Artikel Popular

Thursday, March 10, 2011

Dari Libya dengan Cinta

KHAMIS,  10  Mac 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Pemberontakan Arab kedua merebak dari Tunisia ke Mesir dan seterusnya ke Libya dan Yaman.  Dunia Arab sarat dengan   berita penentangan terhadap rejim, tetapi  yang  jarang-jarang didedahkan penentangan  terhadap globalisasi neoliberalisme. Tidak kurang    “dengan cinta” dari Oman dan juga  dari Libya.

Pemberontakan popular di Libya masuk minggu ketiga, namun Muammar Gaddafi masih belum tumbang. Negara itu dijangkakan terjebak dalam perang saudara, manakala  Washington dan sekutunya di Eropah hilang kesabaran,  lalu merancang untuk melaksanakan zon larangan terbang. Akan tetapi,  jika rancangan ini dilaksanakan, Gaddafi berkata bahawa Libya  akan tentang kerana ini menunjukkan Barat  ingin menawan minyak negara itu.

Sejak pemberontakan bermula, terdedah pelbagai kisah tentang Gaddafi dan keluarganya daripada kekejaman kepada kemewahan. Nama penyanyi terkenal di dunia turut terbabit,  seperti  Mariah Carey yang mengadakan konsert  Di Ambang Tahun Baru  untuk keluarga Gaddafi  dua tahun lalu. Beyonce yang turut mengadakan persembahan tersebut, memaklumkan bahawa bayaran yang diterima itu beliau  dermakan  kepada Haiti. Penyanyi Kanada,  Nelly Furtado yang mengadakan konsert untuk keluarga Gaddafi pada tahun 2007, menerima bayaran AS$1 juta, wang itu disumbangkan untuk kerja amal.

Senarai penerima bukan setakat penyanyi terkenal, bahkan juga London School of Economy turut terbabit,   didapati mempunyai hubungan dengan Libya.  LSE bertindak pantas dengan menggantungkan hubungan dengan Gaddafi International Charity and Development Foundation, yang dikendalikan oleh  Saif Gaddafi, anak Muammar Gaddafi. Namun, tindakan segera itu gagal melindungi LSE daripada curahan kritikan, termasuk daripada Perdana Menteri David Cameron.  Pengarah LSE, Sir Howard Davies   dan  Sir Richard Roberts, ahli lembaga badan amal  Gaddafi  itu, yang bertanggungjawab mengeluarkan derma sebanyak 1.5 juta paun sterling kepada LSE,  meletakkan jawatan.

Gaddafi yang sejak sekian lama terasing dari dunia Barat, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini berubah imej.  Menakjubkan bagaimana imej Libya menunjukkan tanda-tanda penambahbaikan?  Atau bagaimana anak lelaki Gaddafi mendapati dirinya dinobatkan “Pemimpin  Global Muda di Davos?  Segala  pertanyaan terjawab, kata Janine R. Wedel dan Linda Keenan daripada The Huffington Post, “Libya menggunakan secara licik kedua-duanya, iaitu pelobi sekolah lama dan yang penting, generasi baru broker kuasa: pelobi bayangan.”  Neokonservatif yang terkenal, Richard Perle  pergi ke Libya dua kali pada tahun 2006 untuk menemui Gaddafi dan kemudian memaklumkannya kepada Naib Presiden,  Dick Cheney. 

Tatkala tindakan keras yang kejam dilakukan terhadap penunjuk perasaan di Libya terus  terbongkar, Laura Pozen dari Politico memberikan tumpuan terhadap  pemain kuasa Amerika, iaitu Richard Perle yang melobi bagi pihak rejim Gaddafi dalam beberapa tahun lalu.  Perle  dianggap  godfather peperangan di Iraq.

