekutunya melancarkan strategi pengembangan peta. Super PAC pro-Romney, Restore Our Future, dilaporkan membeli iklan AS1.8 juta di Minnesota dan New Mexico mulai hari Rabu.  Di tempat lain, perbelanjaan Republikan memaksa Demokrat menyaingi mereka dari segi dolar untuk dolar di Michigan dan Pennsylvania. 

Strategi tersebut merupakan peluang dan keperluan.  Berbeza dengan Pilihan Raya Presiden sebelum ini, yang berlebihan ruang, kekurangan wang, kini dengan kemunculan super PAC, untuk turut berkempen bagi calon sokongan mereka, keadaan berubah kepada berlebihan wang, kekurangan ruang.  Kempen Romney dan sekutu luar mereka mempunyai banyak wang. Bahkan, mereka mempunyai wang yang berlebihan daripada yang mereka perlukan untuk digunakan di sembilan negeri yang menjadi tumpuan perbelanjaan iklan setakat ini.

Ketika sembilan negeri berayun mengecil bilangannya menjadi lima buah, iaitu New Hampshire, Wisconsin, Virgnia, Florida, dan Colorado, beberapa tinjauan pendapat terbaharu menujukkan bahawa Obama terus mendahului Romney di Ohio - negeri yang selama ini perlu dimenangi oleh calon Republikan jika mahu mara ke Rumah Putih.  Bahkan, apabila kempen Romney dan sekutu mereka melancarkan pengembangan peta, dapat dikesani bahawa mereka sudah putus harapan di negeri yang mempunyai 18 undi badan perwakilan pemilih.

Tinjauan pendapat Ohio yang baru yang dikeluarkan pada pagi Rabu oleh CBS News/The New York Times/Quinnipiac University, menunjukkan bahawa Obama mengekalkan lima titik peratusan mengatasi Romney di Ohio, iaitu margin sama daripada kajian yang dijalankan  oleh pihak tersebut  dua minggu lalu.  Kebanyakan tinjauan pendapat baru memberikan kelebihan kepada Obama, model penjejakan HuffPost Pollster yang menujukkan Obama terus mendahului Romney di Ohio hanya lebih sedikit dua titik peratusan, iaiotu 48.4 berbanding 46.1 peratus.

Meskipun Romney memperlihatkan kemaraannya di beberapa negeri lain, Ohio kekal seadanya dalam genggaman Obama, manakala  di Florida dan Virginia menyaksikan persaingan sengit. Di kedua-dua buah negeri itu, Obama diperhatikan merapatkan jurang dengan Romney. 

Sementara di peringkat nasional, meskipun perlumbaan sengit,  tinjauan pendapat penjejakan harian Reuters/Ipsos yang dijalankan sebelum Taufan Sandy melanda, menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Amerika berpendapat Presiden Barack Obama akan menewaskan Mitt Romney.  Demikian juga tinjauan pendapat Gallup yang dijalankan sebelum taufan melanda, bahawa 54 peratus rakyat Amerika fikir Obama akan menang dalam pilihan raya ini berbanding dengan 32 peratus yang meramalkan Romney menang.

Secara keseluruhannya, Obama dan Romney terikat di peringkat nasional, tetapi di peringkat negeri, menurut Nate Silver dalam FiveThirtyEight dan Nate Cohn dalam The New Republic, Obama mendahului pencabarnya.  Dalam pada itu, wujud beberapa pemboleh ubah dalam minggu terakhir ini, sesetengahnya boleh membantu Obama.  Taufan Sandy memberi Obama peluang untuk memperlihatkan kepimpinannya, dan jika respons kerajaan Persekutuan adalah kuat, maka hal ini sepatutnya membantu beliau.  

Dalam hal ini, sanjungan Gabenor New Jersey, Chris Christie daripada Republikan dan merupakan  orang harapan Romney, terhadap Obama dalam menangani ancaman taufan itu, mungkin banyak membantu beliau.  Obama membuktikan kepada rakyat Amerika bahawa beliau boleh bekerjasama dengan sesiapa sahaja, melampaui politik kepartian.  "Obama memilih salah seorang bintang Romney," tulis Howard Kurtz.  Daripada turun berkempen ke Ohio, Obama melawat New Jersey yang dilanda taufan.  "Sandy memasuki politik" - memetik Amy Davidson.  Kini,  gelombang   untuk Obama yang dipermudah lagi akibat kegagalan Romney memuktamadkan perhitungan selepas debat Presiden 3 Oktober lalu.

Balik ke Ohio, pintu telah tertutup buat Romney, demikian isytihar Nate Cohn. Di negeri ini,   Obama yang sejak Ogos, secara sederhana, tetapi konsisten mendahului Romney,  dan nampaknya sukar digugat hingga ke saat akhir.  Tanpa Ohio, pastinya laluan Romney ke Rumah Putih, yang sejak awal lagi memang tidak banyak alternatif,  menjadi bertambah sukar. 



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...