Artikel Popular

Saturday, March 12, 2011

Krisis Makanan dan Terapi Kejutan

AHAD,  13 Mac 2011

Oleh:   ZULKIFLI SALLEH


Dunia kini menghadapi krisis.  Selain  kenaikan harga minyak yang berleluasa hingga mencecah AS$140 (RM461) setong dan akibatnya, mencetuskan protes  di serata tempat, krisis makanan turut melanda dunia. Seperti yang dilaporkan, harga barang makanan meningkat 41 peratus sejak Oktober 2007.  Harga gandum meningkat kepada 120 peratus dan beras kepada 75 peratus.   Krisis makanan ini berpunca daripada kenaikan harga minyak, pengeluaran pertanian yang rendah, kejutan cuaca, peningkatan  permintaan terhadap makanan, seperti daging, dan peralihan kepada tanaman biobahan api (biofuel).
Fred Magdoff melalui makalahnya dalam Monthly Review Mei lalu, menyebut bahawa harga 60 komoditi pertanian yang diniagakan dalam pasaran dunia meningkat sebanyak 37 peratus tahun lalu dan 14 peratus pada tahun 2006.  Harga jagung mulai meningkat awal musim luruh tahun 2006 dan dalam beberapa bulan meningkat kira-kira 70 peratus.  Pada masa yang sama, harga jagung dan kacang soya juga meningkat.  Harga minyak masak (terutamanya yang dihasilkan daripada kacang soya dan kelapa sawit) – barang makanan utama di kebanyakan negara miskin juga meningkat.  Harga beras meningkat lebih 100 peratus pada tahun lalu.
Alasan peningkatan harga makanan ini memang jelas, tegas Fred Magdoff dalam makalahnya “The World Food Crisis: Sources and Solutions”.  Pertama, secara langsung atau tidak langsung, berkait dengan peningkatan harga petroleum.  Di Amerika Syarikat, Eropah, dan banyak negara lagi, peningkatan harga petroleum  mendorong pengusahaan tanaman yang boleh digunakan sebagai bahan api dan bukannya untuk makanan. 
Kedua, peningkatan harga jagung dan kacang soya  dan minyak masak soya yang berpunca daripada peningkatan permintaan terhadap daging dalam kalangan kelas menengah di Amerika Latin dan Asia, khususnya China.  Bekalan daging meningkat daripada 71 juta tan pada tahun 1961 kepada 284 juta tan pada tahun pada tahun 2007.  Penggunaan per kapita meningkat dua kali ganda dalam tempoh tersebut. 
Ketiga,  apabila beberapa buah negara yang sebelum ini mempunyai bekalan makanan yang cukup, kini mula mengimport bahan keperluan itu:  “Apabila negara, seperti India mula  mengimport makanan, nescaya harga makanan dunia meningkat mendadak.” 
Alasan lain, tambah Magdoff lagi, adalah berkait dengan cuaca yang menyebabkan harga jagung dan beras meningkat baru-baru ini.  Spekulasi dalam pasaran hadapan dan sorokan di peringkat tempatan juga menyebabkan berlaku krisis makanan, iaitu menyebabkan harga makanan lebih mahal.
Peningkatan harga barang makanan ini mengheret sesetengah penduduk dunia daripada garis kemiskinan kepada keadaan kekurangan keperluan hidup, dan malahan kepada kebuluran.  Pertubuhan Makanan dan Pertanian Dunia (FAO)  mengenal pasti 36 buah negara yang berhadapan dengan krisis ini, 21 buah negara daripadanya adalah di Afrika.
Jacques Diouf, Ketua Pengarah  FAO mengumumkan pada 9 April 2008, “Harga makanan meningkat sebanyak 45 peratus sejak sembilan bulan lalu dan dunia menghadapi kekurangan beras, gandum, dan jagung dengan serius.  Sejak tahun 2005, harga makanan utama meningkat sebanyak 80 peratus – harga gandum dan beras mencecah paras tertinggi, masing-masingnya dalam tempoh 28 tahun dan 19 tahun.”  
Dilaporkan bahawa keluarga miskin membelanjakan 80 peratus pendapatan mereka untuk makanan.  Peningkatan harga makanan bukan sahaja menjejaskan dengan teruk golongan miskin di dunia yang terpaksa membelanjakan sejumlah besar pendapatan mereka untuk makanan, tetapi boleh mencetuskan pergolakan sosial, seperti yang berlaku  di Haiti, Mesir, Niger, Burkina Faso, Cameroon, Indonesia, Ivory Coast, Senegal, Mozambique, Bolivia, dan  Uzbekistan.
Baru-baru ini,   Robert Zoellick, Presiden Bank Dunia mengeluarkan amaran  “Sebanyak  33 buah negara menghadapi risiko pergolakan sosial akibat peningkatan kos makanan.  Bagi negara yang makanan merupakan separuh atau tiga suku penggunaan, tidak ada ruang untuk bertahan (no margin for survival)."
Perdana Menteri British, Gordon Brown mengingatkan bahawa krisis makanan yang semakin buruk telah mendesak kenaikan pada paras tertinggi sejak tahun 1945 mengancam kestabilan dunia.  “Kebuluran bukan sahaja merupakan cabaran moral  terhadap setiap warga dunia, bahkan juga mengancam kestabilan politik dan ekonomi  negara miskin di dunia. Akibat kebuluran, 25,000 orang setiap hari bertarung dengan maut.”
