JUMAAT, 25 Mac 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Jangan keliru. Ini bukan mengenai “tiga serangkai” yang dikenali “Datuk T” yang terlibat dalam menayangkan video seks kepada beberapa orang wartawan, kemudian muncul dalam sidang akhbar memperkenalkan diri mereka, siapakah “Datuk T.” Kononnya “t” itu maksudnya tiga atau trio. Saya tidak mahu pandai-pandai menokok tambah tentang “t.” Memadailah dikatakan bahawa rakyat Malaysia kini dipertontonkan “pesta lucah di tengah pentas politik.” Ada yang berasa terhibur, seronok; ada yang berasa marah, geram. Bermacam-macam tuduh menuduh, tuding jari. Mungkin ada yang mengatakan “orang lain yang makan nangka, orang lain yang kena getah.” Mungkin ada yang mengatakan “padan muka.”
Akan tetapi, yang paling menarik, “orang lain yang karam di laut, orang lain yang lemas di darat.” Si jantan yang seronok gomol pelacur itu, tetapi kita masyarakat Malaysia yang riuh-rendah, gamat satu negara, mengheret diri ke dalam kancah pertarungan: pertuduhan dan penafian. Mudah cakap, jika seorang menuduh sesuatu, tetapi si dituduh menafikannya, maka jawapannya mudah: salah seorang pasti berbohong.
Sebagai peringatan: Pemimpin datang, pemimpin pergi, ahli politik menjelma dan menghilang, namun yang kekal abadi ialah pembohongan politik. Dan, kita sebagai anggota masyarakat sentiasa mengabdikan dan memperhambakan diri kita terhadap pembohongan tersebut dengan penuh setia.
Pakar atau guru pemasaran sebenarnya silap kerana menjalankan kajian tentang kesetiaan pelanggan kepada sesuatu jenama atau produk. Sepatutnya kajian seperti itu dilaksanakan terhadap kesetiaan orang ramai (terutamanya, para penyokong) yang tidak berbelah bahagi terhadap pembohongan politik. Kesetiaan kepada mana-mana pemimpin politik sebenarnya kesetiaan kepada pembohongan mereka!
Satu pesanan: Jika anda ingin menjadi ahli politik, salah satu syarat penting ialah anda mesti pandai berbohong, pandai temberang sambil berdiri megah mana-mana pentas.
Kira-kira 65 tahun dahulu, George Orwell, dalam “Politics and the English Language” memerhatikan: “Pada zaman kita, tidak ada perkara yang terpisah daripada politik. Semua isu ialah isu politik, dan politik itu sendirinya merupakan bongkah pembohongan (mass of lies), dalih, kebodohan, kebencian, dan skizofrenia.”
Selepas berceloteh sejenak, elok dinyatakan bahawa catatan tambahan (postscript) ini adalah untuk “srikandi” dalam “Libya: Tiga Wanita Tawan Obama” dan tidak ada kena mengena “Datuk T,” meskipun jumlahnya sama. Walaupun sebelum menulis makalah itu, saya membaca The New York Times, tetapi entah mengapa saya terlepas pandang Maureen Dowd yang menulis “Fight of the Valkyries” yang dipetik, antaranya oleh RealClearPolitics, Post-Gazette.com., dan ohio.com.
Maureen melalui kolumnya itu menulis, “mereka digelar the Amazon Warriors, the Lady Hawks, the Valkyries, the Durgas. “Mereka” yang dimaksudkan itu Hillary Clinton, Setiausaha Negara Amerika, Samantha Power, pembantu kanan Majlis Keselamatan Negara, dan Susan Rice, duta Amerika ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Wujud sesuatu secara positif mitologi tentang kumpulan wanita yang kuat melayah turun untuk mengibas-ibaskan presiden daripada perasaannya yang lemah dan menunjukkannya bagaimana untuk berperang. Dan wujud sesuatu secara positif yang boleh diramalkan tentang lelaki menggesa semula yang bertentangan dengan jalan cerita kerana takut itu membuatkan presiden kelihatan takut bini. Tulis Maureen, “Meskipun tidak jelas jika Valkyries akan mendapat sanjugan atau celaan tentang serangan terhadap Libya. Akan tetapi, setiap orang terpesona dengan menjentik gender: lelaki yang keberatan, iaitu jeneral, Setiausaha Pertahanan, lelaki penasihat keselamatan negara Rumah Putih yang ditewaskan oleh wanita yang garang di sekeliling Presiden Obama mendesak beliau menjadi jantan untuk menentang Gaddafi yang gila.”
Bagaimana aneh untuk melihat diplomat sebagai helang dan tentera sebagai merpati, soal Maureen. Budak perempuan mengatasi budak lelaki.
Membahaskan penulisannya dari segi gender, beliau menulis, “Kita datang daripada satu perjalanan yang jauh daripada teori hubungan antarabangsa feminis dua dekad lalu yang menurut streotaip tentang sifat agresif menjadi “lelaki” dan perdamaian menjadi wanita. Meninjau dari sudut sejarah bahawa wanita menghancurkan streotaip gender, bahas Maureen, “daripada Cleopatra kepada Golda Meir kepada Margaret Thatcher Iron Lady, yang pengkritik sayap Kiri dengan sombong berkata beliau bukan benar-benar wanita.”
Apabila tersebar berita bahawa ketiga-tiga wanita berkenaan tidak terlibat dalam membuat keputusan tentang Libya, Maureen membahaskan, “apa-apa jua alasan, kaki pintal juga takut bahawa presiden akan dilihat dalam keadaan tidak kena dikejar oleh Furies bahawa mereka pergi terlalu jauh untuk berhujah bahawa tiga wanita, bahkan tidak dalam bilik untuk Membuat Keputusan.” Tanya beliau dengan sinis, “Jadi, di tempat mereka di mana, di dapur?”
Angka tiga kini terkenal, baik di Amerika Syarikat mahupun di Malaysia, meskipun dalam fungsi atau peranan yang berbeza: satu menyerang, satu lagi mendedah.
No comments:
Post a Comment