JUMAAT, 11 Mac 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Menembak tokoh politik, menurut takrif adalah politik, tulis James Fallows sebaik-baik berlakunya tragedi Tucson, Arizona, pada awal Januari lalu. Kata-kata beliau itu dipetik secara meluas oleh para pengulas dan cerdik pandai yang menulis tragedi tersebut. Saya sendiri turut memetiknya dalam “Sebab Pulut Santan Binasa” yang diterbitkan dalam Dewan Bahasa bulan ini.
Barangkali kita boleh mengungkapkan semula kata-kata James Fallows itu untuk buku A Doctor in The House: The Memoirs of Tun Dr Mahathir Mohamad. Buku yang ditulis oleh tokoh politik adalah politik. Sejak pelancarannya beberapa hari lalu, buku ini membuka ruang perdebatan yang bersifat partisan antara penyokong Tun Dr. Mahathir dengan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim khususnya, dan antara penyokong UMNO dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Penulisan blog dan respons terhadap penulisan itu, catatan dalam facebook, dan liputan akhbar tentang memoir bekas Perdana Menteri itu, sarat dengan tuduhan dan penafian yang kadangkala menggunakan bahasa yang kesat. Jika seseorang ingin melihat bagaimana teruknya budaya kebencian akibat politik partisan menjalar dalam masyarakat kita, pro dan kontra terhadap buku itu menyatakan segala-galanya.
Saya yakin bahawa kebanyakan yang terlibat dalam “polemik” belum lagi membaca lagi A Doctor in The House. Kalaupun mereka membaca, pastinya pembacaan itu belum selesai kerana buku itu terlalu tebal – mustahil dapat dihabiskan dalam sekelip mata. Saya sendiri perlu mengakui bahasa saya belum memiliki buku itu, apatah lagi untuk membacanya; sekadar melihatnya semalam di Tesco Cheras. Saya juga perlu mengakui bahawa saya tidak akan membaca buku itu dalam masa terdekat kerana selain menunggu versi dalam bahasa Melayu, saya ingin menghabiskan empat lima buah buku yang saya beli tahun lalu dan awal tahun ini.
Sama ada kita menyetujuinya ataupun tidak, sama kita bersama-sama Tun Dr. Mahathir Mohamad ataupun tidak, kita wajar memberikan sekalung penghargaan kepada beliau kerana berusaha gigih selama lapan tahun untuk menghasilkan sebuah memoir. Sebagai orang pernah terlibat dalam dunia penerbitan, saya sentiasa menyanjung dan menghargai sesiapa sahaja yang menulis buku, meskipun saya mungkin tidak sealiran.
Negara kita tidak kurang dengan ahli politik, ahli perniagaan, ahli akademik, dan sebagainya,. Akan tetapi, apabila mereka “bersara” daripada bidang masing-masing, tidak ada sesuatu yang ditinggalkan yang dapat dimanfaatkan oleh kita semua: autobiografi atau memoir. Maksudnya, pendokumentasian sesuatu yang bernilai belum lagi menjadi budaya kita, sebaliknya budaya kita sarat dengan kebencian, kejumudan, dan ketaksuban.
Negara kita tidak kurang dengan ahli politik, ahli perniagaan, ahli akademik, dan sebagainya,. Akan tetapi, apabila mereka “bersara” daripada bidang masing-masing, tidak ada sesuatu yang ditinggalkan yang dapat dimanfaatkan oleh kita semua: autobiografi atau memoir. Maksudnya, pendokumentasian sesuatu yang bernilai belum lagi menjadi budaya kita, sebaliknya budaya kita sarat dengan kebencian, kejumudan, dan ketaksuban.
Berbalik kepada buku A Doctor in The House itu, saya berharap tidak ada sesiapa, terutamanya golongan yang memperjuangkan kebebasan bersuara yang akan mengadakan “upacara pembakaran” atau membawanya ke muka pengadilan. Perlu diingatkan semakin kontroversi dan semakin memuncak kemarahan, maka semakin laris buku itu.
No comments:
Post a Comment