Artikel Popular

Wednesday, March 30, 2011

Doktrin Obama

RABU,     30   Mac 2011

Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Tidak cukup dengan peperangan di  Afghanistan dan Iraq yang    menjangkau satu dekad, Presiden Barack  Obama kini  terlibat dalam serangan terhadap Libya.  Beliau  mengheret Amerika dalam   peperangan dengan kerajaan pariah Muammar Gaddafi yang sebelum ini   menjadi sahabat  dalam  memburu al-Qaeda. Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu  (PBB) itu, bahas editorial The New York Times, merupakan detik luar biasa dalam sejarah terkini.  PBB, Amerika Syarikat, dan Eropah dalam keadaan serba tidak kena kerana begitu lama menyeksakan dan kini, dengan benteng terakhir penentang, iaitu Benghazi hampir-hampir jatuh, bertindak dengan kepantasan yang menghairankan untuk merestui mandat yang kuat yang melampaui zon larangan terbang yang mudah. Lebih luar biasa adalah bahawa desakan untuk bertindak diterajui oleh Perancis dan Britain dan diundang oleh Liga Arab.

Presiden Obama, tulis editorial itu lagi, bersetuju dengan betul untuk mengatur kedudukan angkatan tentera Amerika hanya selepas dipujuk bahawa negara lain akan berkongsi tanggungjawab dan kos menguatkuasakan undang-undang antarabangsa.  Amerika Syarikat kini terbenam dalam dua peperangan.  Peperangan yang baru ini tidak boleh dilihat sebagai campur tangan satu pihak di sebuah lagi negara Islam.

Kata-kata Obama yang sering dipetik berhubung dengan campur tangan Amerika di Libya itu ialah “dalam hari, bukan minggu”  kepada  perintah antarabangsa yang Amerika akan menjadi hanya sebahagian daripadanya.  “Dengan pembabitan Obama dalam serangan terhadap Libya,”  seperti yang dikatakan oleh Marc Ambinder dalam National Journal, “peperangan baru pertama Obama.”   Beliau perlu mengimbangkan ideal demokrasi dan kepentingan kepentingan keras hidung negara itu dalam membuat keputusannya.

Dari Tunisia ke Mesir, kemudian ke Libya, Presiden Obama memperlihatkan dirinya sebagai pemimpin yang enggan bertindak sehingga menimbulkan kegelisahan, terutamanya dalam kalangan helang.  “Dalam kes Libya, “Obama, pahlawan yang enggan, tulis James Kitfield pada 19 Mac lalu,  ketika Obama masih teragak-agak melaksanakan zon larangan terbang terhadap Libya. “Ketika drama minggu lalu, kekuatan dan kelemahan pengenalan gaya kepimpinan Obama jelas kelihatan.”

Selepas mendapat restu PBB,  Presiden Barack Obama membabitkan Amerika Syarikat, bersama-sama Britain dan Perancis  campur tangan di Libya. Namun,  beliau masih menjadi sasaran kritikan, antaranya seperti yang pernah dinyatakan dalam dua tulisan sebelum ini, beliau bertindak  atas desakan tiga srikandi, iaitu  Hillary Clinton,  Setiausaha Negara,   Samantha Power, pembantu kanan Majlis Keselamatan Negara, dan Susan Rice, duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.  Ketiga-tiganya diberikan pelbagai gelaran, seperti the Amazon Warriors, the Lady Hawks, the  Valkyries, the  Durgas, dan  tanpa mereka bertiga,  gambaran yang cuba diberikan ialah Obama penakut.

Obama memang betul dalam menyokong zon larangan terbang terhadap Libya, tetapi beliau sepatutnya melakukannya minggu lalu.  Tulis sejarawan  Niall Ferguson yang tidak henti-henti mengkritik dasar luar Presiden Obama sejak pemberontakan di Mesir dengan memberikan tutorial tentang kejayaan Otto von Bismarck, negarawan agung Prusia yang menyatukan Jerman dan membentuk semula keseimbangan kuasa Eropah.  Dalam kritikan terbaharu melalui kolumnya,  Ferguson menegaskan bahawa Presiden  lebih bersifat Hamlet berbanding dengan Macbeth sejak  permulaan krisis revolusioner padang pasir Afrika Utara dan Timur Tengah.  Bagi beliau, Obama terpasung dengan persoalan bertindak atau tidak bertindak.  Hasil  teragak-agak beliau dalam keadaan tidak dapat membuat keputusan tidak menggembirkan. “Obama, orang baru dalam hal ehwal luar negara,” tulis Ferguson, “ialah Presiden tanpa strategi.”  Sebagaimana kritikannya yang penuh sinis  terhadap  Obama tentang tindak-tanduknya di Mesir, demikian juga dengan kritikan yang terbaharu ini sarat dengan persendaan:  “Nasib tidak menyebelahi Presiden Obama dalam peranan Hamlet yang teragak.  Akan tetapi, nasib yang lebih baik ialah satu perkara yang terakhir pelakon harapkan apabila memainkan watak Macbeth.”

