SABTU, 5 Mac 2011
Oleh: ZULKIFLI SALLEH
“Stick with English” demikian pandangan yang dikemukakan oleh dua ahli akademik dari Institut Pengurusan Penyelidikan, UiTM, Shah Alam, yang diterbitkan dalam The Star 7 Mei 2010. Selepas membaca tulisan dua orang yang berkelulusan Ph.D itu saya menghubungi Armin Azhari Saleh, editor Pelita Bahasa, melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) untuk mengemukakan pandangan saya terhadap tulisan yang tidak menyenangkan itu. Namun, jawapannya, beliau sendiri akan memberikan respons dalam majalah itu.
Meskipun sudah lama berlalu, keinginan saya tidak pernah padam. Saya tidak terkilan apabila kedua-dua ahli akademik berkenaan mencadangkan supaya kerajaan mengekalkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Saya juga tidak terkilan apabila kedua-duanya menyanjung bahasa Inggeris setinggi langit yang menurut mereka bahasa yang digunakan dalam “hampir setiap kehidupan harian dan kehidupan akademik.”
Namun, saya tidak dapat berdiam diri apabila kedua-duanya menghina bahasa Melayu dengan mengatakan bahasa yang “digunakan apabila kita pergi ke pasar basah; itu pun menggunakan bahasa Melayu pasar dan dialek.”
Bagi saya dan mungkin kebanyakan orang, bahasa Melayu tidaklah “sebangsat “ itu. Perbahasan di Parlimen masih menggunakan bahasa Melayu. Dan, banyak ahli politik kita, tidak kira sama ada mereka Melayu ataupun bukan Melayu, sama ada dalam kerajaan ataupun pembangkang, mereka sangat fasih bahasa Melayu. Pembentangan belanjawan setiap tahun masih dalam bahasa yang dipandang hina oleh kedua-dua ahli akademik. Dan, banyak lagi contoh yang dapat dilihat dengan mata kepala sendiri!
Dalam dunia media di tanah air kita, bahasa Melayu tidak ketinggalan, daripada persuratkhabaran kepada permajalahan, daripada bercetak kepada elektronik. Penulisan blog juga banyak terdapat dalam bahasa Melayu.
Kedua-dua penulis ini tidak perlu pergi jauh untuk melihat semuanya itu, kerana di Shah Alam tersergam Kumpulan Karangkraf yang memberikan sumbangan yang besar terhadap dunia persuratkhabaran dan permajalahan dalam bahasa Melayu. Apakah kedua-dua penulis terlalu daif sehingga tidak mengetahui langsung apa-apa yang berlaku di hadapan mata mereka?
Demikian juga jika kita berjalan-jalan di bandar-bandar atau memandu di lebuh raya, pastinya kita akan terpandang papan iklan yang menggunakan bahasa Melayu yang indah dan segar. Malangnya, kedua-dua penulis itu “rabun mata” mungkin kerana asyik dan taksub melihat bahasa Inggeris.
Dalam ruangan pendapat itu, mereka juga menyentuh penggunaan bahasa Inggeris yang meluas dalam Astro seolah-olah memberikan gambaran tidak wujud bahasa Melayu dan bahasa-bahasa lain. Bagi saya, kewujudan Astro adalah memberikan pelbagai pilihan kepada penonton untuk memilih saluran kegemaran mereka, daripada berita kepada hiburan; daripada Hindi kepada Arab, daripada Mandarin dan Kantonis kepada Korea. Dan tidak ketinggalan saluran berbahasa Melayu yang disediakan oleh Astro, antaranya Awani yang banyak memberikan sumbangan kepada dunia penyiaran berbahasa Melayu.
Kedua-dua penulis berkenaan juga menyatakan risalah dan brosur semuanya ditulis dalam bahasa Inggeris. Patut ditambah bahawa iklan di tepi-tepi jalan, seperti iklan “rumah urut” dan “ubat kuat lelaki” pun dalam bahasa Inggeris!
Membaca tulisan mereka baris demi baris, perenggan demi perenggan, timbul persoalan: “Inikah taraf pemikiran ahli akademik di UiTM? Tulisan yang karut dan merampu! Seandainya bahasa Inggeris itu mempunyai lidah untuk berkata-kata, pastinya bahasa itu bertempik kemalu-maluan membaca tulisan yang tong sampah tidak sanggup telan!
Melihat tulisan berkenaan tentunya kedua-dua penulis ingin memberitahu bahawa mereka berpandangan dunia dan berjiwa global. Namun, ternyata bahawa mereka bagaikan hidup dalam gua atau dalam hutan belantara yang langsung tidak mengikuti perkembangan dunia. Atau selain dunia akademik tempat mereka bekerja, mereka hanya pergi ke pasar basah, lalu mereka berkata di sini sahajalah tempat bahasa Melayu. Jika demikianlah taraf pemikiran ahli akademik di Malaysia, sesungguhnya ini satu malapetaka terhadap dunia intelektual. Rupa-rupanya banyak juga “pak pandir” di menara gading.
Jika anda ingin menulis, buatlah "kerja rumah," dan bukannya menulis secara sembarangan.
Jika anda ingin menulis, buatlah "kerja rumah," dan bukannya menulis secara sembarangan.
Bahan ini akan menjadi rujukan saya, insya-Allah. Wassalam.
ReplyDelete