Artikel Popular

Saturday, March 5, 2011

Belanjawan 2009: Mengurus Kemerosotan?

SABTU,  5 Mac 2011

Oleh:  ZULKIFLI SALLEH


Persekitaran ekonomi dan pasaran kewangan global kini menghadapi cabaran dan perkembangan tidak menentu.  Seluruh dunia terpaksa menanggung beban akibat daripada harga minyak yang meningkat tinggi secara mendadak, di samping meningkatnya harga bahan makanan dan komoditi lain.  Ketidakstabilan sektor kewangan di Amerika Syarikat menggugat pertumbuhan ekonomi di negara tersebut serta Eropah.  Demikian antara mukadimah Datuk Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia semasa membentangkan Belanjawan 2009.  Belanjawan yang bertemakan Kerajaan Prihatin menumpukan tiga strategi khusus, iaitu menjamin kesejahteraan rakyat, membangunkan modal insan berkualiti, dan memperkukuhkan daya tahan negara.

Walaupun National Bureau of Economic Research belum mengumumkan secara rasmi bahawa Amerika mengalami kemelesetan, namun tulis Peter S. Goodman dalam  The New York Times Julai lalu “banyak ahli ekonomi berpendapat bahawa kemelesetan bermula pada enam atau tujuh bulan lalu.”    Pada awal September, Rizab Persekutuan memaklumkan bahawa negara itu berada pada pertumbuhan yang perlahan kerana harga yang tinggi bagi tenaga, makanan dan barang lain menyebabkan orang ramai dan perniagaan tersepit.  Alan Greenspan, bekas Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengingatkan dalam Financial Times baru-baru ini, “banyak lagi bank dan institusi kewangan berhadapan dengan ketakmampuan bayar dan perlu diselamatkan sebelum krisis kewangan global berakhir.” 

Barangkali ada yang berhujah mengapa kita perlu runsing terhadap ekonomi Amerika.  “Globalisasi menjadikan setiap orang di dunia lebih saling bergantung.  Sering dikatakan bahawa jika Amerika Syarikat  bersin, Mexico menghidap selesema.  Kini, apabila Amerika Syarikat bersin, banyak negara di dunia akan demam.”  Demikian tulis Joseph E. Stiglitz dalam The Roaring Nineties:  Why We’re Paying the Price for the Greediest Decade in History. 

Pelbagai golongan mengharapkan insentif dan hadiah  daripada Belanjawan 2009:   daripada golongan berpendapatan rendah kepada golongan berpendapatan sederhana, daripada kakitangan kerajaan kepada pesara, daripada pekerja  sektor awam kepada pekerja  sektor swasta, daripada penduduk kota kepada penduduk desa, daripada perusahaan kecil dan sederhana kepada perusahaan besar, daripada penjaja kecil kepada pengusaha hotel dan restoran, daripada pengusaha teksi kepada pengusaha bas.  Setiap orang terpaksa menanggung kesan kenaikan harga minyak,  makanan, dan barang lain sehingga menjejaskan pendapatan, kuasa beli, dan kesejahteraan hidup mereka.  Oleh sebab itu,  mereka perlu bergantung pada kerajaan untuk meringankan beban dan kesengsaraan hidup mereka. Sesuatu yang kurang sihat dari segi peningkatan produktiviti dan  dorongan untuk berdikari.   

Belanjawan yang mesra rakyat dan sektor perniagaan ini secara keseluruhannya, mendapat sambutan baik daripada rakyat.   Para pelabur dalam pasaran saham  memberikan respons positif terhadap insentif dan hadiah yang diberikan dalam belanjawan itu.   Indeks Komposit Kuala Lumpur (KLCI) yang tidak menentu sejak kebelakangan ini, tetapi pada hari pembentangan belanjawan  meningkat kepada 1,100.50 mata, iaitu meningkat sebanyak 30.04 mata (2.81 peratus), dengan volum urus niaga meningkat kepada 520.311 juta saham dengan nilai RM1.098 bilion.  Walau bagaimanapun, respons ini hanya keriangan sementara kerana pada  minggu berikutnya, pasaran saham  tidak berupaya meneruskan rentaknya.    

Sedikit sebanyak, Belanjawan 2009 mencerminkan apa yang pernah dikatakan oleh Pemenang Hadiah Nobel (Ekonomi), Joseph E. Stiglitz tentang pendekatan tuntas untuk pembangunan, iaitu pentingnya  memperkukuh pasaran dan kerajaan.  Dalam Making Globalization Work, yang juga menyentuh kebaikan program tindakan pendorong (affirmative action) di Malaysia dan  sumbangan Petronas, Stiglitz menegaskan: “hari ini hampir setiap orang bersetuju bahawa kerajaan perlu terlibat dalam menyediakan pendidikan asas, rangka undang-undang, infrastruktur, dan beberapa unsur jaringan keselamatan sosial, dan dalam mengawal selia persaingan, bank, dan impak alam sekitar.”

