Artikel Popular

Tuesday, March 1, 2011

Amerika Latin Kukuh

SELASA, 1 Mac 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Dalam  Dewan Ekonomi keluaran November 2010, saya menulis makalah, “Amerika Latin Bingkas” bahawa di benua kecil inilah kuasa sayap kiri dan progresif mula-mula muncul selepas memulihkan kekuatan selepas runtuhnya sosialisme Eropah Timur dan Kesatuan Soviet.  Selepas dua dekad sengsara, maka lahirlah harapan baru.  Harapan ini muncul untuk membentuk perjuangan menentang dasar neoliberal. 
Dalam makalah itu juga saya menulis bahawa tatkala banyak negara bergelut dengan kemelesetan yang teruk, Amerika Latin seakan-akan “tidur lena,” padahal rantau itu sentiasa dilanda krisis, baik ekonomi mahupun politik.  Ketika Amerika Syarikat dan Eropah berasa bimbang terhadap defisit  yang sungguh besar dan ancaman terhadap pemulihan yang lemah, Amerika Latin mempunyai sesuatu yang memeranjatkan.  Rantau itu, seperti yang diketahui umum, diwarnai pada masa lalu oleh kemungkiran hutang, penurunan nilai mata wang, dan perlunya pelan penyalamat dari negara maju, kini mengalami pertumbuhan ekonomi yang kukuh yang dicemburui oleh negara jirannya di utara. 
Pada tahun lalu, diunjurkan bahawa semua negara Amerika Latin mencatatkan pertumbuhan, kecuali Venezuela yang masih dalam kemelesetan.  Brazil, Peru, Uruguay, dan Paraguay dijangkakan mencatatkan pertumbuhan yang memberangsangkan. 
Amerika Latin menikmati dinamisme ekonomi yang sangat hebat dan peningkatan taraf hidup dalam beberapa tahun kebelakangan ini.  Tulis Dominique Strauss-Kahn, Pengarah Urusan, Tabung Kewangan Antarabangsa yang diterbitkan  dalam  The Huffington Post.  Meskipun beliau mengakui Amerika Latin menghadapi cabaran baru, iaitu bagaimana yang terbaik sekali untuk mengekalkan kemajuan ini, beliau mengakui ekonomi rantau itu tumbuh dengan pesat, dibangkitkan oleh akses yang baik terhadap pembiayaan luaran dan harga komoditi yang tinggi.
“Segar-bugar daripada pengalaman krisis,” tulis Strauss-Kahn, “Amerika Latin jauh baik daripada kebanyakan rantau lain, menunjukkan faedah membina penimbal dasar dan mengurangkan keadaan mudahnya  terdedah pada masa makmur.”  Tambah beliau, “sepanjang dekad lalu, negara-negara di seluruh rantau itu memperkukuh rangka dasar mereka, mengurangkan hutang awam, meningkatkan penimbal rizab asing, membenarkan kebolehubahan kadar pertukaran yang besar, dan meningkatkan pengawasan dan kawal selia kewangan.  Semua ini memainkan peranan dalam kejayaan rantau itu.”
Strauss-Kahn juga mengakui bahawa  Amerika Latin mengalami transformasi yang dramatik sepanjang dekad lalu, mengeluarkan berjuta-juta orang daripada kancah kemiskinan.  Namun, beliau mengingatkan bahawa hari ini, cabaran terhadap rantau itu itu adalah untuk “menaiki” tahap seterusnya transformasi, iaitu pembaharuan adalah diperlukan untuk mengekalkan pertumbuhan yang kukuh untuk generasi yang akan datang, dan membolehkan faedah pertumbuhan dinikmati setiap lapisan masyarakat.
Saya akhiri makalah saya yang dipetik di atas  dengan mengatakan penolakan terhadap terapi kejutan neoliberal, Amerika Latin, secara beransur-ansur berjaya mewujudkan ekonomi yang mapan yang dapat  menandingi rantau lain.  Rantau itu membawa kejutan yang bagi sesetengah orang di luar jangkaan sama sekali.
Rantau itu bukan hanya dikenali oleh kartel dadah, kenakalan Hugo Chavez, dan kehebatan bintang pop Colombia,  Shakira, tetapi juga kerana ekonominya yang mapan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...