ISNIN, 14 Mac 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Dafna Linzer menulis dalam The Slate tentang pengalamannya untuk memohon kerakyatan Amerika Syarikat yang beliau rasakan beberapa soalan terlalu sukar untuk dijawab, meskipun beliau tinggal di negara itu selama 12 tahun. Antaranya, soalan 12, apakah kedaulatan undang-undang; soalan 16, siapakah yang menggubal undang-undang Persekutuan; soalan 36, yang meminta pemohon menyatakan dua orang anggota Kabinet Presiden Amerika. Selepas menjawab enam soalan berturut-turut, Linzer berpindah kepada bahagian bahasa. Penutur bahasa Inggeris tidak dikecualikan daripada bahagian ini dan beliau diminta membaca dengan kuat ayat yang berikut: “Columbus Day is in October.” Kemudian beliau diminta menulis ayat dalam bahasa Inggeris, iaitu ayat yang sama: “Columbus Day is in October.”
Tulis Dafna Linzer lagi, Perkhidmatan Kerakyatan dan Imigresen Amerika Syarikat (USCIS), jabatan di bawah Keselamatan Dalam Negeri, menghabiskan masa selama enam tahun berunding dengan sarjana, pendidik, dan sejarawan sebelum ujian sekarang diperkenalkan pada tahun 2008. Hasilnya, 100 soalan dan jawapan direka untuk menyediakan perlakuan yang mendalam tentang sejarah dan kerajaan Amerika Syarikat. Beliau juga memetik Christopher Bentley, jurucakap USCIS, yang berkata, “Matlamat ujian naturalisasi adalah memastikan warganegara baru Amerika menguasai pengetahuan asas tentang sejarah Amerika dan memiliki asas yang padu untuk terus memperluas kefahaman mereka kerana mereka mengambil kehidupan sebagai warganegara Amerika Syarikat.”
Pada Oktober lalu, The Christian Science Monitor, mengemukakan soalan yang provokatif tentang kerakyatan Amerika: “Could you pass a US citizenship test?” Untuk menjadi rakyat negara itu, kaum imigran mesti lulus Ujian Naturalisasi. Pemohon mesti memperoleh 60 peratus atau lebih tinggi untuk ujian itu. Menurut USCIS, 92 peratus pemohon lulus ujian berkenaan. “Cepat-cepat ambil pen dan kertas anda untuk memerhatikan jawapan anda. Anda mesti dapat 58 atau lebih jawapan yang betul untuk lulus.
Di mana-mana sahaja, diamalkan dasar menutup pintu kepada kaum imigran yang dianggarkan lebih 10 juta orang di seluruh dunia. Pada Ogos 2010, Presiden Nicolas Sarkozy mengarahkan pihak berkuasa Perancis bertindak merobohkan lebih 100 khemah dan mengusir lebih 1000 orang Gipsi yang juga dikenali sebagai Roma, kebanyakannya dihantar balik ke Romania. Meskipun tindakan itu menerima kutukan antarabangsa, khususnya dalam kalangan negara Kesatuan Eropah, namun kerajaan Perancis tetap tidak berganjak. Roma, seperti yang diketahui, terpaksa menghadapi diskriminasi yang berleluasa dari segi perumahan, pekerjaan, dan pendidikan di seluruh Eropah. Sebagai warganegara Kesatuan Eropah, mereka mempunyai hak untuk berjalan ke seluruh Perancis, tetapi mereka mesti mendapatkan dokumen untuk bekerja atau tinggi di sana dalam jangka panjang.
Tahun lalu juga menyaksikan sentimen antiimigran di seluruh Eropah, mencetuskan gelombang populis sayap Kanan dari pantai Mediterranean ke kawasan sejuk Scandinavia. Thilo Sarrazin yang menulis buku best seller, menyalahkan imigran Muslim kerana “merosakkan masyarakat,” manakala rakyat Sweden memilih parti antiimigran ke Parlimen untuk pertama kali.