Untuk menangani krisis semasa ini dan mencegah kerosakan jangka panjang terhadap kemajuan pembangunan, masyarakat antarbangsa  mengambil beberapa pendekatan.  Mereka berusaha menyelesaikan masalah kenaikan harga makanan dan memperbaharui usaha global untuk memerangi kebuluran, kekurangan makanan, dan pembangunan pertanian.  Dalam jangka pendek, seperti yang dilaporkan, adalah dengan  mengambil tindakan segera untuk meningkatkan bantuan kecemasan kepada negara membangun yang mengimport makanan dan  menyediakan peruntukan AS$500 juta (RM1647 juta) melalui Program Makanan Dunia untuk memenuhi keperluan makanan dengan segera.
Apabila dunia menghadapi krisis makanan seperti ini, nescaya petua atau cadangan dikemukakan oleh organisasi, seperti Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Dunia, Organisasi Perdagangan Sedunia (WTO).  Tidak kurang pula cadangan atau “campur tangan” daripada pakar ekonomi yang kononnya berwibawa, seperti yang pernah dilakukan oleh Sekolah Chicago (Chicago School) atau Budak-budak Chicago (Chicago Boys) dengan fahaman neoliberal.  Lebih tiga dekad, Milton Friedman dan para pengikutnya  yang berpengaruh mengatur strategi yang cukup licik, iaitu menunggu krisis besar, kemudian menjual harta milik negara kepada pihak swasta, manakala warganegara masih kebingungan dengan kejutan itu, dengan pantas menjadi pembaharuan itu kekal.   
Peneraju utama Sekolah Chicago,    Milton Friedman, pemenang Hadiah Nobel (ekonomi), menulis ungkapan yang sangat berpengaruh pada tahun 1982: “Hanya krisis,  benar atau ditanggapi, mencetuskan perubahan sebenar.  Apabila krisis berlaku, tindakan yang diambil bergantung pada idea yang terdapat  di sekelilingnya.  Saya percaya, fungsi asas kita: untuk memajukan alternatif kepada dasar yang sedia ada, untuk memastikan alternatif itu hidup dan boleh didapati sehingga yang mustahil dari segi politik menjadi tidak dapat dielakkan dari segi politik.”  Falsafah  Friedman ini dihuraikan sebagai idea  yang merupakan alternatif yang menunggu krisis untuk berfungsi sebagai mangkin perubahan.
Dalam buku terbarunya, The Shock Doctrine yang berkait dengan kebangkitan kapitalisme bencana, Naomi Klein menelusuri dan mendedahkan penglibatan   Milton Friedman bersama-sama Friedrich Hayek dan Sekolah Chicago dalam   dasar ekonomi beberapa buah negara selepas negara berkenaan dilanda krisis. Bermula dengan Chile sebaik-baik sahaja   Jeneral Augusto Pinochet  merampas kuasa pada tahun 1973,   terapi kejutan Sekolah Chicago merebak ke Brazil, Argentina, Uruguay, China, Rusia, dan Afrika Selatan.
Jenis krisis yang tertanam dalam minda Friedman, tulis Naomi, “Bukannya ketenteraan, tetapi ekonomi.  Jika krisis ekonomi berlaku dan meninggalkan kesan yang teruk, seperti mata wang yang merundum, pasaran yang runtuh, kemelesetan besar, dan para pemimpin bebas melakukan apa-apa sahaja yang perlu (atau dikatakan perlu) dengan alasan tindak balas terhadap darurat nasional.”   
Semakin mendalam Naomi mengkaji sejarah bagaimana model pasaran itu membanjiri dunia, beliau mendapati bahawa idea mengeksploitasikan krisis dan bencana menjadi  modus operandi gerakan Milton Friedman sejak awal lagi – bentuk fundamentalis kapitalisme ini sentiasa memerlukan bencana untuk maju. Berdasarkan apa yang berlaku di Iraq selepas pencerobohan oleh Amerika Syarikat, Sri Lanka selepas dilanda tsunami, dan New Orleans selepas dilanda Taufan Katrina, Naomi merumuskan bahawa “pasaran bebas bergantung pada kuasa kejutan sejak 40 tahun dahulu.” 
Krisis makanan yang melanda dunia tidak menolak kemungkinan Budak-budak Chicago ini mengemukakan gagasan mereka yang kononnya bertujuan “menyelamatkan” penduduk dunia.  Mereka akan mencadangkan para pemimpin negara yang berkenaan tentang pasaran bebas dalam pengeluaran pertanian dalam bentuk perdagangan bebas, pengeluaran untuk eksport, pemotongan perbelanjaan sosial (subsidi), pengurangan campur tangan kerajaan,  pembatalan kawal selia (deregulation), dan penswastaan.  Dengan kata lain, dalam menangani krisis ini, bagi mereka, biarkan modal dan keuntungan mengatasi segala-galanya. 
Milton Friedman telah meninggal dunia pada November 2006, dan kematiannya itu menimbulkan ketakutan tentang berakhirnya sebuah era.   Namun, tatkala dunia menghadapi krisis makanan, “laungan singa garang pasaran bebas” masih boleh kedengaran.  Tangan kotor Budak-budak Chicago ini bersedia melancarkan doktrin kejutan mereka.
            (Nota:  Tulisan asal  makalah yang pernah diterbitkan dalam Dewan Masyarakat Ogos 2008 dengan judul “Taktik Kotor ‘Budak Chicago’.”)


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...