RABU, 16 Mac 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
Perang DNA, isytiharkan blog propembangkang sebaik-baik sahaja Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan kempen untuk mendapatkan DNA Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Semantara itu, sejak Ahad lalu, akhbar arus perdana menyiarkan desakan demi desakan supaya Datuk Seri Anwar menyerahkan DNA beliau. Daripada tunjuk perasaan kepada tuntutan perseorangan.
Penyokong kedua-dua belah pihak begitu bersemangat dan teruja dengan riuh-rendah dan gegak-gempita membelah bumi. Pahlawan mereka seolah-olahnya bersiap sedia untuk bertarung dengan darah kepahlawanan yang membara dan bergelora. Seakan-akan mereka akan menyaksikan pertarungan maha hebat lagi dahsyat, seperti pertarungan antara Hector dengan Achiless yang pernah diriwayatkan oleh Homer dalam puisi karya agungnya , Iliad dan Odssey.
Kepada penyokong berkenaan, harap bertenang sekejap. Hentikan sorak-sorai yang bergelora dengan emosi. Perhatikan gelanggang yang masih kosong. Tidak perlulah anda semua membuang masa dan tenaga. Jangan biarkan gembar-gembur dan ilusi menguasai diri anda. Gelanggang pertarungan akan terus kosong selama-lamanya.
Hector dan Achiless tidak akan turun ke gelanggang, meskipun kedua-duanya sering memperlihatkan diri masing-masing bersiap sedia untuk mempertontonkan kepahlawanan mereka. Ini bukannya kali pertama kedua-dua pahlawan itu ingin dipertarungkan, tetapi tidak pernah menjadi kenyataan. Inilah hakikatnya yang perlu diakui.
Saya tidak dapat memberikan jawapannya mengapa Hector dan Achiless sentiasa mengelak, meskipun gelanggang terbentang luas. Mungkin, darah kepahlawanan tidak mengalir dalam diri mereka. Sekadar mungkin. Tidak cukup jantan - agak kasar. Memetik bekas ketua saya, Datuk A. Aziz Deraman yang menulis dalam Utusan Malaysia beberapa bulan lalu tentang Interlok, "pemimpin Melayu jangan terketar-ketar bibir." Selepas itu, kami berhubung melalui khidmat pesanan ringkas (sms) tentang tulisan tersebut, dan komen beliau tentang pemimpin Melayu lebih keras. Namun, itulah bahasa yang paling cocok untuk mereka.
Dalam arena politik tanah air, kita tidak mempunyai Hector dan Achiless, atau kita tidak mempunyai singa, tetapi yang banyaknya rubah. Pemimpin populis yang berkeliaran!
No comments:
Post a Comment