Artikel Popular

Wednesday, March 2, 2011

“Demokrasi Satu Cara Pemerintahan yang Paling Buruk”

RABU,  2  Mac  2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Dalam beberapa bulan ini, liputan media dan ulasan atau komen cerdik pandai  sarat dengan pemberontakan  popular di dunia  Arab.   Daripada tumbangnya diktator oleh  Fouad Ajami   kepada kemungkinan penyebaran demokrasi oleh Fareed Zakaria. Sementara Bekas Presiden Iran, Abolhassan  Bani-Sadr memberikan nasihat agar pemberontakan (Tunisia)  tidak mengulangi kesilapan Revolusi Iran dalam menegakkan demokrasi dan kebebasan.  Tidak kurang  yang membahaskan kegagalan ekonomi, khususnya dasar neoliberal  yang menyumbang kepada tercetusnya pemberontakan tersebut. 

Arab 2011 adalah seperti Eropah tahun 1848, kata Fouad Ajami dan Tariq Ali. Untuk beberapa dekad, tulis Ajami, “rakyat Arab berjalan dan meromok dalam ketakutan.  Kini, mereka kelihatan benar-benar berminat untuk menunggang kebebasan.”  Sebagaimana Eropah tahun 1848, bahas Tariq Ali, rakyat Arab berjuang menentang penguasaan asing; menentang pencabulan hak demokratik mereka; menentang golongan elit yang dibutakan oleh kekayaan haram sendiri;  dan mereka menegakkan  keadilan ekonomi.

 Sesungguhnya, harapan yang tinggi diberikan terhadap kitaran perjuangan yang merebak di dunia Arab supaya menjadi Amerika Latin, untuk membangkitkan gerakan politik dan meningkatkan aspirasi untuk kebebasan dan demokrasi melampaui  rantau itu. Dengan melihat Arab ialah  perintis baru demokrasi, maka   bahas Michael Hardt  dan Antonio Negri,   “Meskipun  setiap pemberontakan mungkin gagal, namun selagi tuntutan dan keinginan masih hidup, kitaran perjuangan akan berterusan.”  Mereka cuba menarik perhatiaan dengan persoalan:  “Apakah eksperimen baru ini dalam kebebasan dan demokrasi akan mengajar dunia sepanjang abad dekad akan datang.”

Berbicara tentang demokrasi, saya teringat Senator Datuk Dr. Firdaus Haji Abdullah, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, yang gemar memetik kata-kata bekas Perdana Menteri British, Winston Churchill, yang masih popular hingga kini.  Bahkan, semasa menulis Edisi Khas PRU ke-12 Dewan Masyarakat,  beliau memetik Churchill, “Demokrasi adalah satu cara pemerintahan yang paling buruk,” dalam permulaan makalahnya itu.  Dr. Firdaus terus memetik Churchill, “Tidak ada sebarang cara lain yang lebih daripada itu."

Baru-baru ini, Gary Hart  menulis dalam The Huffington Post,  “membangunkan Winston Churchill daripada kuburan,”   menulis “Democrasy is the Worst Form of Government” dan menambah bahagian kata-kata Churchill yang melucukan, “except for all the others.”  Selepas “bermain-main” dengan Churchill seketika, Hart membangkitkan persoalan, “Apa-apa keraguan tentang sama ada pemerhatian ini sepatutnya dipadamkan oleh perkembangan semasa di kedua-dua tempat, iaitu di Timur Tengah dan di Madison, Wisconsin."

Meskipun warna demokrasi yang menyusuli beberapa pergolakan yang berlaku, namun tegas beliau, “perjuangan untuk  kuasa telah bermula, perjuangan  yang melibatkan ketenteraan, agama, puak, kekayaan yang berakar umbi, dan nadi kehidupan kebanyakan wilayah itu  - minyak."

Setelah meninjau kemungkinan demokrasi di Timur Tengah seketika, Hart  menoleh ke negaranya sendiri,  mengingatkan sesuatu yang sedang dan akan  berlaku.  “Di Washington dan Madison, dan tidak lama lagi di banyak   ibu negeri yang lain di negara ini, kita menyaksikan demokrasi bertindak dengan demonstrasi jalanan yang tidak kelihatan banyak berbeza dari Kaherah dan kota-kota lain.”  Lalu beliau mengingatkan, demokrasi adalah mudah apabila pai ekonomi berkembang. Walau bagaimanapun,  ekonomi mula keriat-keriut dan retak apabila pai mengecut.

