JUMAAT, 11 Mac 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
No way I’m voting for Obama – He’s such typical radical-Muslim-terrorist. Paris Hilton celebrity-type. Demikian kartun yang diterbitkan dalam majalah The Atlantic baru-baru ini. Sebelum ini, The New Yorker menerbitkan kartun yang menggambarkan sebagai Barack Obama sebagai pengganas Islam yang mengancam Amerika Syarikat. Obama dalam perjalanannya ke Rumah Putih sering dikaitkan dengan Islam, baik dalam bentuk kartun mahupun dalam gambaran media dan serangan oleh pihak musuh politik: memakai serban, belajar di Indonesia, dan beragama Islam. Dalam persaingan untuk ke Rumah Putih, Islamofobia turut menjadi modal politik. Pastinya, fenomena ini berkaitan dengan kebangkitan tekanan yang cukup getir terhadap Islamofobia di Amerika Utara dan Eropah. Di Eropah, Muslim menjadi sasaran utama; antara tahun 2000 hingga 2005, keganasan perkauman yang dilaporkan secara rasmi meningkat 71 peratus di Denmark, 34 peratus di Perancis, dan 21 peratus di Ireland.
“Dalam usaha memahami virus Islamofobia yang kini merebak di Eropah,” tulis Elllen Brunn dan Jacques Hersh, “negara kecil Denmark memberikan gambaran yang cukup kuat.” Kedua-dua penulis makalah “The Danish Disease: The Political Culture of Islamofobia” (Monthly Review, Jun 2008), menegaskan Islamofobia meletakkan Denmark dalam tajuk berita antarabangsa apabila akhbar Jyllands-Posten menerbitkan 12 kartun yang menghina Nabi Muhammad pada 30 September 2005. Kartun bukan sahaja cara untuk membangkitkan kemarahan terhadap kepekaan atau sensitiviti agama, tetapi yang lebih penting, penerbitan kartun itu merupakan seruan lantang terhadap media untuk mengatasi sekatan “kebebasan penyataan” media dan menyertai secara aktif dalam pengerahan pendapat terhadap penduduk Muslim. Serangan ini bertujuan mempengaruhi budaya politik orang Denmark yang mengarah kepada Islamofobia.
Masyarakat Malaysia tidak perlu merenung Eropah dan Amerika Utara untuk memahami Islamofobia. Virus Islamofobia yang melanda kedua-dua benua itu kini merebak ke Malaysia apabila Persatuan Peguam menganjurkan forum “Memeluk Islam” pada 8 Ogos lalu. Walaupun beberapa pertubuhan bukan kerajaan Melayu-Islam membantah forum ini dan para pemimpin kerajaan dan politik mencadangkan forum terbuka seperti ini tidak diadakan, namun Persatuan Peguam tetap meneruskan forum yang dalam bahasa Inggeris bertajuk “Conversion to Islam: Article 121(1a) of the Federal Constitution – Subashini and Shamala Revisited”. Sebagaimana kartun yang diterbitkan akhbar Jyllands-Posten menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia, dilihat dari segi tajuknya, forum ini bernada sinis, provokatif, dan prasangka yang membangkitkan kemarahan orang Melayu-Islam di Malaysia. “Memeluk Islam” digambarkan sebagai punca ketidakadilan serta penderitaan yang terpaksa ditanggung oleh kaum keluarga yang terlibat dan punca porak-peranda.
Ada orang yang mempertahankan forum itu diadakan dengan hujah adalah mustahil bahawa Datuk Ambiga Sreenivasam, Presiden Persatuan Peguam bertujuan mencemarkan Islam. Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush berkali-kali menegaskan bahawa beliau tidak anti-Islam, tetapi segala tindakannya bercanggah sama sekali. Seseorang mencemarkan Islam bukan sahaja dengan cara yang keras, seperti membakar Qur’an dan melontar najis ke dalam masjid, tetapi juga dengan cara berselindung di sebalik forum yang kononnya intelektual sifatnya.
Ada juga yang mempertahankan forum berkenaan dari aspek intelektual kerana dihadiri oleh orang yang berilmu dan golongan profesional. Pentadbiran Bush di Amerika juga didukung oleh golongan intelektual neokonservatif, tetapi angkara mereka menyebabkan dunia dalam keadaan tidak lagi aman.
Selain itu, ada yang mempertahankan forum atas nama demokrasi. Namun, Tun Dr. Mahathir Mohamad, bekas Perdana Menteri Malaysia dalam kritikannya terhadap Majlis Peguam mengadakan forum terbuka itu mengingatkan: “sepatutnya tidak ada apa-apa rasa keraguan terhadap tahap demokrasi yang diamalkan di negara ini,” Tambah beliau lagi, “apa yang baik untuk mereka tidak semesti baik untuk kita.”