Kini, daripada  penyanyi kepada pendukung ideologi  kepada profesor,  terbongkar rahsia  bahawa mereka “jatuh cinta” dengan Gaddafi.  Dalam Mother Jones baru-baru ini, David Corn dan Siddartha Mahanta mendedahkan pertemuan antara Joseph Nye, Jr.,  profesor di Harvard University, yang membangunkan konsep “kuasa lembut” dengan Presiden Libya itu pada  Februari  2007.  Beberapa bulan kemudian,  Nye  menulis  dalam The New Republic, melaporkan Gaddafi berminat membincangkan “demokrasi langsung.”   Beliau mencatatkan bahawa tidak ragu-ragu lagi bahawa autokrat Libya itu bertindak secara berbeza di pentas dunia hari ini berbanding dengan dekad yang lalu.  Bahkan, Gaddafi mengambil masa yang panjang  untuk membincangkan idea, termasuk kuasa lembut  dengan Nye menunjukkan beliau secara aktif mencari strategi baru.   Nye dikatakan pergi ke Tripoli sebagai konsultan Monitor Group, firma yang bekerja di bawah kontrak AS$3 juta setahun dengan Libya.
 Dalam makalah yang cukup terperinci ini, Corn dan Mahanta juga mendedahkan beberapa tokoh lain yang dibawa oleh Monitor Group ke Libya untuk berbincang dengan Gaddafi, iaitu Richard Perle, ahli ekonomi politik Francis Fukuyama, dan sarjana konservatif, Bernard Lewis. Pada tahun 2006 dan 2007, Benjamin Barber, dari Rutgers University, pengarang yang mengkhusus dalam kajian demokrasi dan felo kanan di Demos, institusi pemikir prodemokrasi, pergi tiga kali ke Libya dengan dibayar sebagai konsultan  Monitor Group.  Dalam lawatan ini beliau mengadakan pertemuan dengan para pegawai, peguam, dan aktivis yang berminat dalam pembaharuan demokrasi, dan juga mengadakan pertemuan dengan Gaddafi.  “Kami pergi,” jelas Barber, “dengan harapan kami mungkin mampu menguatkuasakan unsur dalaman Libya yang berminat terhadap perubahan, bersedia untuk berhadapan dengan masyarakat sivil, dan mewujudkan yayasan untuk  gerakan itu.”
Libya di bawah Gaddafi, tulis Benjamin Baber dalam The Washington Post  pada tahun 2007, akan muncul sebagai “negara Arab pertama mengalami peralihan secara aman dan tanpa campur tangan Barat terang-terangan menjadi kerajaan stabil dan bukan autokratik.”
Profesor dibayar oleh Gaddafi untuk menyediakan perhubungan awam positif, tulis Jon Wiener dalam The Nation.  Selain Joseph Nye, Wiener mendedahkan profesor lain, iaitu dan Robert Putnam dan  Anthony Giddens dari LSE yang menulis dalam  The Guardian  juga pada tahun 2007 bahawa Libya di bawah Gaddafi akan muncul sebagai “Norway Afrika Utara.”  Ketiga-tiga intelektual ini (Nye, Barber, dan Giddens) bahas Wiener, semuanya dibayar oleh wang Libya, di bawah kontrak AS$3 juta setahun yang kumpulan perundingan berjanji untuk “meningkatkan profil Libya dan Gaddafi”  di Britain dan Amerika Syarikat.  Mereka juga dakwa Wiener, melanggar etika kewartawanan kerana tidak seorang pun memberitahu penerbit bahawa mereka mendapat upah.
Muammar Gaddafi benar-benar menggunakan dolar petrol Libya untuk menjinakkan Barat dengan   “membeli”  profesor dan universiti.  Selain itu,    Musa Kusa, kini Menteri Luar Libya juga seperti  didedahkan oleh  Christopher Dickey dalam The Daily Beast,  mengadakan pertemuan dengan perkhidmatan risikan British dan Amerika untuk mengeluarkan bosnya, iaitu Gaddafi daripada “kesejukan.”
Pemberontakan  Libya mendedahkan Gaddafi connection yang cukup luas  – meminjam tajuk makalah Gareth Peirce  pada 8 Mac lalu. Beliau gemar menggunakan khidmat upahan: penyanyi terkenal  untuk berhibur,  profesor terkenal untuk menaikkan imejnya dan Libya, dan kini, askar upahan untuk menyelamatkan kedudukannya dan memadamkan pemberontakan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...