Artikel Popular

Tuesday, March 8, 2011

Budaya Kejahilan

 

RABU,  9  Mac  2011

Oleh:   ZULKIFLI  SALLEH

Dalam “Demokrasi   Satu  Cara Pemerintahan yang Paling Buruk” saya meragui keupayaan Amerika menyebarluaskan demokrasi ke dunia Arab kerana amalan demokrasi  di Amerika Syarikat memperlihatkan bermacam-macam kecacatan.  Dalam makalah  yang diterbitkan dalam Dewan Masyarakat bulan ini, “Keterhakisan Negara Sekular”  saya membahaskan bahawa di negara itu, pemisahan antara gereja dengan negara semakin kabur, bahkan sesetengah ahli politik, terutamanya daripada Republikan menafikannya. Amerika  terus-menerus diisytiharkan  sebagai   “negara Kristian.”  Dalam makalah itu saya juga menyatakan bahawa pada era Pentadbiran  George W. Bush, golongan penguasa Kristian (Christian dominionalists)  percaya bahawa jenis orang Kristian mereka sahaja sepatutnya mempunyai hak politik sepenuhnya.
Lebih tiga tahun lalu, The Economist menerbitkan makalah “Can a Mormon be President?” yang ditujukan kepada salah seorang bakal calon daripada Republikan untuk Pilihan Raya  Presiden 2012,  iaitu Mitt Romney. Oleh sebab  banyak rakyat Amerika menganggap Mormonisme dengan rasa ragu-ragu, maka agama Romney selalu dianggap sebagai liabiliti politik. 
Jika diperhatikan  bukan sahaja agama banyak mencorakkan politik Amerika, tetapi juga perkara yang agak remeh-temeh turut memainkan peranan dalam politik.  Beberapa minggu lalu menyaksikan politik negara itu cukup membangkitkan rasa terganggu angkara kejahilan bekas Gabenor Arkansas dan seorang lagi bakal calon Pilihan Raya Presiden daripada Republikan.  Mike Huckabee cuba menyakinkan para penyokongnya bahawa Presiden Barack Obama “bukannya orang Amerika.”  Beliau juga mendakwa bahawa pandangan dunia Obama dibentuk oleh zaman kanak-kanaknya di Kenya atau mungkin Indonesia, dan oleh gerakan radikal pemberontakan Mau-Mau Kenya.  Bapa dan datuk beliau membentuk idea “asing” beliau tentang bagaimana dunia berfungsi.
Terganggu dengan dakwaan yang tidak berasas itu, Paul Stoller muncul dengan makalah  Politics in a Culture of Ignorance” menegaskan bahawa Presiden Obama kali pertama melawat Kenya ketika beliau berusia 26 tahun.  Huckabee juga gagal menyatakan “kebenaran yang tidak selesa” bahawa Presiden Obama dibesarkan oleh ibunya dan datuk  serta  nenek di sebelah ibunya yang membesar di Kansas atau datuk di sebelah ibu Presiden Obama berjuang bersama-sama Patton di Eropah ketika Perang Dunia Kedua.
Melihat pembohongan demi pembohongan yang dilakukan oleh Republikan, Stoller mempersoalkan mana-mana individu yang kelihatan cerdik boleh menelan bulat-bulat semua pembohongan itu.  Beliau juga menyedari wujudnya budaya kejahilan dalam politik Amerika  yang sebahagiannya berpunca sistem pendidikan di negara itu, iaitu pelajar kolej yang jahil tentang budaya, geografi, sejarah, dan politik negara mereka dan negara asing.  Lebih membangkitkan rasa terganggu, tegas beliau, “kurangnya sikap ingin tahu pelajar tentang dunia yang kelihatan lebih kompleks menerusi globalisasi.  Banyak pelajar tidak berminat belajar tentang masyarakat luar.”
Tindak-tanduk Huckabee itu, menurut pemerhatian Leslie Savan, “pembohongan tidak akan mati.”  Untuk menjadi Republikan yang boleh dipilih hari ini, bahas Savan, “anda tidak perlu menjadi rasis, anda hanya perlu meyakinkan rasis bahawa anda tidak membuatkan mereka berasa tidak selesa.  Anda perlu melutut, bercakap secara kabur, dan berharap para pengundi bebas melupakan semuanya itu ketika pilihan raya umum.”

Sememangnya, tidak sukar untuk melihat politik dalam budaya kejahilan kerana fenomena tersebut wujud di mana-mana.  Sebelum ini, Canselor  Angela Merkel mengisytiharkan fahaman pelbagai budaya gagal di Jerman; kemudian disambut oleh  Perdana Menteri Britain, David Cameron  dengan nada yang lebih keras  mengisytiharkan “perang  terhadap fahaman pelbagai budaya.” 
Baru-baru ini, Menteri  Dalam Negeri  yang baru dilantik, Hans-Peter Friedrich menegaskan bahawa Islam “tidak ada tempatnya di Jerman.”  Bagi beliau, untuk mengatakan Islam ada tempatnya di Jerman adalah tidak disokong oleh sejarah.  Beliau juga menegaskan bahawa kaum pendatang atau imigran sepatutnya sedar bahawa negara tempat mereka menumpang ialah “asal-usul Kristian Barat” dan belajar bahasa Jerman “pertama dan paling penting.”
Sesungguhnya, budaya kejahilan telah berakar umbi dalam banyak masyarakat.  Selain ahli politik yang  tidak memberikan bimbingan yang baik kepada masyarakat mereka, golongan intelektual juga turut memainkan peranan dalam menyemai dan menyuburkan kejahilan.  Kira-kira sebulan selepas Peristiwa 11 September, Edward Said menulis “The Clash of Ignorance”   dalam The Nation.  Beliau mengkritik “fasa baru” dalam politik dunia selepas berakhirnya Perang Dingin yang diperkenalkan oleh Samuel Huntington, “pengakhiran sejarah” Francis Fukuyama,  dan pemikiran  Orientalis Bernard Lewis,  yang cuba memisahkan dan melaga-lagakan Barat dengan Islam. 
Seseorang itu dapat menjangkakan bahaya atau ancaman yang mendepani warga dunia sekiranya kejahilan mencorakkan minda dan pemikiran mereka.  Sukar dibayangkan bahawa rakyat di negara yang termaju di dunia yang banyak mengajar negara lain tunduk supaya  pada telunuk  mereka, kini memiliki minda negara Dunia Ketiga.  

Namun, jangan terperanjat jika kita juga terjebak dalam budaya kejahilan sekiranya kita membiarkan diri kita terus-menerus diperbodohkan oleh sesiapa sahaja yang kita percayai.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...