Artikel Popular

Tuesday, March 1, 2011

Pemberontakan Arab: Neokonservatif Serang Obama

SELASA,  1 Mac 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Tariq Ali  dalam makalah terbaharunya,  This is an Arab 1848. But US Hegemony is Only  Dented,” antaranya membahaskan bahawa  “yang menggelikan, sekiranya dengan bermegah-megah, anggapan neokonservatif  bahawa dunia Arab dan Muslim adalah berseteru dengan demokrasi telah lenyap bagaikan manuskrip dijilat api.”  Puak neokonservatif dan George W. Bush ketika beliau menjadi presiden menyalahkan kebangkitan al-Qaeda kerana tiadanya demokrasi di dunia Arab.  Tatkala protes di Mesir masih berterusan, puak neokonservatif yang pernah menjadi juara hebat demokrasi di rantau itu, mengambil sikap berdiam diri.
Pemberontakan Arab kedua  menjadikan  Pax-Americana terkejut dan terpinga-pinga.  Sementara   golongan neokonservatif  pula terpaksa mencari helah, dan   akhirnya, sekadar mendakwa kegagalan dasar luar Presiden Barack Obama, seperti yang ditulis oleh Niall Ferguson, yang telah pun dirujuk dalam “Mubarak Tumbang Obama Tempang.”  
Keceluparan  sejarawan neokonservatif itu  mengundang  kritikan   Michael Tomasky,  kerana menurut  beliau,  adalah silap bagi Ferguson  untuk membandingkan Obama dengan Bismark.  Tambah Tomasky, Ferguson mahukan “strategi besar-besaran,” dan beliau menyuarakan kekecewaan terhadap penunjuk perasaan di Kaherah,  Israel,  dan Arab Saudi.  “Anda boleh melakukan yang terbaik yang termampu oleh anda,” tulis Tomasky,   “akhirnya, penunjuk perasaan menang, dan Amerika Syarikat tidak dapat menghalangnya.” 
Serangan  puak neokonservatif terhadap Pentadbiran Obama tidak terhenti setakat  Ferguson, dan yang terbaharu, datangnya daripada nama yang tidak asing, iaitu Paul Wolfowitz, arkitek utama pencerobohan Amerika terhadap Iraq pada tahun 2003.  Sementara Ferguson tertumpu pada Mesir, Wolfowitz pula memilih Libya untuk menyerang Obama.  Dalam  siri wawancara “Fareed Zakaria GPS” melalui CNN, seperti  yang dilaporkan oleh Amanda Terkel,   Wolfowitz mengkritik Pentadbiran Obama yang “terlalu lambat” mengutuk Muammar Gaddafi.  Namun, beliau juga mengkritik bekas bosnya, iaitu George W. Bush kerana pergi terlalu jauh dalam memulihkan  hubungan dengan Libya.
Tentang respons Obama terhadap krisis di Libya,  bekas Timbalan Setiausaha Pertahanan itu berkata, bahawa beliau “bingung” oleh reaksi Pentadbiran Obama.  “Kita terlalu perlahan,” tegas beliau, “dan kerana perlahan itu, kita terpaksa menanggung akibatnya untuk tempoh yang panjang.”  Dengan memuji al-Jazeera yang tidak mempunyai kawan di Amerika Syarikat, tetapi dengan beberapa kewajaran, menjadi wira gerakan revolusioner ini, sedangkan Amerika  berdiam diri.  Wolfowitz jelas meluahkan kekecewaannya: “Al-Jazeera menayangkan gambar orang ramai yang dibunuh dalam protes.   Suatu imej yang mengakibatkan kemusnahan.”
Setelah dua rejim tumbang – kedua-duanya sekutu setia Washington, manakala beberapa yang lain terhuyung-hayang di cerun pasir yang dalam,  namun  Pentadbiran Obama kelihatan “sejuk kaki” dan membiarkan jalan cerita berkembang dengan sendirinya. Itulah tafsiran yang puak neokonservatif cuba berikan.   Menurut laporan, sejak awal tahun lalu, kumpulan aktivis hak asasi manusia yang beribu pejabat di Amerika, penggubal dasar neokonservatif, dan pakar Timur Tengah, memberitahu Setiausaha  Negara, Hillary Clinton apa yang kelihatan tenang di Mesir itu sebenarnya satu ilusi.
Paul Wolfowitz   bersama-sama  beberapa penyokong utama lain dalam pencerobohan terhadap Iraq, seperti Douglas Feith dan Richard Perle ialah Yahudi, dan pada hakikatnya,  dasar Iraq direka untuk menjadikan Timur Tengah selamat untuk Israel.  Maka, tidak keterlaluan bahawa serangan beliau terhadap Pentadbiran Obama berhubung dengan pemberontakan Arab sekarang adalah kerana kepentingan Israel di rantau itu. 
Sesungguhnya, tidak sukar untuk memahami mengapa  Wolfowitz  berpendirian sedemikian.  Sebaik-baik sahaja Presiden Barack Obama mengumumkan pengunduran tentera Amerika dari Iraq, Wolfowitz menulis dalam The New York Times.  Antaranya beliau membahaskan, memang berbaloi meraikan berakhirnya operasi serangan selepas tujuh tahun, dan kepulangan begitu banyak  anggota tentera.  Namun, meninggalkan Iraq sepenuhnya akan merosakkan kepentingan Amerika di rantau itu dan di luar rantau itu.
Berbicara tentang Paul Wolfowitz, sememangnya tidak lengkap jika tidak disentuh tentang  skandalnya dengan Shaha Riza semasa   beliau berkhidmat  sebagai Presiden Bank Dunia.  Apabila skandal itu menjadi pengetahuan umum, Wolfowitz, berkata, “Saya buat silap, jadi saya mohon maaf.”
Kehadiran dan peranan  puak neokonservatif dalam Pentadbiran Bush telah banyak dibicarakan, antaranya oleh Francis Fukuyama – anggota neokonservatif yang berpaling tadah, After the Neocons:  America at the Crossroad.  Beliau membahaskan bahawa Pentadbiran Bush silap menggunakan prinsip  neokonservatisme untuk mewajarkan dasar luar yang membawa kepada Perang Iraq. “Saya menyimpulkan,” tulis Fukuyama, “bahawa neokonservatisme, sebagai kedua-duanya, iaitu simbol politik dan body of thought  berkembang menjadi sesuatu yang saya tidak sokong lagi.”
Antara golongan yang berasa keluh-kesah melihat tercetusnya pemberontakan di dunia Arab ialah puak neokonservatif: kepentingan Amerika dan keselamatan Israel.  Oleh sebab   hegemoni Amerika terjejas, maka tidak memeranjatkan sekiranya mereka  memikirkan dan merancangkan sesuatu.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...