Artikel Popular

Thursday, March 31, 2011

Sejarah Tidak Popular?

KHAMIS, 31  Mac 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Pengumuman  oleh   Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin  bahawa Sejarah akan dijadikan sebagai salah satu Mata Pelajaran wajib lulus untuk memperoleh Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai tahun 2013,  membangkitkan  berbagai-bagai komen dan polemik.  Saya pernah menyentuh perkara ini dalam forum hari Sabtu akhbar Utusan Malaysia beberapa bulan lalu.  Saya juga menyentuh secara tidak langsung dalam “Dua Budaya” yang diterbitkan dalam keluaran terbaharu Dewan Budaya, iaitu bulan April.
Tidak kurang kedengaran suara sumbang yang mempertikaikan keputusan itu dengan menggembar-gemburkan   berbagai-bagai alasan, antaranya mencari  kesilapan dalam kertas peperiksaan dan kekurangan dalam Sukatan Mata Pelajaran Sejarah.  Bahkan, keputusan yang dibuat sempena Perhimpunan Agung UMNO baru-baru ini diperbesar-besarkan kononnya tidak kena pada tempatnya.  Seperti yang pernah dibangkitkan  oleh seorang kolumnis dalam akhbar bahasa Inggeris, “bukan dalam acara kementerian atau sekurang-kurangnya dalam Konvensyen Barisan Nasional.” 
Untuk makluman kolumnis berkenaan dan mereka yang “sekapal”  dengannya, keputusan Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dibuat dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada bulan Mei 2002.  Tetapi,  tidak ada yang  kecoh dan melalak satu Malaya mempersoalkan  mengapa keputusan  dibuat di situ!
Dua hari lalu, sejarawan terkenal dari Harvard University, Niall Ferguson yang banyak menerbitkan buku dan kini kolumnis Newsweek, menulis “History Has Never Been So Unpopular.”   Meskipun Ofsted  (Office for Standards in Education, Children's Services and Skills)  menyatakan sejarah berjaya di sekolah-sekolah di  England, Niall Ferguson  tidak berpendapat sedemikian. Dalam tulisannya itu, beliau merujuk kepada laporan yang diterbitkan oleh Ofsted awal bulan ini yang menjalankan pemeriksaan antara tahun 2007 hingga 2008 yang melibatkan 83 buah sekolah rendah dan jumlah yang sama untuk sekolah menengah. Laporan itu menegaskan  bahawa wujud pencapaian positif bahawa:  “Banyak yang baik dan cemerlang dalam pengajaran sejarah.  Kebanyakan murid berasa seronok dengan pengajaran yang dirancangkan dengan baik yang memperluas pengetahuan mereka, mencabar pemikiran mereka, dan memperkaya pemahaman mereka.”
Di peringkat sekolah menengah pula, tambah laporan itu, “pengajaran yang berkesan oleh guru-guru yang sangat berkelayakan dan berkecekapan tinggi membolehkan majoriti pelajar membangunkan pengetahuan dan pemahaman mereka dengan mendalam.”  Ringkasnya, menurut laporan itu, sejarah “pada amnya mata pelajaran popular dan berjaya, yang banyak murid berasa seronok.”  Pencapaian di peringkat sekolah rendah adalah “tinggi dan terus-menerus meningkat.”
Namun begitu, Ferguson berhujah bahawa daripada perbincangan pada tahun lalu dengan beberapa orang lain tentang keperluan mendesak untuk melakukan pembaharuan, beliau tanpa ragu-ragu didorong oleh beberapa motif politik yang mencurigakan:  “Diperhatikan dengan teliti, laporan itu menunjukkan bahawa wujud asas yang kukuh untuk berasa bimbang.”  Selain tiadanya  pelajar untuk sejarah GCSE di lebih 100 buah sekolah menengah negeri, bahawa England satu-satu negara di Eropah yang sejarah tidak diwajibkan untuk pelajar yang berumur 14 tahun ke atas.  Lebih teruk, tegas beliau, banyak sekolah negeri kini menawarkan kursus tahap tiga utama tahun dua yang membenarkan sesetengah murid berhenti daripada mempelajari sejarah ketika berumur 13 tahun.
Yang lebih membangkitkan rasa terganggu, jelas Ferguson, ialah bukti kejahilan sejarah yang berleluasa dalam kalangan lepasan sekolah.  Kajian terbaharu tentang pembacaan sejarah dalam kalangan siswazah tahun pertama di universiti United Kingdom yang bereputasi tinggi, mendapati bahawa 66 peratus tidak mengetahui siapkah rajah pada masa Armada; 69 peratus tidak mengetahui tempat berlakunya Perang Boer; 84 peratus tidak mengetahui yang mengetuai angkatan tentera British di Waterloo (satu pertiga fikir ialah Nelson); dan 89 peratus tidak dapat menamai seorang pun Perdana Menteri British pada abad ke-19.