Puak neokonservatif dan puak campur tangan liberal, menurut pemerhatian Leslie H. Gelb,  mengasak Obama menguatkuasakan zon larangan terbang terhadap Libya, meskipun tiada kepentingan utama Amerika Syarikat di negara itu.  Gelb mengkritik sikap pura-pura dalam kalangan pemimpin dunia dan bagaimana pakar menyalahgunakan analogi sejarah.  “Dengan membangkitkan perkataan yang  menggerunkan, iaitu “pembunuhan kejam” dan “genosid,” kemudian menuding jari kepada Obama, menuduh  beliau tidak berhati perut kerana enggan bertindak,  menyalahkan beliau kerana kematian rakyat Libya. Gelb mengingatkan bahawa kurang bijak  membandingkan watak Hamlet dan Macbeth  untuk menyindir Obama.   “Akan tetapi, bagi pakar dasar luar hari ini, Hamlet melakukan dosa yang tidak boleh dimaafkan:  Dia  menunggu bukti bahawa raja baru sebenar membunuh ayahnya.  Justeru, dia mereka-reka idea untuk permainan dalam permainan untuk mendakwa raja baru bersalah.  Dalam kata lain, dia mencabuli prinsip pertama penggubalan dasar luar Amerika moden:  Dia mencari bukti keras.

Sementara bekas Setiausaha Pertahanan, Donald Rumsfeld mengkritik Rumah Putih kerana kurang “kejelasan” dalam misi Libya, dan menegaskan “hanya masa akan memberitahu” jika tindakan ketenteraan itu akan membuahkan kejayaan. Beliau tidak setuju dengan tindakan Rumah Putih yang bergantung pada pakatan asing untuk menentukan apakah misi, dan beliau percaya bahawa “misi sepatutnya menentukan pakatan.”  Hanya satu matlamat yang jelas yang beliau nampak ialah mewujudkan zon larangan terbang.  Walau bagaimanapun, Rumsfeld seakan-akan mempertahankan tindakan Obama  menyerang Libya tanpa mendapatkan kelulusan Kongres, dan beberapa orang senator berusaha mendakwa Obama. “Saya faham mengapa Obama tidak berbuat demikian,” kata Rumsfeld dalam wawancara dengan Politico.

Presiden Obama yang berdiam diri selepas Amerika  campur tangan dalam perang saudara di Libya membuatkan rakyat naik berang, lebih-lebih lagi beliau masih sanggup mengadakan lawatan ke Brazil dan beberapa buah negara di Amerika Latin. Anda Presiden, Anda melancarkan serangan.  Diakui memang tidak banyak peperangan, tetapi anda menghantar rakyat Amerika ke kedudukan yang mereka mungkin mati.  Dan anda tidak muncul di kaca televisyen dan menjelaskan kepada rakyat Amerika mengapa anda membuat keputusan ini?  Tulis Michael Tomasky, “(Ronald) Reagan menghantar tentera ke Grenada pada 25  Oktober 1983.  Dua malam kemudian, beliau muncul di kaca televisyen memberikan penjelasan.  Bush si ayah, memerintahkan serangan terhadap Panama yang bermula pada 19 Disember 1990.  Malam berikutnya, beliau muncul di kaca televisyen menjelaskan mengapa.” Tambah Tomasky dengan nada mengeluh,    “Ini benar-benar membuatkan saya tidak boleh  percaya, dan perkara yang terlalu buruk beliau lakukan sebagai Presiden.”

Hanya pada   Isnin 28 Mac, iaitu selepas 11 hari menyerang Libya, Presiden Obama muncul memberitahu rakyatnya mengapa beliau bertindak demikian. Mempertahankan perang pertama yang dilancarkannya, beliau mengiystiharkan pada malam itu bahawa Amerika Syarikat campur tangan di Libya demi mencegah pembunuhan kejam terhadap orang awam yang akan menyebabkan hati nurani dunia berlumuran darah dan “mengkhianati siapa kita.”  Tegas beliau, “Sesetengah negara mungkin mampu memejamkan mata terhadap kekejaman di negara lain.  Amerika Syarikat adalah berbeza.  Dan sebagai Presiden, saya enggan menunggu bayang-bayang pembunuhan kejam dan mayat bergelimpangan sebelum bertindak.”

Namun, beliau menafikan campur tangan itu bertujuan menyingkirkan Gaddafi, dan memberikan amaran tindakan sedemikian melalui ketenteraan  merupakan kesilapan yang besar.  Presiden Obama tidak menyatakan  kempen ketenteraan yang diterajui sebagai “perang” dan memberikan perincian tentang kos yang terpaksa ditanggung, tetapi beliau menawarkan kes yang yang mahal untuk mengapa beliau percaya ini adalah kepentingan  Amerika Syarikat dan sekutunya untuk bertindak.

