Artikel Popular

Tuesday, March 8, 2011

Keterhakisan Kesahan


SELASA, 8 Mac 2011
Oleh:  ZULKIFLI SALLEH

Majoriti pemandu yang terlibat dalam kemalangan jalan raya utama di negara ini, seperti yang dilaporkan oleh beberapa akhbar, didapati dikeluarkan dengan pelbagai saman dan mereka dianggap sebagai sebahagian daripada kira-kira 1.44 juta pesalah trafik  yang kerap. Selain itu,  turut dilaporkan bahawa meskipun diskaun 50 peratus ditawarkan terhadap denda kesalahan trafik dilanjutkan, tetapi hanya 700,000 orang atau empat peratus daripada 17.3 juta saman yang belum dijelaskan yang membayar saman mereka pada akhir tahun lalu.  Sebelum ini,  pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan bahawa negara kehilangan berbilion-bilion ringgit kerana rasuah.  Satu lagi contoh ialah apabila berlaku kemalangan jalan raya yang mengorbankan banyak nyawa, punca kemalangan dikenal pasti dengan segera, lazimnya pemanduan yang tidak cermat,  bas yang tidak diselenggara dengan betul,  dan “kecacatan”  jalan raya itu sendiri.
Daripada menteri kepada pegawai kanan kerajaan, kita selalu mendengar pengumuman demi pengumuman, penjelasan demi penjelasan.   Sarat dengan kata-kata, tetapi gersang dengan tindakan.  Maka, tidak memeranjatkan apabila menteri berkata, “Saya tidak akan  berkompromi,” dan  amaran Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim terhadap media alternatif baru-baru ini, "Kerajaan akan bertindak tegas,”    disambut dengan sendaan dan ejekan. Kata-kata  yang kelihatan gah-gah itu berubah menjadi kata-kata basi yang tidak disegani, jauh sekali untuk digeruni! 
Para menteri lebih berminat untuk mengelak daripada missing in action, tetapi pada pandangan rakyat, mereka sebenarnya  missing in inaction.  Ini kerana, seperti yang pernah dipesan oleh Niccolo Machiavelli, bahawa orang ramai “secara umum membuat penilaian lebih melalui mata mereka berbanding dengan melalui tangan mereka  kerana setiap orang dapat melihat, tetapi sebilangan kecil yang dapat merasa.”  Atau seperti yang pernah dipesan oleh Antonio Gramsci, “tindakan tanpa penjelmaan ialah tindakan in obscura.   Tindakan tanpa penjelmaan bukannya tindakan politik!  Pesanan yang cukup penting untuk mana-mana menteri supaya dirinya dan kementerian yang diterajuinya tidak  kelihatan keterhakisan  kesahan (legitimacy).  Juga untuk  para pemimpin politik supaya parti yang mereka terajui menerima nasib yang sama.
Keterhakisan kedaulatan dan negara bangsa akibat rempuhan globalisasi telah banyak dibincangkan.  Akan tetapi, kita juga sedang berhadapan dengan keterhakisan kesahan  yang tidak kurang seriusnya.  Berbicara tentang apa-apa sahaja keterhakisan, baik dari segi politik dan ekonomi, pentadbiran dan undang-undang,  mahupun agama dan budaya, kebanyakan orang cenderung mengaitkannya dengan Pilihan Raya Umum 2008 yang genap tiga tahun pada hari ini.  Sejak itu, pergelutan dan percakaran politik semakin serius dan terus berlarutan.
Namun, perlu diingatkan bahawa keterhakisan, antaranya kedudukan Raja-Raja Melayu, kebebasan badan kehakiman, dan kedaulatan bahasa Melayu telah lama berlaku.  Justeru, untuk menyalahkan kebangkitan pembangkang berikutan tsunami politik memang tidak tepat sama sekali: suatu penipuan sejarah. 
Kepada golongan yang gigih memperjuangkan kedudukan Raja-Raja Melayu sekarang, pada tahun 1993, di manakah anda?  Demikian juga terhadap pejuang kedaulatan bahasa Melayu, pada tahun 2002-2003, di manakah anda?  Pastinya, sebilangannya bersekongkol dengan usaha melucutkan kekebalan Raja-Raja Melayu dan menghakiskan kedaulatan bahasa Melayu.
Francis Fukuyama dalam buku kecilnya, State Building:  Governance and World Order in the Twenty-First Century, membahaskan pentingnya pengukuhan dan kesahan institusi dalam pembinaan bangsa (nation-building).   Sebenarnya, dalam konteks Malaysia, dapat diperhatikan bahawa keterhakisan kesahan institusi adalah sebahagian berpunca daripada individu yang menerajui institusi berkenaan yang sering menimbulkan tanda tanya dalam kalangan orang ramai dari segi kredibiliti  dan integriti.  Dengan kata lain, peneraju institusi itu sejak awal kehadirannya, “menggalas bagasi.”  Individu seperti ini akan sering dijadikan ejekan atau sendaan oleh orang ramai dan dipersoalkan oleh golongan berkepentingan, tetapi juga dijadikan “tebusan” oleh sesetengah ahli politik.
Jika kita perhatikan melalui kaca televisyen majlis penyampaian watikah atau  pelantikan untuk menganggotai jawatankuasa tertentu di jabatan atau agensi kerajaan, tentunya ada yang menggeleng-gelengkan kepala.  Mereka mungkin  tidak meragui  kemampuan individu berkenaan, tetapi dari segi kredibiliti dan integriti, kecomotannya kelihatan di sana sini.
Memang tidak dinafikan bahawa wujud usaha  luaran, seperti melalui politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menggugat wibawa dan menghakiskan kesahan institusi.  Namun, usaha  ini tidak mudah berhasil sekira-kiranya sesebuah institusi itu diterajui atau dianggotai oleh individu yang pada tanggapan umum bukan sebagai liabiliti.  
Apabila kredibiliti dan integriti tercalar, kesannya bukan hanya terhadap wibawa individu berkenaan, bahkan juga terhadap   kesahan institusi.  Orang ramai memandang rendah terhadap sesebuah institusi bukan kerana hanya  ketidakmampuannya  melaksanakan dasar nasional dengan cekap dan berkesan, tetapi juga kerana mereka hilang keyakinan terhadap individu penting yang menerajui institusi berkenaan.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...