Artikel Popular

Sunday, March 6, 2011

Apabila Gergasi Bangun daripada Tidur

ISNIN, 7  Mac 2011
Oleh:   ZULKIFLI SALLEH
Lima  tahun lalu, China menduduki tempat kelima dalam ekonomi dunia, dan kemudian, menyingkirkan Jerman untuk menduduki tempat ketiga.  Kini, China   mengetepikan  Jepun  untuk  tempat kedua  dalam pemeringkatan ekonomi dunia.  Negara itu dijangkakan   menggerhanakan Amerika Syarikat sebagai ekonomi terbesar di dunia pada 2027.  Selain itu, China dikatakan mempunyai cita-cita besar untuk memperkuat dan memperluas kuasa ketenteraannya untuk menyaingi Amerika Syarikat di rantau Pasifik Barat.
Adakah China akan menguasai dunia?  Mungkin terlalu awal untuk menjawab persoalan itu, tetapi yang jelas bahawa selain dalam bidang ekonomi dan ketenteraan, China memperlihatkan pengembangan dan peluasan bahasa China  di peringkat global.   Meskipun dunia asyik memerhatikan hegemoni ekonomi  China dan pada takat tertentu, ketenteraan, namun  penerobosan bahasa China ke setiap rantau   tidak terlepas perhatian. 
Pada awal tahun lalu, Center for Applied Linguistics  melaporkan bahawa di Amerika Syarikat bahawa beribu-ribu sekolah awam menghentikan pengajaran bahasa asing pada dekad lalu, sebaliknya sekolah berlumba-lumba menawarkan pengajaran dalam bahasa Cina. Menandakan semakin pentingnya bahasa itu dari segi  perniagaan global  dan diplomasi untuk Amerika.  Tatkala minat terhadap bahasa Jepun kian merosot,   bahasa Cina pula  memperoleh  momentumnya.  Kerajaan China dilaporkan  menghantar   guru-guru dari China ke sekolah-sekolah di seluruh dunia, dan membiayai gaji guru berkenaan.  Sesetengah sekolah di Amerika  membiayai sendiri kelas bahasa Cina, tetapi beratus-ratus sekolah mendapat beberapa pertolongan.
Meskipun bahasa Cina masih kurang lazim di sekolah dan universiti di Amerika berbanding dengan bahasa Sepanyol dan Perancis, tetapi bahasa itu semakin mendapat tempat dan  dikatakan mempunyai keistimewaan yang tersendiri.  Sekolah awam dan swasta  berlumba-lumba untuk menambah Cina dalam kurikulum.  Di New York City sahaja, kira-kira 80 buah sekolah menawarkan bahasa Cina, dengan beberapa program bermula di tadika.
Dianggarkan 1600 buah sekolah awam dan swasta di Amerika mengajar bahasa Cina, meningkat daripada 300 buah atau lebih pada dekad lalu.  Kira-kira 27,500 sekolah menengah dan tinggi di negara itu menawarkan sekurang-kurangnya satu bahasa asing, perkadaran yang menawarkan bahasa Cina meningkat kepada empat peratus daripada satu peratus dari tahun 1997 ke 2008, demikian menurut kajian yang dijalankan oleh Center for Applied Linguistics.
Walaupun sungguh-sungguh dipercayai bahawa lebih banyak kanak-kanak Amerika mempelajari bahasa Cina, tetapi Nicholas D. Kristof melalui kolumnya dalam The New York Times pada akhir tahun lalu, berkata “bahasa yang akan menjadi penting untuk  orang Amerika dan banyak digunakan setiap hari ialah Sepanyol.”  Setiap kanak-kanak di Amerika Syarikat, tambah beliau, sepatutnya belajar Sepanyol, bermula di sekolah rendah; Cina membuat tambahan yang hebat untuk Sepanyol, tetapi tidak menggantikannya. Merujuk kepada jumlah Hispanic 16 peratus daripada penduduk Amerika pada 2009 dan dijangkakan meningkat pada masa akan datang,  tegas Kristof,  “Sepanyol mungkin tidak seprestij Mandarin, tetapi bahasa ini muncul setiap hari di Amerika Syarikat, dan akan menjadi semakin penting.”
