Artikel Popular

Saturday, March 26, 2011

Ahli Politik Pendusta

AHAD,  27 Mac 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH  
Sesungguhnya, Tengku Razaleigh Hamzah bukan sahaja betul, bahkan beliau  sanggup berterus terang dengan  berkata  bahawa pendustaan  politik kini berleluasa.  George Orwell  telah  lama  memerhatikan kejahatan dan kecelakaan yang dilakukan ahli politik, tetapi oleh sebab saya telah  memetiknya  dalam beberapa tulisan sebelum ini, termasuk dalam  penulisan majalah,  maka tidak perlu diulang  lagi. 
Apabila terbongkar pita  video seks yang didakwa melibatkan pemimpin  politik pembangkang, manakala yang mendedahkannya kebanyakan ahli politik (sekurang-kurangnya bekas ahli politik),  maka pendustaan    politik   dapat dihidu, meskipun siapakah yang sebenarnya berdusta masih samar-samar.  Jika seseorang itu menuduh seseorang yang lain melakukan sesuatu, katakan "main perempuan," sedangkan yang empunya diri menafikannya, pastinya salah seorang berdusta.     Setakat  ini,  kedua-dua pihak, melalui pertuduhan dan penafian,   bertungkus-lumus untuk mempengaruhi tanggapan orang ramai  dan mencorakkan  pendapat awam. Siapa memerangkap dan menjerat siapa?  Akan tetapi,  ingat akan  pesan orang tua, “pelanduk lupakan jerat.”
Penayangan pita video seperti itu, menurut pandangan umum,  adalah salah dari segi undang-undang, dan akhbar The Star hari Sabtu,  memetik beberapa pandangan peguam tentang kesalahan itu.  Namun,  pertarungan  bukan hanya  tentang kesalahan semata-mata, tetapi siapa yang akan “besar kemaluan” kelak.  (Jangan keliru, “kemaluan"  di sini bermaksud, perihal malu, sesuatu yang mendatangkan malu, rasa malu – Kamus Dewan Edisi Keempat.)  
Dalam  tulisan sebelum ini, saya mengatakan bahawa “kita sebagai anggota masyarakat  sentiasa mengabdikan dan memperhambakan diri kita terhadap pembohongan politik   dengan penuh setia.” Orang ramai sentiasa lapar dan berkeliaran untuk mendengar ahli politik  berdusta, dengan itu, mempersegar dan memperkasa pendustaan.  Daripada pertemuan atau perhimpunan parti kepada pilihan raya,  diwarnai  oleh  pendustaan.  Orang ramai juga mempunyai tolak ansur yang cukup tinggi terhadap pendustaan: mereka merelakan dan merestui ahli politik yang berdusta. Seperti lazim,  penawaran dan permintaan adalah kuncinya.  Ahli  politik semakin berani berdusta  kerana permintaan terhadap pendustaan bukan sekadar sentiasa wujud, bahkan semakin tinggi. 
Selagi orang ramai bertolak ansur dengan ahli politik yang berdusta kepada mereka, nescaya  mereka tidak mempunyai jangkaan yang tinggi agar ahli politik akan bercakap benar. Seperti Michael Josephson pernah jelaskan, “apabila ahli politik berdusta, orang ramai biasanya kurang tersinggung dari segi prinsip.  Itu tidak menjadikan pendustaan mereka boleh diterima; sebaliknya, sekadar menjelaskan mengapa wujud tolak ansur atau toleransi yang tinggi terhadap pendustaan itu.” Tambah beliau, “Justeru, saya fikir memang sangat kompleks kepada sama ada, bahkan jika kita benci pendustaan, kita masih boleh bertolak ansur.”  Jika orang ramai boleh menerima ahli politik berdusta, dan mereka melakukannya tanpa takut tuduh menuduh, mengapa mereka sepatutnya memberitahu kebenaran?
Seseorang (atau sekumpulan orang) itu hanya sanggup mengatakan seseorang ahli politik berdusta  selepas mereka tidak lagi “belayar sekapal,”  seperti antara  Tun Dr. Mahathir Mohamad dengan   Datuk Seri Anwar Ibrahim. Maka, bertalu-talu tuduhan “dusta,” keluar daripada mulut masing-masing yang kini terjebak dalam “perang saudara.”
Alasan ahli politik dusta  kerana orang awam mahu didustakan.  Alasan ahli politik dusta kerana orang awam tidak mahu mendengar kebenaran.  Orang ramai mahu mendengar apakah yang mereka mahu dengar.  Apabila dua calon bertanding, dan seorang memberitahu kebenaran, manakala seorang lagi berkata apakah yang orang awam mahu dengar, pastinya calon yang kedua akan mencapai kemenangan. Tulis Marc Perkel dalam   “Politics and Lies:  Why Politicians Lie.”    “Justeru, dan ada pengecualiannya, jika anda mahu menang pilihan raya, lebih baik anda mula berbohong kerana lawan yang  bercakap benar  tidak akan ada peluang.”
Perkel    menyentuh politik dan seks, “Sepanjang sejarah, raja dan manusia agung lain biasanya mempunyai banyak kekasih.  Wanita secara biologi tertarik pada lelaki yang berkuasa dan mempunyai wibawa.  Dan lelaki yang mempunyai kuasa dan wibawa mempunyai kesukaran menolak godaan banyaknya wanita jelita yang ingin mengadakan hubungan seks.”  Beliau  juga mengakui bahawa untuk dirinya “jika saya berhadapan dengan situasi yang seseorang tanya saya jika saya pernah mengadakan hubungan seks  dengan seseorang yang saya tidak bersedia untuk bercakap di hadapan orang ramai, saya akan bohong tentang perkara itu." Tambah beliau, “saya tidak akan memberitahu orang awam tentang kebenaran yang orang awam tidak mahu dengar.” 