Tanpa menafikan keunggulan dan keluhurannya, demokrasi juga mempunyai “bahagian gelap”, seperti pembunuhan etnik, dan di India, berlaku keganasan agama. Demokrasi sering terbuka kepada “pasangan” yang boleh membawa kejahatan dan kecelakaan, antaranya: demokrasi-anarkisme, demokrasi-fasisme, demokrasi-imperialisme, demokrasi-rasisme, demokrasi-fundamentalisme, demokrasi-kemiskinan. Maka, seseorang itu tidak sepatutnya berasa terlalu taksub terhadap demokrasi sehingga melupakan bahagian gelapnya.
Berdasarkan Islamofobia di Eropah: “serangan sebagai Muslim di tanah air sendiri atau di luar negara, mereka mempertahankan diri mereka sendiri sebagai Muslim.” Bantahan beberapa pertubuhan bukan kerajaan Melayu-Islam juga membuktikan kebenaran kata-kata ini. Mereka bersatu tanpa mengira perbezaan politik.
Di mana-mana sahaja kepercayaan dan keyakinan umat Islam terhadap agama mereka tidak pernah luntur, bahkan semakin kukuh, meskipun Islam dtindas, dihina, dan diaibkan. Hakikat ini juga dapat dilihat dari segi tindak balas orang Melayu-Islam terhadap penganjuran forum yang pada tanggapan mereka menghina dan mengaibkan agama Islam. Dalam konteks ini, memang benar jika dikatakan bahawa sesuatu bangsa atau kaum itu akan bangkit bersatu apabila “raksasa” menjelma mengancam kehidupan dan masa depan mereka!
Dalam In Murder in Amsterdam, Ian Buruma menemu bual pelajar undang-undang beragama Islam yang bergeliga yang memberikan jawapan ringkas yang mengagumkan: "Sebelum 11 September, saya hanya Nora. Kemudian, segalanya tiba-tiba, saya ialah Muslim.”
Persatuan Peguam, sama ada secara sengaja ataupun tidak sengaja turut memperkukuhkan identiti berdasarkan bangsa dan agama: Melayu-Muslim. Dan yang paling bahaya, memperluaskan jurang antara Melayu-Islam di satu pihak dengan bukan Melayu-bukan Islam di satu pihak yang lain. Persatuan Peguam menyedikan tapak yang amat subur untuk menyemai benih prasangka, kebencian, kejahilan, dan ketaksuban dalam kalangan masyarakat. Mungkin inilah hadiah sempena 51 tahun Malaysia mencapai kemerdekaan?
Menyalahkan mangsa. Demikian tohmahan yang dilemparkan terhadap rakyat Palestin yang menentang kekejaman Israel. Hal yang serupa terjadi terhadap orang Melayu-Islam yang mengganggu perjalanan forum berkenaan. Beberapa individu dan pihak mendesak kerajaan mengambil tindakan terhadap mereka atas alasan biadab dan melampau terhadap Persatuan Peguam yang ingin berbicara sesuatu yang mempunyai nilai universal, iaitu keadilan, kebebasan, dan kesaksamaan. Dengan kata lain, nilai universalisme mengatasi segala-galanya, dan oleh itu, jangan sesiapa pun cuba mencabarnya. Atas nama hak sebagai warganegara, ada yang berhujah bahawa Persatuan Peguam wajar mengadakan forum berkenaan. Namun, berdasarkan kritikan dan desakan, sebagai warganegara, orang Melayu-Islam seolah-olahnya dinafikan hak mereka untuk mempertahankan agama dan hak istimewa mereka yang dijamin dalam Perlembagaan.
Desakan demi desakan dengan pelbagai alasan supaya kerajaan mengambil tindakan terhadap orang Melayu-Islam yang terbabit, mungkin mengingatkan seseorang dalam konteks yang berbeza, tetapi jelas maksudnya, kepada kata-kata pedas Atal Bihari Vajpayee, Perdana Menteri India semasa berlaku persengketaan Hindu-Muslim di Gujerat pada awal tahun 2002: “Muslim di mana-mana jua enggan hidup secara aman.” Mungkin juga kata-kata Moshe Dayan dari Israel bahawa “Arab hanya memahami kekuatan (force).”
Dalam The Last Mughal: The Fall of a Dynasty, Delhi, 1857, William Dalrymple menamatkan buku dengan menulis: “Seperti yang kita lihat pada masa kita, tidak ada satu pun ancaman aspek liberal dan sederhana Islam seteruk pencerobohan dan campur tangan Barat di Timur, sebagaimana tidak ada satu pun yang meradikalkan Muslim biasa secara mendadak dan memberikan kuasa kepada golongan ekstremis: fundamentalisme Islam dan Imperialisme Barat. Pengajaran yang cukup jelas di sini.”
Nampaknya, bukan sahaja Barat gagal belajar daripada sejarah, tetapi sesetengah pihak di Malaysia juga gagal berbuat demikian, dan forum anjuran Majlis Peguam merupakan salah satu contoh. Kejahilan atau memetik teguran Tun Dr. Mahathir Mohamad, “sikap angkuh” Persatuan Peguam, bukan sahaja menimbulkan kegelisahan dalam kalangan masyarakat Malaysia, bahkan juga memperkasa individu dan golongan tertentu.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat September 2008.)
No comments:
Post a Comment