Di Belanda, kerajaan minoriti sayap Kanan yang memerintah, berjanji mengekang penghijrahan, mengawal tutup kepala Islam, dan mengusir imigran yang mempunyai rekod jenayah. Kerajaan campuran itu demi kelangsungannya, bergantung pada sokongan parlimen Geert Wilders, batu api anti-Islam dan mungkin ahli politik anti-Islam yang paling agresif di Eropah.
Di Vienna, pemimpin Kanan jauh, Heinz-Christian Strache, yang berjaya melipatgandakan undinya kepada 27 peratus berikutan kempen xenophobia (gerun orang Asing) yang menonjolkan permainan computer percuma yang melibatkan tembakan terhadap masjid, dan menyebut kota raya itu blood to remain Viennese.
Sentimen antiimigran ini dikatakan berpunca daripada kemenangan puak Kanan jauh di seluruh Eropah yang menyaksikan parti Kiri-Tengah kehilangan sokongan. Kemenangan golongan ekstremis ini mengorbankan parti-parti demokratik sosial Sweden dan Austria dan parti Buruh Belanda, dengan Kanan jauh berjaya di bandar-bandar yang didiami oleh penduduk imigran yang banyak yang secara tradisional mengundi untuk parti sayap Kiri.
Dasar antiimigran yang mula bertapak di Eropah itu berterusan. Di Switzerland, tinjauan menunjukkan majoriti menyokong referendum yang mendesak pengusiran terus orang asing yang didapati bersalah melakukan jenayah kecil, dan bukannya untuk jenayah berat, seperti yang diamalkan selama ini. Sementara di Italy, yang Silvio Berlusconi membentuk kerajaan campuran dengan Kanan jauh, Nothern League, Menteri Dalam Negeri mengumumkan tindakan keras yang baru untuk mengusir warganegara Kesatuan Eropah yang tidak dapat membantu diri mereka sendiri.
Eropah yang dilanda krisis ekonomi dan kemelut hutang menjadikan kaum imigran untuk dipersalahkan, segala-galanya: kehilangan pekerjaan, peningkatan perbelanjaan kebajikan, perumahan sosial, dan kadar jenayah. “Xenofobia di mana-mana sahaja,” tulis Immanuel Wallerstein dalam komentarnya. Dalam keadaan kesukaran ekonomi yang amat besar, seperti yang dunia alami sekarang, tidak terperanjat bahawa xenofobia semakin memainkan peranan penting dalam kehidupan politik di negara seluruh dunia. “Kita lihat di Amerika Syarikat, yang gerakan Tea Party mahu “mengambil balik negara ini” dan “memulihkan Amerika dan ... maruahnya.” Kesediaan untuk mengambil sepenuhnya nilai egalitarian, tambah beliau, “termasuk hak semua jenis komuniti untuk mengamalkan autonomi mereka, dalam struktur politik nasional yang menempatkan toleran bersama autonomi berganda, merupakan kedudukan politik yang sukar untuk ditakrifkan dan untuk berkekalan.”
Baik kerana faktor ekonomi mahupun politik dan budaya, banyak negara mula menutup pintu terhadap kaum imigran. Mereka tidak lagi mengalu-alukan kehadiran kaum imigran, dan dasar ini memberikan pulangan politik dalam erti kata, mendapat sokongan penduduk majoriti. Pendirian mereka jelas: ini negara kami, anda boleh berambus. Jika keadaan ini berterusan, mungkin kita tidak lagi dapat melihat “perjalanan manusia.”
Baik kerana faktor ekonomi mahupun politik dan budaya, banyak negara mula menutup pintu terhadap kaum imigran. Mereka tidak lagi mengalu-alukan kehadiran kaum imigran, dan dasar ini memberikan pulangan politik dalam erti kata, mendapat sokongan penduduk majoriti. Pendirian mereka jelas: ini negara kami, anda boleh berambus. Jika keadaan ini berterusan, mungkin kita tidak lagi dapat melihat “perjalanan manusia.”
No comments:
Post a Comment