Kaherah di Wisconsin, kata Andy Kroll, panggilan dilaporkan tiba dari Kaherah:  “Pizza untuk para penunjuk perasaan.”   Hampir dua minggu, Wisconsin menyaksikan protes buruh terbesar ekoran cadangan Gabenor negeri itu, Scott Walker, Republikan sayap kanan, memperkenalkan rang undang-undang yang secara rasminya dikenali Special Session Senate Bill 11, yang menghapuskan hak tawar-menawar kolektif bagi kebanyakan kesatuan sekerja sektor awam. Sejak 11 Februari lalu, berpuluh-puluh ribu orang  pekerja mengadakan tunjuk perasaan mengambil semangat dan inspirasi  Kaherah, Iskandariah, dan bandar-bandar lain di Mesir yang meraikan kejatuhan Hosni Mubarak.  Gambar foto yang terkenal pada Facebook, kelihatan gambar lelaki Mesir, memegang isyarat:  “Mesir menyokong Pekerja Wisconsin:  Satu Dunia, Satu Kesengsaraan."

Protes di Wisconsin, bahas George Lakoff  lebih daripada  soal belanjawan dan kesatuan sekerja semata-mata.  Puak konservatif menggunakan defisit belanjawan dalam muslihat untuk mengubah menjadi negara konservatif di setiap kawasan.  Jika rancangan Wisconsin untuk membunuh kesatuan sekerja sektor awam berjaya, maka kesatuan kurang memiliki wang untuk menghulurkan sokongan kepada calon-calon Demokrat pada masa hadapan.

Sejak sekian lama, atau sekurang-kurangnya sejak pencerobohan Amerika terhadap Iraq pada tahun 2003, dunia Arab didesak mengikuti   denai demokrasi yang dirintis oleh Amerika khususnya.  Namun,  demokrasi di negara itu sendiri dalam keadaan cacamarba.  Pilihan Raya Presiden 2000 memecahbelahkan negara itu, dengan 36 hari pertarungan terhadap kertas undi di Florida.  Sekiranya  dunia Arab  mengikuti demokrasi Amerika, maka rantau itu mengikuti demokrasi  yang sedang runtuh.   Demokrasi yang banyak beralih ke arah lebih konservatif sehingga orang mula merasakan bahawa ahli politik liberal, seperti “dinasti Kennedy,”   sukar untuk “mencari makan."

Selain itu, tragedi di Tucson, Arizona pada  8 Januari lalu, menampakkan bahawa Amerika terjebak dalam retorik politik  yang boleh mencetuskan budaya kebencian.  Bagi kebanyakan orang,    berita amuk itu   hanyalah sekadar kes terpencil.  Ini  kerana negara Amerika sekali-sekala digemparkan oleh   rancangan pengeboman dan  serangan bersenjata di tempat awam dan universiti. 

Namun, tatkala berita tembakan di tempat letak kereta  yang mengorbankan enam nyawa, dan 14 orang cedera, termasuk  anggota Kongres Demokrat, Gabrielle Giffords yang terpaksa bertarung dengan maut,  terus tersebar, orang  ramai  cuba  dimaklumkan dan diyakinkan sesuatu yang belum difikirkan oleh mereka. Serangan terhadap kerajaan, serangan terhadap orang awam, dan serangan terhadap demokrasi. Sebelah menyebelah Atlantik, wartawan dan cerdik pandai politik  di Amerika dan United Kingdom cuba membahaskan  bahawa  serangan yang dilakukan seorang diri oleh Jared Lee Loughner  itu ada kaitannya dengan politik.

Dipersetujui bahawa tragedi  Tucson itu  mempunyai hubungan sebab-musabab dengan politik retorik.  Loughner dikatakan lebih mempunyai hubungan langsung dengan politik partisan  berbanding dengan   beberapa kejadian  tembakan sebelum ini.  Kejadian tersebut membuka ruang golongan partisan untuk  melemparkan tuduh-menuduh.  Yang  jelas, setiap anggota Republikan dan media yang celupar yang gemar bermain-main dengan retorik bernada pemberontakan sepatutnya menilai hati nurani mereka.

