JUMAAT, 4 Mac 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Peribahasa Cina menyebut apabila angin perubahan bertiup, sesetengah orang membina tembok, manakala yang lain membina kincir angin. Atau dengan mengungkapkan tajuk buku Jared Diamond, “runtuh, bagaimana masyarakat memilih untuk gagal atau untuk terus hidup (survive).” Apabila berlaku krisis atau malapetaka, setiap negara dan masyarakat akan memberikan respons atau tindak balas yang berbeza; ada yang memilih jalan kelangsungan hidup, dan ada yang memilih jalan kemusnahan. Semuanya bergantung pada cara bagaimana sesebuah negara dan masyarakat menghadapi dan menyelesaikannya. Semasa krisis kewangan Asia Timur pada tahun 1997-1998, rakyat Korea Selatan dan Thailand mendermakan barang kemas mereka kepada kerajaan masing-masing – satu contoh kebangkitan nasionalisme semasa krisis.
Krisis ekonomi yang berpunca daripada kenaikan harga minyak, krisis makanan, tekanan inflasi, dan peningkatan kadar pengangguran, tidak dapat tidak, akan mencetuskan pergolakan politik dan kekacauan sosial. Tidak memeranjatkan jika krisis ekonomi membangkitkan anarki, malahan melahirkan negara fasis. Apabila krisis makanan mula melanda dunia, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia mengingatkan krisis ini boleh menumbangkan kerajaan sesebuah negara. Krisis kewangan Asia Timur pada tahun 1997-1998 bukan sahaja mencetuskan rusuhan dan demonstrasi jalanan, tetapi juga persengekatan kaum seperti yang berlaku di Indonesia dan bunuh diri besar-besaran seperti yang berlaku di Korea Selatan.
Ahli ekonomi terkenal, John Maynard Keynes mengingatkan bahaya huru-hara ekonomi membangkitkan keberangan, rasisme, dan revolusi. Keynes, arkitek intelektual New Deal dan negara kebajikan moden, seperti dikatakan oleh Naomi Klein, pernah menulis hubungan antara inflasi melampau dengan penyebaran fasisme di Jerman selepas Perang Dunia Pertama. Perjanjian damai yang dikenakan terhadap Jerman menjerumuskan negara itu ke dalam kancah krisis ekonomi, termasuk kadar inflasi melampau 3.25 juta peratus dan diperburukkan lagi Kemelesetan Besar (Great Depression) beberapa tahun kemudian, dan dengan kadar pengangguran 30 peratus menjadikan negara itu bumi yang subur untuk pembiakan Nazisme.
“Masih segar memori keruntuhan pasaran pada tahun 1929 dan disusuli dengan Kemelesetan Besar – simpanan sepanjang hayat musnah sekelip mata, bunuh diri, soup kitchens, dan pelarian,” kata Naomi Klein dalam The Shock Doctrin: The Rise of Disaster Capitalism. Besarnya bencana pasaran ini mendorong tuntutan yang meluap terhadap bentuk tindakan segera daripada kerajaan. Kemelesetan Besar tidak menandakan berakhirnya kapitalisme, tetapi sebagaimana John Maynard Keynes ramalkan beberapa tahun lebih awal, “berakhirnya laissez-faire” – berakhirnya daripada membiarkan pasaran mengawal dan mengatur dengan sendirinya.
Pada 29 April lalu, The Wall Street Journal menerbitkan makalah bertajuk “Nationalism’s Rise Fray Global Ties”. Sebagaimana Joseph Stiglitz, Bob Davis penulis makalah itu juga menolak gagasan Thomas Friedman bahawa dunia ini datar: “Dunia ini tidak datar seperti yang dipercayai. Ekonomi global kelihatan memasuki zaman apabila kerajaan memperlihatkan semula peranan mereka dalam kehidupan individu dan perniagaan.”
“Sekali lagi,” tegas beliau, “halangan bangkit. Sebutnya nasionalisme baru.” Bermakna berakhirnya zaman kemenangan pasaran terhadap negara yang bermula dengan pembatalan kawal selia (deregulation) British semasa pemerintahan Margaret Thatcher. Kuasa negara memperlihatkan semula peranan dengan sendirinya.
Kerajaan menyatakan kekuatan yang kian meningkat dengan cara yang berbeza. Bagi negara kaya, tulis Davis, “lazimnya, bermaksud cukai tinggi dan lebih banyak kawal selia. Sementara di negara miskin di Afrika dan Asia, kenaikan harga makanan menggalakkan halangan eksport yang baru.”