Minat yang mendalam terhadap bahasa Cina bukan hanya terbatas di  Amerika, tetapi  juga dapat dikesan  di Eropah. “Chinese Business Gains Foothold in Eastern Europe”  tajuk The New York Times pada September lalu yang membawa berita bahawa bahasa Cina kian tersebar luas.    Dalam  bidang  pendidikan bersama-sama  perniagaan dan pelaburan,  memperlihatkan China mara di Eropah Tengah dan Eropah Timur.   “Dinding bilik darjah di sekolah rendah dwibahasa Hungary-Cina,” lapor akhbar itu, “di sini, dihiasi dengan kalendar dan sepanduk dalam bahasa Cina. Terdapat   susunan  buku bahasa Cina baru di dalam bilik staf, dibekalkan oleh pihak berkuasa China, yang juga menghantar dua orang guru setahun, bergantung pada keperluan sekolah.”
Sekolah di Budapest itu  yang dibuka pada tahun 2004 pada mulanya  adalah sebagai respons terhadap  peningkatan jumlah   pekerja China yang bekerja di Hungary dan syarikat  China melabur di Eropah Timur.  Pada tahun pertama, terdapat 86 orang murid, semuanya dari China  atau negara lain di Asia.  Namun begitu,  daripada 229 orang pelajar yang bermula pada bulan September lalu, 90 orang ialah rakyat Hungary.  Semakin banyak ibu bapa Hungary menghantar anak-anak mereka ke sekolah itu.  Ibu bapa  melihat  peluang yang besar terbuka untuk mereka kerana China semakin penting.
Keperluan untuk belajar bahasa Cina dalam kalangan warga global bukan semata-mata kerana Mandarin akan menguasai dunia, tetapi juga kerana dengan cara itu, akan membuka peluang kepada mereka untuk bekerja, untuk hidup, untuk berhubung, dan untuk memahami sebuah negara yang akan menjadi  terlalu penting untuk masa hadapan mereka. 
Namun begitu, kehadiran bahasa Cina ini tidak  dialu-alukan di semua tempat, bahkan di wilayah China sendiri.    Pada akhir Oktober lau, dilaporkan beribu-ribu  orang pelajar  keturunan Tibet di China mengadakan bantahan  terhadap apa yang didakwa mereka keterhakisan budaya dan bahasa mereka.  Bantahan secara aman  yang berlaku di Tongren,  wilayah Qinghai adalah bertujuan menunjukkan kemarahan mereka terhadap perubahan dasar pendidikan dianggap bukan sahaja mengancam bahasa ibunda mereka, bahkan mencabul Perlembagaan China.  Dasar berkenaan   mengehadkan penggunaan bahasa Tibet di sekolah-sekolah.  Semua buku teks dan mata pelajaran akan diajarkan dalam bahasa Mandarin, kecuali  kelas bahasa Tibet dan bahasa Inggeris.  “Penggunaan bahasa Tibet,” dakwa Free Tibet, “dilenyapkan secara sistematik sebagai sebahagian strategi China untuk memperkukuh pendudukannya di Tibet.”
Malahan, di Hong Kong dan Guangzhou  berlaku tentangan terhadap penggunaan bahasa Mandarin  pada pertengahan tahun lalu apabila beribu-ribu orang aktivis mengadakan tunjuk perasaan.    Mereka ingin melindungi bahasa Kantonis yang menurut mereka bahawa pihak berkuasa China berusaha meminggirkan bahasa itu dalam usaha menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan, iaitu Mandarin.  Dengan menggunakan Facebook, pihak penganjur yakin bahawa mereka mampu mengumpulkan 100,000 orang untuk menghentikan tindakan jahat China menggalakkan bahasa Mandarin dan memusnahkan Kantonis:  “Melindungi warisan China. Menentang pemupusan budaya kita oleh diktator,” tulis seorang penyokong.