Belanjawan 2009 memperlihatkan penglibatan  kerajaan dalam penyediaan pendidikan asas, infrastruktur, dan jaringan keselamatan sosial yang  bukan sahaja penting dari segi pendekatan  tuntas untuk pembangunan, tetapi juga berupaya merangsangkan ekonomi negara dan menghindarkan daripada kemerosotan. Untuk pembangunan pendidikan, kesihatan, dan perumahan, kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM17.8 bilion; RM27.8 bilion bagi pertanian, perindustrian, dan infrastukur; dan RM4.1 bilion bagi keselamatan.  

Untuk jaringan keselamatan sosial pula, Belanjawan 2009 antaranya menyediakan tabung khas RM25 juta bagi yang kehilangan punca pendapatan secara  mengejut;  menaikkan kelayakan pendapatan bantuan kebajikan daripada RM400  kepada RM720 sebulan di Semenanjung, RM830 di Sarawak, dan RM960 sebulan di Sabah; dan bagi pesara kerajaan yang berkhidmat sekurang-kurangnya 25 tahun akan menerima pencen tidak kurang RM720 sebulan.   

Dalam Belanjawan 2009, kerajaan  juga menyediakan RM31 bilion kepada Kementerian Pelajaran untuk menyediakan  pendidikan bagi manfaat 5.8 juta pelajar.  Bagi meningkatkan kualiti pembelajaran di peringkat pengajian tinggi, dalam belanjawan itu, kerajaan menyediakan peruntukan RM14.1 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi.  Bagi program latihan dan kemahiran, kerajaan menyediakan peruntukan sejumlah RM2.4 bilion.

“Ahli ekonomi berbicara tentang pendidikan sebagai modal insan, iaitu pelaburan untuk manusia  menghasilkan pulangan sebagaimana pelaburan dalam jentera,” tulis Joseph Stiglitz.  Namun, beliau mengingatkan:  “pendidikan memang penting, tetapi jika tiada pekerjaan untuk mereka yang berpendidikan, maka tidak wujud pembangunan.”  Dengan kata lain,  peluang pendidikan   dan peluang pekerjaan mesti saling wujud. 

Menurut Laporan Ekonomi 2008-2009, daripada 190,237 pencari kerja yang aktif seperti pada akhir Jun tahun 2008, 47.3 peratus terdiri daripada pemegang ijazah dan diploma, manakala 29.7 peratus lepasan Sijil Tinggi Pelajaran (SPM). Menurut laporan itu lagi, pada tahun 2008, kekosongan di peringkat siswazah meningkat sebanyak 72.2 peratus, iaitu kepada 54,426 pekerjaan.  Namun, tidak dipastikan bahawa peningkatan jumlah kekosongan ini dapat mengatasi masalah pengangguran dalam kalangan siswazah kerana apa yang jelas, masalah ini adalah antara faktor yang mempengaruhi keputusan Pilihan Raya Umum Mac lalu.

Malah, Tengku Razaleigh Hamzah yang pernah berkhidmat sebagai Menteri Kewangan mengulas  bahawa Belanjawan 2009 tidak mempunyai mekanisme untuk melawan inflasi yang meningkat dan mengatasi  pengangguran dalam kalangan siswazah.  “Meskipun Belanjawan 2009 berusaha membantu golongan miskin dan kumpulan berpendapatan sederhana, tidak ada langkah konkrit diambil untuk meningkatkan produktiviti dan memperluas kapasiti perolehan rakyat untuk mengimbangi   inflasi yang meningkat dan kos sara hidup yang semakin tinggi.” 

Dalam Belanjawan 2009,  kerajaan antaranya menaikkan rebat cukai daripada RM350 kepada RM400  seorang bagi pendapatan bercukai RM35,000 ke bawah; menurunkan kadar cukai individu maksimum daripada 28 peratus kepada 27 peratus; mengecualikan cukai terhadap faedah simpanan bagi individu; mengurangkan duti import terhadap beberapa barang pengguna daripada antara 10 hingga 60 peratus kepada lima hingga 30 peratus; dan  mengecualikan sepenuhnya duti import untuk beberapa barang makanan antara dua hingga 20 peratus. 

Langkah meningkatkan pendapatan boleh guna ini pastinya menggalakkan pertumbuhan penggunaan swasta, dan oleh itu, mengurus kemerosotan.  Berdasarkan Laporan Ekonomi 2008-2009, penggunaan swasta dianggarkan meningkat pada 6.8 peratus dengan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 51 peratus pada tahun 2008.  Pada tahun 2009, penggunaan swasta diunjurkan mengalami pertumbuhan sebanyak 6.5 peratus.     