Tambah beliau lagi, kini, para peminjam menjauhkan diri daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. Syarikat milik kerajaan semakin berkembang, khususnya dalam bidang minyak dan gas. Peningkatan pengaruh kerajaan boleh dilihat dari besarnya pelaburan yang dibiayai oleh dana negara. Negara yang menjadi kaya kerana kenaikan harga komoditi kian memperlihatkan kuasa mereka, dengan Venezuela memiliknegarakan telaga minyak, Rusia mengancam memutuskan bekalan gas asli ke Eropah Barat.
Untuk memperkukuh hujahnya tentang kebangkitan nasionalisme, Bob Davis merujuk kepada sokongan awam terhadap sekatan kemasukan warga asing yang semakin meningkat di kebanyakan negara, dari Amerika Syarikat ke India. Baik di negara kaya mahupun di negara miskin, kemasukan warga asing menjadi isu politik yang sangat kuat. Kebanyakan negara yang dikaji menyokong sekatan lanjut dikenakan terhadap kemasukan warga asing.
Bob Davis adalah betul dengan berkata, ”kerajaan memperlihatkan semula peranan mereka dalam kehidupan individu dan perniagaan” sebagai menandakan kebangkitan nasionalisme. Akibat terpengaruh dengan cadangan atau gagasan ekonomi neoliberal, Konsensus Washington, dan Reaganisme-Thatcherisme pada 1980-an, modal kian memperkukuhkan penguasaannya melalui penswastaan, pemusnahan negara kebajikan, dan pembatalan kawal selia, manakala peranan kerajaan semakin terhakis.
Walaupun tidak membahaskannya dalam konteks nasionalisme secara tersurat, golongan demokratik sosial mengingatkan bahawa kerajaan boleh dan sepatutnya memperlihatkan kedaulatan mereka dengan dan mengambil kawalan yang lebih besar terhaadap ekonomi di peringkat nasional dan supranasional. Joseph Stiglitz dalam Making Globalization Work bercakap dalam nada yang sama: “Antara pilhan utama yang dihadapi oleh semua masyarakat ialah peranan kerajaan. Kejayaan ekonomi perlu mendapatkan kedudukan yang seimbang antara kerajaan dengan pasaran dari segi penyediaan perkhidmatan, program, dan kawal selia.”
Kita boleh menjangkakan bahawa krisis ekonomi akan memperkukuhkan kebangkitan nasionalisme yang disebut oleh Bob Davis, iaitu kerajaan memperlihatkan semula peranan mereka dalam kehidupan individu dan perniagaan. Tindakan kerajaan pada masa krisis adalah selari dengan saranan Keynes kira-kira 70 tahun lalu, “kerajaan sepatutnya berbelanja untuk keluar daripada kemelesetan, menyediakan rangsangan ekonomi melalui kerja awam.”
Krisis ekonomi merupakan masa yang sesuai bagi kerajaan merampas kemenangan pasaran, iaitu tidak lagi membiarkan pasaran mengawal dan mengatur dengan sendirinya. Kini, keterbatasan pasaran, seperti yang dinyatakan oleh Stiglitz, pada amnya, difahami sekurang-kurangnya dalam kalangan ahli ekonomi kalaupun tidak dalam kalangan ahli politik.
Semasa krisis ekonomi, penglibatan kerajaan boleh dilihat dalam beberapa cara, seperti dari segi pelaburan atau perbelanjaan awam (kerajaan), pemberian subsidi kepada rakyat, pencukaian, dan kajian semula dasar propasaran. Apabila krisis ekonomi berlaku yang diperburukkan lagi dengan pergolakan politik dan pelbagai ketidakpastian, pelaburan swasta tidak boleh diberikan harapan yang tinggi untuk menjanakan ekonomi negara. Sektor swasta lazimnya mengelakkan risiko dan tidak sanggup menanggung kos pengeluaran yang tinggi. Baru-baru ini, seperti yang dilaporkan, beberapa kontraktor menolak tawaran projek kerajaan Malaysia kerana kenaikan kos pengeluaran yang menjejaskan jangkaan keuntungan. Sektor isi rumah juga mempunyai keupayaan yang terbatas untuk menjanakan ekonomi kerana peningkatan kadar inflasi dan pengangguran menjejaskan kuasa beli mereka.
