AHAD, 6 Mac 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
“Social Capital and the Middle East” yang ditulis oleh Andrew Sheng yang diterbitkan dalam StarBizWeek pada 5 Mac lalu, sesungguhnya menarik perhatian saya. Pertama, kerana tentang modal sosial, dan kedua, beliau melihat masalah di Timur Tengah sekarang menunjukkan benar-benar keruntuhan modal sosial.
Apabila Perdana Menteri Datuk Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak membentangkan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) bertemakan “Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial,” saya pernah berbincang tentang modal sosial dengan Senator Datuk Dr. Firdaus Haji Abdullah, bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka. Teras keempat daripada lima teras RMK-10: “Membangun dan mengekalkan modal insan bertaraf dunia.”
Saya memberitahu beliau bahawa kita ada modal fizikal (tanah, bangunan, dan jentera), kemudian kita beri tumpuan kepada modal insan (kemahiran dan ilmu pengetahuan yang dibawa ke mana-mana dalam minda kita).
Namun, sesuatu yang berkait dengan budaya, sewajarnya diberikan tumpuan dalam RMK-10, iaitu modal sosial yang menghasilkan kekayaan, dan oleh itu, nilai ekonomi untuk ekonomi negara.
Dalam makalahnya itu, Andrew Sheng memetik Robert Putnam, dalam Bowling Alone, yang mula-mula mengenal pasti kemerosotan modal sosial di Amerika Syarikat. Saya perlu mengakui bahawa saya tidak pernah membaca buku Robert Putnam itu, tetapi saya memperoleh pengetahuan tentang modal sosial daripada Francis Fukuyama, melalui bukunya, Trust: The Social Virtues and the Creation of Prosperity dan The Great Distruption: Human Nature and the Reconstitution of Social Order. Saya dapati dalam kedua-dua buku itu, Fukuyama juga memetik Robert Putnam.
Modal sosial, bahas Fukuyama, iaitu nilai-nilai atau norma-norma yang tidak formal yang dikongsi dalam anggota kumpulan yang membolehkan wujud kerjasama antara mereka. Norma-norma yang melahirkan modal sosial mesti secara substantif adalah termasuk sifat baik (virtues), seperti memberitahu kebenaran, memenuhi obligasi atau tanggungjawab, dan kesalingan (reciprocity).
Dengan mewujudkan modal sosial, kita berusaha untuk melahirkan sikap saling percaya mempercayai antara rakyat Malaysia bahawa mereka hidup di sebuah negara yang berdaulat – ada undang-undang dan Perlembagaan, dan bukannya hidup dalam sebuah hutan rimba, “siapa kuat dia menang.” Atau dalam bahasa yang agak lunak, “seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing” seperti yang berlaku sejak akhir-akhir ini yang cukup mencemaskan kita semua. Boleh dikatakan setiap kaum menuntut hak masing-masing dengan berlebih-lebihan sehingga kita terpaksa berhadapan dengan “permainan hasil tambah sifar.” Kemenangan kepada kami, kekalahan kepada kamu.
Kita berjaya membentuk modal fizikal dan kita pasti berjaya melahirkan modal insan. Tetapi, modal sosial belum dapat dipastikan. Setakat ini, tidak ada usaha yang konkrit untuk membentuk modal sosial.
Andrew Sheng pergi terlalu jauh, iaitu beliau melihat keruntuhan modal sosial di Timur Tengah dan bagaimana untuk membinanya semula. Sebaliknya, saya melihat kekurangan (mungkin keterhakisan) modal sosial di negara kita sendiri yang boleh dikatakan kurang diberikan perhatian oleh penggubal dasar dan cerdik pandai. Kekurangan atau keterhakisan ini boleh membantutkan keberkesanan pelaksanaan RMK-10 dan Model Baru Ekonomi (MEB).
No comments:
Post a Comment