Editorial  The New York Times dalam respons terhadap ucapan  itu,  berkata  bahawa Presiden Obama membuat keputusan yang betul, meskipun terlewat, untuk menyertai sekutu untuk menghentikan Gaddafi daripada melakukan pembunuhan kejam terhadap beribu-ribu rakyat Libya.  Akan tetapi, beliau terlalu  perlahan untuk menjelaskan keputusan itu, atau strategi jangka panjangnya kepada Kongres dan rakyat Amerika. “Obama adalah betul kerana tidak berjanji bertindak pantas untuk menamatkan serangan udara tu. Pada masa yang sama, beliau sepatutnya tidak  membuat anggaran berlebihan tentang kesabaran rakyat Amerika atau keletihan ketenteraan yang terlalu berpanjangan.


Ucapan Obama itu dilihat sebagai usaha untuk menangani kekompleksan perubahan yang melanda seluruh dunia Arab.  Sesetengah kritikan berasa hairan mengapa angkatan tentera digunakan di Libya, tetapi tidak di negara lain, seperti Syria, Yaman, dan Bahrain, negara yang tindakan kerajaan mengorbankan banyak nyawa. Beliau mengakui bahawa Amerika Syarikat tidak boleh menentukan langkah dan skop perubahan ini. Hanya rakyat di rantau itu mampu melakukannya.  “Akan tetapi, kita boleh menjadikannya berbeza.  Saya percaya bahawa detik perubahan ini tidak boleh berundur balik, dan kita mesti berdiri bersama-sama mereka yang mempercayai prinsip teras yang sama yang membimbing kita mengharungi banyak keributan.”
Kelahiran doktrin Obama, isytihar The Economist, justeru, malam ini, Presiden Barack Obama, berucap di hadapan rakyat Amerika secara langsung untuk pertama kali sejak melancarkan  Operation Odyssey Dawn dan melepaskan peluru berpandu Amerika ke Libya.  Beliau menerima kritikan yang hebat kerana “teragak-agak”, kerana gagal berunding dengan Kongres, kerana pergi terlalu jauh dan melakukan terlalu sedikit. Kini, beliau memberikan jawapannya, dan  pada masa yang sama,  memberikan penjelasan yang terang setakat ini tentang  “doktrin Obama”  campur tangan ketenteraan untuk kemanusiaan.  “Bergantung pada  cepatnya  Gaddafi  kehilangan kuasa  atau melumpuhkan tempat simpanan senjata, tidak ada orang yang akan peduli tentang cara Obama menggembleng sekutunya dan melancarkan kempen. Ini mungkin sesungguhnya diingati sebagai kejayaan dasar luar yang luar biasa.”

Tentang Libya, doktrin Obama memang jelas, tetapi misi tidak jelas, tulis Michael Crowley dalam Time.   Beliau memang jelas tentang mengapa beliau memilih untuk campur tangan di Libya.  Meskipun beliau tidak akan menggunakan tentera untuk menggulingkan Gaddafi, namun beliau mahu rejim itu berundur, dan sehingga beliau berundur, Libya masih dalam bahaya.  Ucapan itu dilihat sebagai memuaskan kehendak puak campur tangan liberal dan helang konservatif, tetapi “hakikatnya, Obama tidak bercakap untuk kali terakhir tentang Libya.  Beliau mungkin perlu  menjelaskan pandangannya tentang persoalan penting bila dan di manakah Amerika Syarikat akan menggunakan tentera demi mempertahankan kepentingan dan nilainya.”
Meskipun berita kabel terlebih dahulu mahu menyebutnya “doktrin Obama,” tulis Richard  Adams, tetapi ucapan Barack Obama  menggariskan keputusannya untuk campur tangan di Libya menentang rejim Gaddafi hanya menambah kedut kepada apa yang kita telah pun ketahui tentang sikap Presiden terhadap peperangan dan keamanan.  Sebutnya Goldilocks doctrine.
Bagi Michael Hirsh yang menulis dalam National Journal,  ucapan Obama itu, Presiden tiada doktrin. Selepas dua tahun mencari sesuatu yang menyerupai strategi global yang megah, sesetengah cerdik pandai secara tentatif memutuskan bahawa mereka mendengar pelan rangka “Doktrin Obama” pada malam Isnin. Meskipun idea bahawa tindakan di Libya sama seperti apa-apa jenis terlalu strategik baru untuk Pentadbiran Obama ialah pendengaran angan-angan.  “Doktrin Obama sebenar adalah tiada dokrin sama sekali.”  Tambah Hirsh, “Presiden Obama kelihatan memastikan untuk melakukan sesuatu yang berbeza sama sekali di luar negara.  Berbanding dengan James Monroe, Harry Truman, dan George W. Bush, Obama mahu menjadi Presiden tiada doktrin, terutamanya apabila berhadapan dengan Timur Tengah.”

Walau apa-apa pun alasan campur tangan di Libya, dan  sama ada wujud doktrin Obama ataupun doktrin Libya,  Presiden Barack Obama akhirnya dihakimi dengan hasil yang dicapai kelak.  Berapa lama dan  berapa dalam campur tangan itu?  Adakah Gaddafi akan berundur segera?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...