Akibat krisis makanan, dicadangkan supaya kerajaan Malaysia mengkaji semula peranan Perbadanan Nasional (Pernas) yang salah satu tanggungjawabnya adalah dalam bidang peruncitan dan Bernas yang bertanggungjawab dalam bekalan beras negara. Kedua-dua agensi awam yang ditubuhkan pada tahun 1970-an, tetapi kemudian diswastakan. Demikian juga konsesi penswastaan tol; akibat kenaikan harga minyak dan krisis makanan, ada pihak yang bukan sahaja mencadangkan penurunan kadar tol dengan segera, malah mencadangkan kerajaan mengambil alih sepenuhnya konsesi tol di seluruh Malaysia.
Negara peminjam mempunyai alasan yang kukuh mengapa mereka hilang kepercayaan dan keyakinan, atau seperti yang dinyatakan oleh Davis, menjauhkan diri daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia. IMF, Bank Dunia, dan Pertubuhan Perdagangan Sedunia (WTO) tidak menolong dengan sepenuhnya terhadap negara yang memerlukan bantuan, sedangkan organisasi antarabangsa ini berkeupayaan untuk melakukannya. Malahan, ada kalanya ketiga-tiga organisasi ini menyebabkan negara berkenaan lebih susah. “Program IMF jelas memperburukkan lagi krisis Asia Timur, dan ‘terapi kejutan’ yang mereka kenakan terhadap bekas Kesatuan Soviet dan negara-negara satelitnya memainkan peranan penting dalam kegagalan peralihan itu,” tulis Stigliz.
Dalam menghadapi krisis ekonomi, pastinya kebanyakan negara cuba mengelakkan diri daripada IMF atau Bank Dunia. Malaysia menyatakan pendiriannya bahawa negara ini tidak akan memohon pertolongan IMF dalam menangani krisis ekonomi. Negara yang mengalami krisis kewangan pada tahun 1997-1998 tidak mungkin mengulangi kesilapan dengan tunduk kepada telunjuk IMF. Dengan menerima pakai petua yang kononnya “satu saiz sesuai untuk semua”, maka negara berkenaan hampir muflis dan rakyatnya hidup dalam kemiskinan. Negara, seperti Indonesia telah menggadaikan kedaulatan kepada IMF, dan akhirnya mempercepatkan kejatuhan Presiden Suharto pada tahun 1998.
Kemasukan warga asing yang dinyatakan oleh Bob Davis sebagai "kebangkitan nasionalisme kian menjadi isu apabila krisis ekonomi melanda dunia." Di Malaysia misalnya, kehadiran pekerja asing, khususnya pendatang tanpa izin dianggap sebagai satu fenomena yang sangat serius. Maka, ada yang berpendapat, khususnya ahli politik, ahli ekonomi, dan pihak media, tatkala negara sedang menghadapi kemelut seperti ini pergantungan pada pekerja asing hendaklah dikurangkan.
Thomas Friedman, tidak menjangkakan kebangkitan nasionalisme dengan menegaskan dunia ini datar. Samir Amin, intelektual Marxis juga mungkin tidak menjangkakan kebangkitan nasionalisme apabila beliau mengatakan kebangkitan etnik sebagai respons politik terhadap ekonomi global. Kebangkitan di peringkat global ini adalah dalam bentuk fahaman wilayah, penegasan linguistik dan budaya, kesetiaan kepada kabilah atau etnik, kesetiaan kepada kumpulan agama, dan rasa cinta kepada komuniti tempatan yang mencerminkan krisis negara bangsa.
Bob Davis telah membuka jalan yang cukup luas kepada kerajaan di sesebuah negara tentang kebangkitan nasionalisme. Justeru, krisis ekonomi merupakan masa untuk pihak kerajaan memperkukuhkan kebangkitan nasionalisme dan bukannya melemahkannya. Mencegah krisis ekonomi bukan sekadar persoalan ekonomi semata-mata, tetapi adalah persoalan kelangsungan bangsa. Sesungguhnya, kelangsungan bangsa tidak akan menjadi kenyataan seandainya nasionalisme terhakis. Sesungguhnya juga, berteraskan nasionalisme, krisis ekonomi dapat menghindarkan kekacauan sosial dan mungkin juga pergolakan politik.
(Nota: Tulisan asal makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat September 2008.)
No comments:
Post a Comment