Membangkitkan kemarahan dalam kalangan penutur Kantonis apabila People's Political Consultative Conference  di  Guangzhou mencadangkan stesen televisyen menyiarkan program masa perdana dalam bahasa bahasa Mandarin dan bukannya Kantonis sebelum berlangsungnya Sukan Asia pada bulan November. Pihak berkuasa  percaya bahawa menerima pakai bahasa rasmi China yang juga dikenali Putonghua akan menggalakkan perpaduan, mewujudkan persekitaran bahasa yang baik, dan memenuhi keperluan pelawat China yang tidak bertutur dalam Kantonis semasa sukan itu.
Walau bagaimanapun, banyak penutur Kantonis berasa bimbang tentang masa hadapan bahasa itu yang merupakan bahasa ibunda bagi kira-kira 70 juta orang di Hong Kong, Macau, dan wilayah Guangdong, dan bahasa itu digunakan secara meluas dalam kalangan komuniti Cina di seberang laut.  Beijing menjadikan Mandarin bahasa rasmi China pada tahun 1982, membawa kepada pengharaman dialek lain di banyak stesen radio dan televisyen. Pembelajaran dan pengajaran dalam Mandarin diwajibkan di sekolah-sekolah di Hong Kong selepas wilayah itu dikembalikan kepada China pada tahun 1997.
Setakat ini, tidak ada tanda-tanda bahawa pertembungan antara Mandarin dengan Kantonis akan reda.  Seperti yang diketahui, dalam melaksanakan apa-apa sahaja dasar nasional, termasuk bahasa, kerajaan China sentiasa tegas.  Namun begitu, dengan jumlah penutur yang agak besar, agak mustahil  mereka membiarkan Kantonis ditelan oleh Mandarin.  Banyak penduduk Hong Kong sangat bangga dan nekad melindungi Kantonis dan menganggap Mandarin hanya  sebagai bahasa kemudahan (language of convenience).  
Mungkin agak keterlaluan untuk mengatakan bahawa bahasa Cina mula menjinakkan  bahasa Inggeris, tetapi untuk menafikannya tentu kelihatan tidak bijak sama sekali.  Bagi sesiapa yang membaca makalah Xiao Xiaoyan, “English Adopts More Chinese Phrases” dalam China Daily  yang diterbitkan juga dalam Sunday Star baru-baru ini, sedikit sebanyak akur akan “kekuatan” bahasa tersebut.  “Sebagai lingua franca  masa kini dalam bidang perniagaan, sains, dan teknologi, dengan perbendaharaan lebih satu juta perkataan” tulis Xiaoyan, “Inggeris selalunya mengandungi perkataan daripada bahasa lain, seperti Latin, Jerman, Perancis, dan Cina.”  Lebih 1000 perkataan asal Cina, tambah  beliau, kini boleh didapati dalam Oxford English Dictionary, dan sejak pertengahan 1990-an, penerimaan perkataan dan ungkapan  bahasa Cina dalam bahasa Inggeris semakin meningkat.  Menurut beliau, Kantonis dan Hokkien merupakan penyumbang utama  perkataan Cina. 
Xiaoyan, Profesor Madya di Jabatan Bahasa Inggeris, Xiamen University, memerhatikan bahawa perkataan Cina kini diterima pakai dalam bahasa Inggeris biasanya terjemahan harfiah yang digunakan apabila media berbahasa Inggeris membincangkan konsep dan fenomena yang berkait khusus dengan China.  Beliau memperlihatkan keyakinannya terhadap penggunaan bahasa Cina, tetapi dengan agak berhati-hati:  “Oleh sebab negara itu semakin bersepadu dengan negara-negara lain di dunia, kita menjangkakan bahawa bahasa Inggeris meminjam lebih banyak perkataan Cina.  Walau bagaimanapun, berapa banyak perkataan itu akan terus hidup untuk menjadi sepenuhnya bahasa Inggeris.”