Namun,  untuk skandal seks, bagi sesetengah ahli politik, kerjaya mereka tidak berakhir. Seperti yang diperkatakan oleh Laura Miller, bagi   mereka yang terus bertahan ialah mereka yang menguasai seni pengakuan awam. Misalnya, Presiden Bill Clinton  terlibat  dalam skandal seks dengan Monica Lewinsky; beliau menangani skandal ini sebagai kes buku teks dalam meredakan krisis, meskipun pada mulanya beliau bertindak balas dengan teruk,  sebenarnya semacam penafian, mengelak, dan menghalang.  Kejayaan Clinton ini  hasil daripada kejayaan pemimpin menunjukkan sikap rendah dirinya dan kesamaan dengan para pengundi dengan mengakui dan memohon maaf kerana kesalahan moralnya. 

Dari  parti koktel  Washington ke laluan jalan kaki di pekan kecil, perbualan politik selalunya bermula atau berakhir dengan pemerhatian yang reda bahawa ahli politik hanya kawanan pendusta.  Tulis satu makalah yang amat menarik, “Why Politicians Lie:  The Value of Instrument Lies to Modern Democracies”  yang jika diungkapkan semula untuk politik tanah air kita, “dari Putrajaya ke Kuala Lumpur ke seluruh pelosok  dan  ke segenap pedalaman, ahli politik, baik  parti pemerintah  mahupun  pembangkang, tidak  segan untuk berdusta."    Istilah pendusta  menjadikan ahli politik mengekot,  tambah makalah itu lagi.  Terdapat lima bentuk pendustaan yang penulisnya sebut kumpulan lima putar belit politik: ahli politik berdusta kepada para pengundi mereka, ahli politik berdusta kepada rakan-rakan sebaya mereka, ahli politik berdusta kepada diri mereka sendiri, para pengundi  berdusta kepada diri mereka sendiri tentang tali persaudaraan yang dikongsi mereka, dan para pengundi berdusta kepada diri mereka sendiri tentang tali persaudaraan dengan ahli politik.    
Makalah itu  memberikan petua  pendustaan,  “untuk berjaya, ahli politik mesti berdusta secara strategik.  Pendusta yang teliti dan bersifat  memilih berjaya dalam politik; pendusta yang  terlajak dan berulang-ulang kali tidak akan berjaya.”   Dengan memetik Niccolo Machiavelli kemahiran berdusta, “bermain sebagai rubah,” ironi utama pendustaan politik ialah ahli politik mesti berdusta, tetapi jangan sampai ditangkap.
Namun, makalah tersebut mengakui bahawa selalu kerap warganegara merintih kerana ahli politik hanya sekadar kawanan pendusta.  Secara umum, tanggapan warganegara ini memang betul.  Akan tetapi, para pengundi memilih mereka yang pendusta itu mewakili mereka, atau tidak semestinya para pengundi diperdaya, atau kerana calon yang lebih boleh dipercayai dan jujur tidak ada pada kertas undi.  “Budaya rakyat politik (political  folklore)  sentiasa membayangkan  jika dipermudahkan, kebenaran yang mendasari.  Dan kebenaran ialah bahawa politik merupakan perniagaan yang kotor dan banyak ahli politik ialah pendusta.
Pada awal Oktober lalu, Megan McArdle menulis dalam The Atlantic, “Why Do Politicians Lie?” pendustaan politik di Amerika Syarikat berikutan amalan sistem dua parti: Sistem dua parti berdusta kepada anda.  Mereka tidak boleh memberitahu anda kebenaran kerana mereka, kedua-dua belah pihak terperangkap dalam berdekad-dekad kepentingan istimewa.  Bagi Megan, untuk berbicara pendustaan politik memang sukar kerana  kurang mendapat sambutan, tetapi beliau tetapi nekad:  “Saya tidak akan memberitahu anda apakah yang anda mahu dengar.  Saya akan memberitahu apakah yang anda perlu dengar jika kita mahu menjadi pemimpin dunia, bukannya orang Roman baru.” 

