SABTU, 5 Mac 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Kesedaran kelas datang ke Davos. Demikian tegas The Economist pada akhir Januari lalu, “kelas juga menjadi bahagian perbualan tahun ini, terutamanya di dunia perniagaan Inggeris-Saxon.” Semakin disedari bahawa kesengsaraan merupakan ketidakseimbangan yang menimpa masyarakat bawahan, diakui tidak akan berubah dalam masa terdekat. Forum Ekonomi Dunia yang berlangsung di Davos baru-baru ini mengakui jurang agihan pendapatan yang semakin meluas mengancam kestabilan sosial dan ekonomi. Diakui bahawa ketidaksetaraan ekonomi yang kian melebar adalah sebagai satu daripada dua risiko global yang utama pada dekad akan datang (bersama-sama dengan kegagalan tadbir urus global).
“What to Do (and Not Do) about Inequality” majalah tersebut juga memperlihatkan debat tentang ketidaksamaan adalah sesuatu yang lama. Akan tetapi, olak krisis kewangan yang secara meluas dipersalahkan terhadap kucing gemuk Wall Street yang dapat bangkit semula dengan pantas. Di peringkat global, jurang antara golongan kaya dengan miskin biasanya semakin sempit kerana negara miskin mengalami pertumbuhan yang pesat. Akan tetapi, jurang antara golongan kaya dengan miskin kian melebar di ekonomi sedang muncul (khususnya China dan India), di samping di banyak negara kaya (terutamanya Amerika dan Jerman).
Kini, kesedaran kelas kian mendapat perhatian: dari New York ke London, dari Berlin ke Beijing, dari Davos ke Kuala Lumpur. Baru-baru ini, Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui blognya, cuba menarik perhatian tentang ketidaksamaan agihan pendapatan di negara ini dengan merujuk nasib malang yang menimpa 34 peratus daripada empat juta pekerja di Malaysia yang berpendapatan kurang RM700 sebulan dan 40 peratus rakyat Malaysia yang menikmati pendapatan isi rumah kurang daripada RM1500 sebulan.
“Program ekonomi yang tidak seimbang menjadi punca rakyat muflis,” kata Anwar, yang dari satu segi boleh ditafsirkan bernada populis. Dari satu segi yang lain pula, beliau membangkitkan kesedaran kelas yang berpunca daripada pembangunan tidak seimbang. Berbicara tentang pembangunan tidak seimbang mengingatkan saya kepada kawan lama saya, antaranya Dr. Jomo K.S., Dr. Syed Husin Ali (kini senator), dan Allahyarham Dr. Ishak Shari. Juga mengingatkan saya kepada “geng empat” - intelektual Marxis, iaitu Samir Amin, Immanuel Wallerstein, mendiang Andre Gunder Frank, dan mendiang Giovanni Arrighi, yang antaranya membahaskan sistem-dunia moden, pengumpulan sedunia, pendekatan pergantungan, pinggir-pusat, skala dunia, dan pertukaran tidak seimbang.
Usaha Anwar untuk mengetengahkan ketidaksamaan pendapatan dan pembangunan tidak seimbang wajar dialu-alukan, meskipun beliau agak terlewat. Sesungguhnya, tidak banyak ahli politik di negara ini yang berani berbicara tentang “pengumpulan modal” atau memetik David Harvey “pengumpulan dan perampasan.” Hakikatnya, ahli politik, tidak kira apakah parti mereka, selalunya mereka ditundukkan oleh modal dengan sewenang-wenangnya. Atau dengan kata lain, mereka bersekongkol dengan modal.
Kita diberitahu oleh ahli ekonomi bahawa negara terjebak dalam “perangkap pendapatan sederhana.” Akan tetapi, tidak ada usaha yang konkrit untuk melaksanakan dasar upah minimum untuk semua sektor pekerjaan. Suara majikan lebih didengar daripada suara pekerja: kuasa politik dan penggubal dasar boleh ditundukkan dengan mudah. Satu contoh yang terbaharu ialah upah minimum pengawal keselamatan, yang memperlihatkan banyak dolak-dalik, meskipun akhirnya dilaksanakan.
Sesungguhnya, “rakyat muflis” hanya merupakan simpton dan bukannya masalah. Pokok pangkal masalah ialah pembangunan tidak seimbang (Anwar menyatakan “ekonomi tidak seimbang”). Hanya ahli politik yang mempunyai keazaman dan keberanian yang mampu merombak sistem yang membawa pelbagai keburukan dan kepincangan. Jika tidak, segala-galanya sekadar retorik politik yang cuba “menangguk di air keruh.”
Kesedaran kelas memerlukan perjuangan kelas! Inilah yang diperlukan untuk merapatkan jurang agihan pendapatan yang kian melebar. Justeru, berapa banyak ahli politik kita yang sanggup ke hadapan demi perjuangan ini? Untuk meningkatkan pendapatan “rakyat muflis” dan golongan berpendapatan rendah, bukan sekadar boleh dilakukan dengan “pembedahan kosmetik.” Sebaliknya, memerlukan perubahan besar-besaran sistem yang sedia ada, yang pastinya melibatkan persengketaan atau konflik dengan modal, baik modal tempatan mahupun modal asing. Sesuatu yang sangat digeruni oleh kebanyakan ahli politik!
Atau dalam bahasa yang lembut, ahli politik berani melakukan “pemusnahan kreatif” - meminjam istilah ahli ekonomi Joseph Schumpeter.
No comments:
Post a Comment