Meskipun Inggeris kelihatan “membuka pintu” terhadap bahasa Cina, tetapi kerajaan China mempunyai pendirian yang berbeza dalam usaha melindungi bahasa mereka.  Sebagaimana dasar ekonomi, demikian juga dengan dasar bahasa: China tidak mudah tunduk pada kuasa asing.  Pada akhir tahun lalu, kerajaan memperlihatkan ketegasan mereka terhadap bahasa Inggeris, “China Bars English Words in All Publications”  demikian tajuk berita yang menarik perhatian umum.  Akhbar, buku, dan laman web China tidak lagi dibenarkan menggunakan perkataan dan ungkapan Inggeris, The General Administration of Press and Publication (GAPP) mengumumkan bahawa “ketulenan” bahasa China dalam bahaya.  Badan penerbitan negara itu memaklumkan peraturan baru itu berkata, penggunaan perkataan dan singkatan Inggeris yang semakin meningkat dalam teks Cina menimbulkan kekeliruan dan bermakna “menyalahgunakan bahasa.”  Amalan sedemikian, tegas GAPP, “membawa kerosakan yang teruk terhadap kebakuan dan ketulenan bahasa Cina dan mengancam keharmonian dan kesegaran persekitaran bahasa dan budaya, menimbulkan impak sosial yang negatif.” 
Sebelum ini, China Central Television  dan  Beijing Television dilaporkan memberitahu China Daily bahawa mereka menerima pemberitahuan daripada kerajaan supaya mengelakkan singkatan Inggeris tertentu dalam program Cina.  Akan tetapi, singkatan Inggeris masih lazim kedengaran dalam berita tetap dan siaran sukan.
Pastinya, hasrat untuk melindungi bahasa Cina itu  baik, tetapi ada yang mempersoalkan bahawa pada zaman globalisasi apabila beberapa akronim Inggeris, seperti WTO diterima secara meluas oleh para pembaca, itu mungkin terlalu mutlak  untuk menghapuskannya. Patrick Mattimore yang menulis dalam China Daily, “English and Chinese Make a Thoughtful Blend”  memperlihatkan kebijakan dan kewarasan  langkah  tersebut:  mengelakkan  pencemaran bahasa. “Keprihatinan GAPP bukannya tidak berasas,”  tulis Mattimore.  “Sebagaimana China, kerajaan Perancis juga terlalu peka tentang pencairan bahasa Inggeris dalam bahasa Perancis, yang negara anggap khazanah negara yang setara dengan Louvre  dan Menara  Eiffel.”  Dengan memetik pandangan banyak ahli antropologi tentang kesan buruk  pencemaran bahasa, maka  hujah beliau, “yang pastinya bersetuju bahawa pencairan bahasa kumpulan akan mengakibatkan kerosakan budaya kumpulan.” 
Dari sudut moral dan undang-undang, tegas Mattimore,  kerajaan memang berhak untuk mengharamkan bahasa yang dianggap mungkin merosakkan masyarakat, seperti keputusan Mahkamah Agung Amerika Syarikat lebih 30 tahun lalu bahawa kerajaan boleh mengawal selia siaran ucapan lucah dalam kes terhadap stesen yang menyiarkan monolog   7 Dirty Words, komik  George Carlin.
Sebagaimana Jepun suatu ketika dahulu, minat yang mendalam terhadap  bahasa China di peringkat global adalah kerana kebangkitan China sebagai kuasa ekonomi dunia yang menyingkirkan Jepun dan Jerman, dan seterusnya menyaingi sengit  Amerika.  Baik dalam bidang ekonomi dan ketenteraan mahupun bahasa, China  boleh diibaratkan  “gergasi yang sedang bangun daripada  tidur nyenyak.”  
Sesuatu yang boleh dipelajari daripada dasar bahasa yang dilaksanakan oleh China ialah mereka menggalakkan bahasa mereka  berkembang di peringkat antarabangsa, tetapi pada masa yang sama, tidak membenarkan bahasa asing mencemarkan bahasa mereka.  Selain itu, mereka tidak  berganjak dalam melaksanakan bahasa Mandarin sebagai bahasa rasmi, walau apa-apa pun tentangan mendatang.  Bagi kerajaan China, pendirian mereka memang jelas bahawa hanya satu bahasa boleh dijadikan bahasa rasmi, dan bukannya dua tiga bahasa.
(Nota:  Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Bahasa Februari 2011 dengan judul  “China juga Menguasai Bahasa.”)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...