KHAMIS, 17 Mac 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Sekali lagi agama menjadi punca persengketaan. Sementara penggunaan kalimah Allah belum lagi selesai, bangkit isu penahanan Bible yang diimport dari Indonesia yang meletakkan kerajaan pada kedudukan yang sukar: apa-apa sahaja keputusan dibuat, pastinya mengundang kritikan dan ada yang tidak berpuas hati.
“Hanya senjata yang bagus membuat undang-undang yang bagus” - tidak kelihatan untuk menangani pelbagai tuntutan yang bercanggah.
Keputusan Mahkamah Tinggi pada hari akhir tahun 2009, membenarkan majalah Herald menggunakan kalimah Allah menyaksikan detik awal tahun baru dibayangi oleh protes, demonstrasi dan laporan polis yang melibatkan umat Islam. Keputusan Mahkamah Tinggi itu mengundang bermacam-macam respons daripada pelbagai pilhak yang mewakili suara umat Islam: dua bekas Perdana Menteri, pemimpin politik, ulama, peguam, ahli akademik, pemimpin pertubuhan bukan kerajaan dan sebagainya.
Berhubung dengan penggunaan kalimah Allah, Profesor Datuk Dr. Shamsul Amri Baharuddin memberikan penjelasan yang amat menarik bukan sahaja dari sudut undang-undang dan kepercayaan, tetapi juga dari sudut sosiologi. Di bawah tajuk “Apa Makna Allah kepada Orang Melayu? yang diterbitkan dalam Sinar Harian, Shamsul Amri menjelaskan bahawa dalam kehidupan beragama orang Melayu, kalimah Allah adalah segala-galanya daripada tiang iman hinggalah pegangan, norma dan nilai.
Orang bukan Islam menolak pengislaman, seperti yang dilaporkan Agence France-Presse (AFP) pada 7 Januari 2010, ekoran kontroversi yang tercetus itu: “The row over the use of ‘Allah’ is among a string of religious disputes that have erupted in recent years, straining relations between Malays and minority ethnic Chinese and Indians who fear the country is being ‘Islamised’.”
Sesungguhnya, persengketaan etnik dan agama sesuatu yang menakutkan kerana merupakan fenomena global: Rwanda, Timur Tengah, India, Pakistan, Ireland Utara, Sri Lanka, dan di China. “Hantu Balkan” merayau-rayau di mana-mana sahaja.
Apabila golongan Islamis ingin menegakkan negara Islam di Malaysia, sebilangan ahli politik, peguam, ahli akademik, dan cerdik pandai menentangnya. Alasan mereka ialah wujud pemisahan negara dengan agama dan hujah mereka, Perlembagaan Persekutuan ialah perlembagaan sekular, meskipun di mana-mana sahaja kini, sempadan antara kedua-duanya semakin kabur. Seperti yang dibahaskan oleh Samir Amin dalam Eurocentrism (edisi kedua), “tiada masyarakat Islam zaman moden yang benar-benar sekular, kecuali di Kesatuan Soviet yang tidak wujud lagi.”
Puak berwajah sekular ini terkenal dengan sifat dwistandard: menentang Islam politik, tetapi memperjuangkan kepentingan agama lain, seperti yang jelas terbukti dalam penggunaan kalimah Allah dan penahanan Bible. Maksudnya, ada masanya mereka tanpa segan silu berdiri di pentas agama dan mencampakkan kesekularan mereka. Apabila keputusan Mahkamah Tinggi memihak kepada penganut agama Kristian, mereka bersorak keriangan atas alasan kebebasan agama. Kini, mereka dengan lantang mengutuk kerajaan menahan Bible.
Sama ada disedari ataupun tidak, puak berwajah sekular, terutamanya ahli politik bukan hanya memperhambakan atau membabitkan diri mereka dalam persengketaan agama, tetapi menjadi jaguh persengketaan itu. Betapa mudahnya prinsip sekular diperdagangakan demi kepentingan tertentu, terutamanya kepentingan politik. Perlu diingatkan bahawa apa-apa sahaja persengketaan yang berkaitan dengan agama, sesungguhnya kesannya adalah terhadap sekularisme.
Di sini elok dirujuk ulasan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Allahabad pada awal Oktober lalu tentang masjid Babri, yang menurut Kapil Komireddi, “memberikan kemenangan kepada nasionalis Hindu dalam usaha mereka untuk menyusun semula identiti India dalam pengertian Hindu.” Tulis Komireddi dalam guardian.co.uk, “tamparan terhadap sekularisme India.” Beliau menambah, “yang lebih mendukacitakan, bagaimanapun, ialah mudahnya golongan sekular India menerima keputusan itu. India menjadi serupa dengan Pakistan.” Sesuatu yang wajar dipelajari oleh puak berwajah sekular, kecuali mereka ingin “menyalinkan pakaian.”
Samuel Huntington membuat pemerhatian yang tepat yang patut dijadikan iktibar, dalam bukunya, Who Are We: The Challenges to America’s National Identity: “Apabila persengketaan menjadi tumpuan terhadap isu agama, persengketaan itu cenderung menjadi hasil tambah sifar (zero sum) dan sukar untuk bertolak ansur: sama ada kuil atau masjid dibina di Ayodhya; sama ada Yahudi atau Muslim menguasai Temple Mount.” Dalam konteks Malaysia, sama ada kalimah Allah boleh digunakan oleh penganut Kristian, sama ada Bible boleh ditulis dalam bahasa Melayu. Kemenangan dari segi perundangan tidak menjanjikan kemenangan dari segi pendapat awam. Mungkin luka lebih parah.
Berdasarkan hakikat tersebut, jaminan daripada pemimpin politik bahawa persengketaan agama akan diselesaikan dengan “menang-menang” tidak lebih sebagai impian kosong atau sekadar untuk menyedapkan hati yang gundah, jiwa yang resah. Jika melibatkan agama, persengketaan akan berlanjutan, seperti yang diperingatkan oleh mendiang Huntington.
Khususnya kepada puak berwajah sekular, satu peringatan: Jangan salahkan Islam politik yang menyebabkan keterhakisan sekularisme, sebaliknya anda sendiri yang sedang merobohkannya. Semakin anda menjadi jaguh atau terbabit dalam persengketaan agama, sesungguhnya anda mengorbankan prinsip atau ideologi yang anda anuti, kecuali anda hanyalah pseudosekular! Dalam setiap pertarungan agama, yang pasti tewas ialah sekularisme. Bersorak dan bertempiklah sepuas-puasnya atas kekalahan anda sendiri!.
No comments:
Post a Comment