Ferguson yang meragui laporan Ofsted itu, menyatakan bahawa masalahnya pastinya bukan pengajaran yang lemah; sebaliknya perkara yang para guru dijangkakan untuk melakukannya, yang  merupakan hasil perseikatan tidak suci antara ahli politik yang berniat baik dengan ahli pendidikan, tidak melupakan lembaga peperiksaan yang lebih berkuasa.
“Ahli politik,” tulis Ferguson, “antara daripada Kenneth Baker yang bermegah-megah berharap bahawa kurikulum kebangsaan baru akan memaksa sekolah-sekolah mengajar jenis sejarah yang agak tradisional, kepada Gordon Brown yang memutuskan bahawa sekolah-sekolah sepatutnya didesak untuk mengajar sejarah British berbanding dengan sejarah Inggeris, dalam usaha menggalakkan rasa Britishness.”  Tambah Ferguson, “Daya usaha dari atas sedemikian menyediakan penyokong apa yang dikenali sejarah baru dengan peluang keemasan untuk membentuk semula pendidikan sejarah.  ‘Kemahiran’ sejarah, seperti analisis sumber, bahas mereka, sepatutnya diangkat mengatasi pengetahuan fakta semata-mata.”
Akibatnya, bahas beliau, ialah kurikulum kebangsaan direka untuk menyemai dalam kalangan murid-murid semua jenis “konsep penting,” seperti “pemahaman kronologi,” “kepelbagaian budaya, etnik, dan agama,” “perubahan dan kesinambungan,” “sebab akibat,” “sifnifikan,” dan “tafsiran.”  Bagi  beliau, sejarah secara tegas tidak disediakan “untuk semua” sekolah Inggeris.  Terlalu sedikit murid, terutamanya dalam sektor negeri, menghabiskan masa yang terlalu sedikit untuk berbuat demikian.  Dan apa yang mereka pelajari kekurangan semua kepaduan.
Berikutan tulisan Niall Ferguson itu, Nick Shepley muncul dengan “The Trouble with  Teaching History,” yang membahaskan bahawa murid-murid hanya belajar sejarah jika berhenti merendahkan kemanusiaan dan cuba menamatkan sikap acuh tak acuh yang sudah sebati dengan masa lalu mereka.  Shepley yang pada tahun 2005 menyedari sesuatu yang silap dari segi fundamental dalam pengajaran sejarah di sekolah-sekolah menengah British,  menegaskan kurang kena mengena dengan pengajaran yang lemah dan lebih merupakan akibat budaya pengajaran yang mata pelajaran kemanusiaan, dianggap kepentingan purata paling baik.  Jika kemanusiaan dipentingkan, mata pelajaran kini selalu dianggap kepentingan kedua kepada mata pelajara saintifik, dan kita memberitahu pelajar bahawa jika mereka menguasai sains, maka pekerjaan yang bagus dan masa depan yang berjaya akan menjadi milik mereka. Namun, beliau mengakui bahawa hanya masalah dengan cerita ini adalah bahawa tidak benar lagi; tidak ada lagi jaminan sedemikian untuk murid-murid daripada mana-mana disiplin.
Dalam amalan pengajaran saya sendiri, tulis beliau, satu idea yang menujukkan keputusan yang besar apabila dijadikan amalan ialah pertimbangan bahawa murid-murid mungkin terasing  dalam maksud kritis, daripada mata pelajaran itu.  “Murid-murid yang hanya perlu mendengar, menyalin, mengulangi, dan mengingati dengan cepat mendapati tugas tidak bermakna dan mata pelajaran itu tidak relevan dengan mereka, dan cepat terasing daripada sejarah yang merupakan hak kelahiran mereka.  Mempunyai  strategi untuk mengatasi masalah itu, Shepley pada tahun ini menggalakkan berbelas-belas atau lebih murid menulis sejarah mereka sendiri tentang Perang Dunia Kedua.  “Menggunakan penerbitan atas permintaan, pada akhir semesta  musim panas, mereka akan memiliki buku sendiri, hasil usaha mereka dalam bentuk fizikal dan dalam bentuk nyata.”
Sesuatu yang dapati dipelajari daripada  laporan Ofsted  dua tulisan itu ialah pentingnya mata pelajaran   Sejarah, dan sebagi mata pelajaran yang wajib lulus memang ada kewajarannya.  Hanya mereka yang buta sejarah yang menentangnya bermati-matian. Mereka berusaha mencari pelbagai alasan, termasuk   kelemahan, baik di peringkat kurikulum mahupun penulisan mata pelajaran.  Malangnya, orang yang mendakwa diri mereka ahli sejarah di negara ini juga  ternyata tebal dengan kejahilan.    

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...