AHAD, 6 Mac 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sea World, Gold Coast, Australia.
Tatkala menghitung detik persaraan
melangkah keluar meninggalkan organisasi tercinta ini
tanpa menoleh ke belakang
terkenang daku perjalanan hidup yang cukup panjang
menjejaki denai memori yang berliku.
Anak desa membesar dalam keluarga tradisional
pertaruhkan nasib zaman remaja di kota kosmopolitan
dengan seribu harapan dengan seribu impian
dengan segala kepayahan dengan segala kejerihan
tersilap percaturan, terdampar di pantai kemusnahan.
Tatkala daku dalam kegelapan
hampir hanyut dalam arus kehidupan kota
di hujung terowong daku ternampak sinaran cahaya
menggamit daku meninggalkan kegelapan.
Berbekalkan keazaman dan kesabaran
di kota kosmopolitan inilah daku membina keluarga, mencorakkan masa depan
di kota kosmopolitan inilah daku bernaung, di Dewan Bahasa dan Pustaka
mencari rezeki dan memajukan kerjaya
kini, kerjaya daku berakhir di sini.
Berakhirlah sudah sebuah penantian
tiada lagi malam yang panjang
yang kadangkala mimpi indah bertukar igauan ngeri
padamlah sudah rasa risau dan cemas untuk belayar
tidak lagi mengibaratkan diri seperti jeneral yang kalah dalam peperangan
semakin banyak serangan dilancarkan, semakin banyak kekalahan.
Tatkala daku ingin melangkah keluar
teringat kata-kata orang terdahulu
tentang kekecewaan tentang kegagalan
dalam menerajui Jabatan yang penting ini.
Daku berkongsi kekecewaan dan kegagalan dengan mereka
mengenangkan prestasi penerbitan buku, yang masih rendah tahun demi tahun
pelbagai usaha telah dilakukan, tapi belum berhasil
dan mungkin tidak akan berhasil...
Masa daku telah berakhir
tiada lagi surat yang perlu ditandatangani
bayaran perlu diluluskan, aktiviti yang perlu dilaksanakan
namun, daku tetap bersama-sama kalian
hingga ke titisan dakwat yang terakhir
namun, daku bukanlah seorang perwira
yang mampu berjuang hingga ke titisan darah terakhir
yang tinggal hanyalah seribu kenangan
yang akan dibawa dalam perjalanan hidup seterusnya.
Khususnya kenangan pada detik-detik terakhir kerjaya:
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur
Penerbitan edisi khas Dewan Masyarakat
Hadiah Karya Ilmiah 2007
Malam Penulis-Editor
Mesyuarat dan bengkel
Pertandingan boling Jabatan Penerbitan
di samping kerja rutin harian.
Daku juga meninggalkan menara impian yang belum sempurna
daku tidak lagi bersama-sama kalian
untuk memikul tanggungjawab dan menunaikan amanah
dengan pelbagai kepayahan dan kejerihan
lazimnya, perpisahan itu dibaluti kesedihan dan kepiluan
menyayat hati, menghiris perasaan.
Inilah hakikat kehidupan yang tidak mungkin dihindari
meskipun dalam mengharungi perjalanan hidup, hari esok tidak diketahui
kata Lara masih segar dalam ingatan. Alangkah indahnya hidup ini
daku terus mengimpikan hidup yang indah pada hari-hari mendatang
dalam melayari hidup sebagai seorang pesara.
(Nota: Puisi ini berasaskan sebahagian teks ucapan saya sempena majlis persaraan saya sebagai Pengarah Penerbitan, Dewan Bahasa dan Pustaka, yang diadakan pada 22 Mei 2008. Saya banyak terhutang budi kepada Rozninah Abd. Azib, editor Dewan Sastera, yang banyak menyunting dan memperkemaskan draf puisi ini sehingga dapat diterbitkan dalam bentuk seperti ini. Puisi ini diterbitkan dalam majalah berkenaan Julai 2008.)
No comments:
Post a Comment