Tambah beliau, “ahli politik berdusta kerana pendustaan berfungsi.  Ahli politik yang menang dalam selalunya mereka yang   yang boleh memberitahu dusta yang paling bagus.”  Dalam bahasa mudah, pendustaan boleh cari makan!
Meskipun sistem dua parti bergelumang dengan pendustaan, Megan tidak bersetuju dengan pandangan perlunya parti ketiga kerana  beliau meragui parti ketiga ini akan berjaya dengan memberitahu rakyat Amerika kebenaran.  Tegas beliau,  “para pengundi Amerika seolah-olah  rela diri mereka  didustakan.”

Pendustaan lawan kebenaran.  Agak keterlaluan jika dikatakan yang pasti menang ialah pendustaan.  Wujud  tanggapan umum bahawa dalam politik, sesiapa yang bercakap benar sukar mencapai kemenangan.  Mengapa George W. Bush menang dalam Pilihan Raya Presiden, seperti yang diperkatakan oleh Alan Wolfe, kerana beliau berdusta.  Justeru, setiap calon perlu bermain dengan pendustaan.   Dalam “The Lying Game,” bahas Wolfe, seperti George W. Bush, John McCain dan Sarah Palin perlu berdusta kerana jika mereka bercakap benar tentang dasar mereka, nescaya mereka akan kalah dalam Pilihan Raya Presiden 2008.  (Sebagai catatan:  Mereka kalah, meskipun mereka berdusta.)  John McCain dituduh pendusta paling besar dalam sejarah politik moden.

Wolfe cuba menjelaskan mengapa Parti Republikan terlalu banyak berdusta? Mengapa McCain mengikuti skrip Bush?  Mengapa sejak awal-awal lagi apabila beliau mahukan “pengingkar” di sisinya, McCain memilih pendusta yang cocok sebagai regunya? Republikan, bahas Wolfe, terlibat dalam apa yang sebut hanya “pendustaan struktur.” Hanya tentang setiap pendustaan signifikan yang diungkapkan oleh ahli politik Republikan adalah direka untuk menjadikan mereka dilihat kurang konservatif berbanding dengan realiti mereka.

Dipercayai bahawa ahli politik tidak selalu bercakap benar, bahkan mereka selalu tidak memberitahu seluruh kebenaran.  Untuk ahli politik  bercakap benar, memang sukar seakan-akan akan “keluar emas dari mulut”  mereka.  Lagipun, bercakap benar tiada pelanggan.  Selain itu, seperti yang ingin dibayangkan oleh Sholto Byrnes,  “Why Politicians Can't  Tell the Truth,” berdasarkan pengalaman ahli politik di Britain, iaitu Howard Flight yang terpaksa menamatkan kerjaya politik semata-mata kerana bercakap benar.  

Pendustaan politik  bersarang kebal, iaitu bukannya melibatkan ahli politik dan orang ramai semata-mata. Sebagaimana para pengundi, para pembaca akhbar (termasuk media lain) juga didapati bersubahat dalam keterhakisan wibawa politik. Jika banyak pihak  merestui atau bersikap bena tak bena,  jika ahli politik berkata sesuatu yang mencemarkan kredibiliti, maka tidak ada tekanan supaya mereka bersikap jujur. Selagi kelangsungan ahli politik diutamakan daripada yang lain, misalnya kelangsungan demokrasi dan negara, selagi itu kebenaran sukar berkembang mekar.  Dan selagi itu juga kancah moral terus tercemar serta pendustaan politik berleluasa, bahkan bermaharajalela. 

Kepada ahli politik, satu suntikan semangat  bahawa  mereka  jangan berasa  jemu dan penat menari di atas pendustaan kerana orang ramai  pastinya  terhibur dan teruja.   Juga jangan berasa malu untuk berdusta, kerana itulah yang ditagih oleh ramai. Permintaan dan penawaran terhadap pendustaan bertaut rapat, berdakap  mesra.  Tepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...