Giffords, wanita Yahudi pertama sebagai anggota  Kongres dari Arizona  adalah menjadi sasaran keganasan selepas beliau menyokong rang undang-undang pembaharuan kesihatan Presiden Barack Obama.  Sarah Palin bekas Gabenor Alaska, bekas calon Naib Presiden, dan salah seorang bakal calon Presiden 2012,  banyak secara tidak langsung dilibatkan dengan kejadian di Tucson.  Beliau didapati meletakkan tumpuan minat   (crosshair) di daerah 20 anggota Kongres Demokrat, termasuk  Giffords dalam laman webnya.  Dipercayai bahawa peta tumpuan minat Sarah Palin, ada kena-mengena dengan amukan itu.  Retorik golongan sayap kanan yang berapi-api berkemungkinan mempunyai kaitan dengan kewujudan “iklim” budaya yang luar biasa menggalakkan seseorang menjadi pembunuh orang ternama. 

Kepahitan debat yang dibangkitkan semasa Pilihan Raya Separuh Penggal 2010, yang menimbulkan ketakutan terhadap nyawa  Barack Obama dan anggota Demokrat utama yang lain sebagai akibat soalan yang diulang-ulang tentang kelayakan beliau untuk menjadi Presiden dan kesahan dari segi Perlembagaan tentang tindakannya.  Ketakutan ialah bahawa kumpulan pinggiran yang tidak mempedulikan proses politik yang aman mungkin dipengaruhi oleh tuduhan liar yang dilemparkan oleh ahli politik dan pengulas sayap kanan.

Banyak yang berpendapat bahawa serangan itu mempunyai kaitan dengan tindak-tanduk golongan ekstremis sayap kanan sejak beberapa tahun lalu yang kebanyakannya cuba menutup proses politik terbuka dengan mengganggu pertemuan di dewan perbandaran dan dengan mengikut kemahuan dalam menggunakan bahasa yang dilontarkan kepada pihak lawan sebagai tidak berjiwa Amerika dan pengkhianat.

Tragedi Tucson, seperti rencana utama The Economist, Amerika terperangkap dalam tuding jari.  Jelas bahawa politik Amerika amat menjijikkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.  Ahli politik dan pengikut mereka tidak lagi melayan lawan mereka secara sopan dan terhormat. 

Jika seseorang ingin melihat kecelaruan demokrasi Amerika, Pilihan Raya Separuh Penggal 2010 mendedahkan segala-galanya:   demokrasi boleh dijual beli.   Pilihan raya itu melibatkan perbelanjaan yang cukup besar, iaitu  boleh mencecah  AS$4 bilion,  jauh lebih tinggi daripada perbelanjaan Pilihan Raya Separuh Penggal tahun 2006 yang menelan belanja AS$2.85 bilion.  Perbelanjaan ini dijangkakan  boleh mengatasi  perbelanjaan AS$4.14 bilion dalam kempen Presiden tahun   2004.   Selain itu, derma untuk sesetengah  calon yang bertanding, terutamanya Republikan,  datang mencurah-curah, antaranya daripada  Karl Rove   dan  Ed Gillespie yang menyumbang hampir AS$100 juta.   Calon Republikan untuk jawatan gabenor California, iaitu  Meg Whitman  berbelanja wangnya sendiri,  AS$140 juta,  tetapi tewas.

Orang  mula menaksirkan kerosakan terhadap demokrasi Amerika yang berpunca daripada keputusan Mahkamah Agung membenarkan perbadanan, kesatuan sekerja, dan kumpulan lobi mereka bebas menggunakan wang mereka untuk memilih calon-calon pilihan mereka. Yang pasti, undi menjadi semakin mahal.  “Lebih banyak wang, lebih masalah,” tulis Ezra Klein dalam Newsweek. 

Amerika terjebak dalam politik wang yang semakin serius.  Sehubungan dengan itu, memang tidak memeranjatkan jika  Annie Leonard menyeru, “Pertahankan demokrasi kita dengan meletakkannya berfungsi sekarang juga: sertai kempen untuk menyingkirkan perbadanan keluar daripada politik.  Kemudian, kita benar-benar dapat mempunyai demokrasi rakyat, untuk rakyat, dan berusaha meletakkan Amerika di tempat yang sebaik mungkin.”

Baik dari segi moral mahupun politik, memang tidak wajar Washington atau cerdik pandai Amerika  berkhutbah tentang demokrasi di dunia Arab.  Seorang guru yang rosak peribadinya tidak mampu mendidik murid dengan baik: “ketam mengajar anaknya berjalan betul."   Kini, tidak ada apa-apa yang boleh dibanggakan dan dipelajari daripada demokrasi Amerika.  Demokrasi di negara itu cukup comot dan sungguh menjijikkan. Maka, bagi dunia Arab, biarkan rakyat  Arab mereka sendiri menentukan masa hadapan, apakah bentuk demokrasi yang mereka ingini.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...