Belanjawan 2009 meneruskan defisit  yang berlaku  selama 12 tahun, iaitu sejak tahun 1998 – ketika negara mengalami krisis kewangan.  Pada tahun 2008, defisit  meningkat daripada 3.2 peratus kepada 4.8 peratus setelah mengambil kira hasil RM161.6 bilion, sedangkan perbelanjaan Kerajaan Persekutuan berjumlah RM196.9 bilion.  Dengan defisit bermakna dalam bahasa yang mudah, kerajaan berbelanja di luar kemampuan.   Bagi sesiapa yang ingin mengubah idea John Mynard Keynes, maka dengan memotong defisit, kerajaan dapat memulihkan keyakinan pemilik bank dan pelabur. 

Walau bagaimanapun, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, Menteri Kewangan Kedua menjelaskan bahawa defisit ini hanyalah “perkara sekala” (one-off thing) yang berpunca daripada kenaikan perbelanjaan kerajaan untuk menolong mengurangkan kesukaran rakyat akibat harga bahan api yang tinggi.  “Defisit pastinya dikurangkan kepada 3.6 peratus pada tahun depan kerana kerajaan dijangka memperoleh hasil yang meningkat berdasarkan cukai yang tinggi  yang disumbangkan oleh Petronas pada tahun depan.”

Seperti yang dikatakan oleh Joseph Stiglitz dalam Roaring in Nineties, mengurangkan defisit perkara yang mudah:  potong perbelanjaan dan naikkan cukai.  Tetapi, kedua-duanya tidak  dapat diterima dari segi politik.  Perbelanjaan defisit yang disasarkan secara berhati-hati, tambah beliau, “dapat merangsangkan ekonomi dalam jangka pendek dan memperkukuh pertumbuhan dalam jangka panjang.” 

Ahli ekonomi yang terkenal, iaitu John Maynard Keynes pernah mengemukakan idea bahawa dalam tempoh kemelesetan, kerajaan sepatutnya meningkatkan perbelanjaan, memotong cukai, atau melakukan kedua-duanya untuk merangsangkan ekonomi.  Beliau menegaskan bahawa kerajaan sepatutnya menggunakan dasar fiskal, iaitu cukai dan program perbelanjaan untuk menstabilkan ekonomi.  “Walaupun langkah ini akan menyebabkan belanjawan kerajaan mengalami defisit,”  namun tegas Keynes, “tindakan ini boleh mendorong  meningkatkan tahap pelaburan dan perbelanjaan bukan kerajaan dan   mendorong guna tenaga penuh.” 

Keynes mengatakan bahawa jika perniagaan tidak berupaya mengembang, maka kerajaan mesti berusaha mengembangkannya. “Sementara pelaburan ialah unsur yang sentiasa berubah-ubah, penggunaan menyediakan tapak yang luas untuk kegiatan ekonomi.  Maka, projek kerja raya secara langsung membantu mengekalkan kuasa beli, dan memainkan peranan utama untuk menggerakkan semula pengembangan perniagaan swasta.”

Selain potongan dan pengecualian cukai,  peruntukan pembangunan  RM53.7 bilion (25.8 peratus) daripada jumlah peruntukan RM207.9 bilion dalam Belanjawan 2009 dapat merangsangkan ekonomi, dan oleh itu,   mencegah ekonomi daripada mengalami kemerosotan.  Namun, jumlah peruntukan pembangunan ini adalah rendah jika dibandingkan peruntukan mengurus yang berjumlah  RM154.2 bilion (74.2 peratus). Malah,  peruntukan mengurus bagi emolumen yang berjumlah RM38 bilion adalah lebih tinggi daripada peruntukan pembangunan bagi pertanian, perindustrian, dan infrastruktur yang berjumlah RM27.8 bilion.  

Dengan peruntukan pembangunan sebanyak itu, dengan meminjam istilah Keynes, adakah “projek kerja raya”  mampu mengekalkan kuasa beli dan merangsangkan pengembangan sektor swasta?   Dengan mengambil kira faktor lain, seperti ketirisan, sistem penyampaian, ketidakkecekapan pengurusan kewangan agensi kerajaan,  seperti yang dinyatakan dalam Laporan Ketua Audit Negara setiap tahun, persengketaan politik, dan yang lebih penting, pembangunan tidak seimbang, khususnya  antara desa dengan bandar, kemungkinannya “projek kerja raya” ini tidak akan memberikan impak yang besar terhadap kuasa beli dan pengembangan sektor swasta.   

Walaupun harga minyak turun, namun kerisauan terhadap ekonomi global masih belum terhakis.  Kejatuhan harga minyak mentah kerana pertumbuhan permintaan global adalah lesu; sesuatu yang tidak menyenangkan bukan sahaja syarikat tenaga, tetapi sektor teknologi dan perindustrian.

            (Nota:  Makalah ini ditulis selepas pembentangan Belanjawan 2009    tidak pernah diterbitkan di mana-mana;   diterbitkan dalam blog ini dalam bentuk asal.)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...