Artikel Popular

Saturday, March 12, 2011

Majlis Baca Yaasin untuk Selamatkan DBP?

Oleh DINSMAN

Bunyi macam tak serius, tapi serius. Cikgu Azmi Ab Hamid dan Khalid Salleh. Mereka nak ajak orang ramai berusaha untuk selamatkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), melalui beberapa cara. Antara langkah awal mereka ialah mengadakan majlis baca Yaasin, bersekali dengan majlis baca puisi.

Saya sudah ceritakan lebih kurang masalah yang sedang dihadapi oleh DBP dalam kolum ini beberapa keluaran lalu. Tapi maklumat terbaru daripada pihak dalaman DBP agak memeranjatkan. Kata mereka, syarikat yang buat penswastaan DBP sekarang dalam keadaan tenat. Dilanda masalah kewangan. DBP kena belanja ratusan juta untuk selamatkan syarikat itu.


Masya Allah! Sudah terbalik jadinya. Orang buat penswastaan untuk ringankan beban kewangan. Ini DBP buat penswastaan untuk menanggung hutang yang lebih banyak, dan bukan itu saja, malah dia pula yang kena tolong atasi masalah kewangan syarikat yang sepatutnya menolong dia. Huh huh hu!

Khabarnya Cikgu Azmi bersama jawatankuasa bertindaknya sedang mengatur rancangan untuk membantu menyelamatkan institusi bahasa-sastera-budaya yang semakin tidak dipedulikan oleh kerajaan Umno/BN dan juga oleh masyarakat Malaysia umumnya ini.

Sewaktu membincangkan hal ini suatu petang di Rumah Pena baru-baru ini, saya terfikirkan satu perkara. Teringat waktu saya bekerja di DBP pertengahan 70-an dulu, bersama penulis-penulis terkenal seperti Keris Mas, Usman Awang, Baha Zain, Abdullah Hussein, Noor Azam, Anwar Ridhwan, Kemala, Ajikik, Jaafa HS, Sulaiman Masri, Sutung Umar Rs…

Waktu itu DBP bukan sahaja memiliki sebilangan penulis terkenal sebagai kakitangannya, tetapi ia juga menjalin hubungan yang baik dan akrab dengan ramai penulis-penulis dan badan-badan penulis di seluruh negara. DBP dirasakan seperti menjadi hak penulis dan budayawan waktu itu.

Tetapi hari ini hubungan istimewa itu sudah tidak ada lagi. DBP pun sudah tidak seperti DBP dulu lagi. Sudah tergelincir daripada landasan asalnya.

Maka saya terfikir, barangkali itu adalah antara sebabnya DBP menjadi seperti nasibnya hari ini. Ia seperti tidak dipedulikan. Jadilah apa nak jadi pun padanya. Hubungan akrab dengan para penulis dan persatuan penulis itu sudah diputuskan. Tidak ada lagi saluran yang boleh menyampaikan suara penulis dan persatuan penulis kepada pihak DBP.

Akibatnya, masing-masing dengan hal masing-masing. Apa terjadi pada bahasa dan sastera Melayu, seperti tak ada siapa pun ambil peduli lagi. Gapena hanya asyik mencari kawan-kawan ‘Melayu’nya di serata pelusuk dunia. (Duit ada! Berjalanlah!) Apa tujuannya pun kita tak tahulah. Soal kedaulatan bahasa Melayu sudah tidak penting lagi. Persatuan-persatuan penulis di seluruh negara pun terikut-ikut dengan cara Gapena.

Itulah yang saya terfikir. Penulis-penulis yang ada hubungan dengan badan-badan penulis di seluruh negara itu. Apakah mereka tahu dan sedar apa sebenarnya sedang berlaku pada bahasa dan sastera Melayu yang menjadi mangsa kepada permainan nafsu materialistik beberapa orang pentadbir di DBP itu?

Barangkali idea Cikgu Azmi untuk menganjurkan bacaan Yaasin bagi tujuan berikhtiar menyelamatkan DBP itu, boleh memberi kesedaran kepada para penulis berkenaan di samping memberi kesedaran juga kepada orang ramai.

Tidak cukup dengan membaca Yaasin saja, Khalid Salleh mencadangkan supaya dibuat juga pembacaan puisi. Tarikhnya mereka tetapkan pada 15 Mac. Tak tahulah mengapa mereka pilih tarikh yang jatuh pada hari Selasa itu. (Kenapa tak hari Jumaat, atau Sabtu, atau Ahad?) Hari Selasa mungkin susah sikit orang nak datang.

Tentulah mereka ada sebab tertentu maka mereka memilih hari Selasa 15 Mac itu. Tak mengapalah. Demi menyelamatkan DBP, marilah kita hadir ramai-ramai pada majlis yang istimewa ini. Bukan sekadar nak selamatkan DBP sebenarnya, tapi kerana nak selamatkan bahasa, sastera dan budaya kita. Itulah yang utamanya.

Di manakah majlis ini akan diadakan? Kata mereka, di sekitar DBP. Ada yang kata di depan DBP. Ada yang kata di kawasan letak kereta di depan DBP. Kalau anda nak pasti lagi, tanyalah Khalid Salleh atau Kassim Muhamad atau Hasni Abas. Mereka mungkin tahu.

Tak kiralah hari Selasa itu hari kerja pun. Apa salahnya? Sesekali kita berkorban sikit, ambil cuti dan datang ramai-ramai ke DBP, tengok apa sebenarnya yang dikatakan DBP sedang sakit tenat dan perlu diselamatkan itu. Pedulikanlah Gapena yang tak mahu pedulikan apa pun terjadi pada institusi Melayu yang penting ini. Penulis-peneulis dan badan-badaan penulis dari seluruh negara patut datang sendiri, dan tengok induk kita yang sedang diperlakukan dengan tak sepertinya ini.

Baca Yaassin untuk selamatkan satu institusi. Bolehkah dibuat? Seorang kawan bertanya. Ya, bolehkah? Saya pun kurang pasti. Yang biasa kita buat ialah apabila orang sedang sakit tenat, atau apabila orang meninggal. Ini DBP bukannya orang, tapi sebuah institusi. Bolehkah?

Bagi mendapatkan jawapannya yang tepat eloklah kita bertanya pada orang yang faqih dan pakar dalam hal hukum-hukum agama. Tak mengapa. Sama-samalah kita cari jawapannya yang pasti itu. Kalau boleh, kita buat. Kalau tak boleh, kita tak buat. Tapi baca puisi tetap kita akan adakan. Itu tak ada masalah.

Saya terfikir – kalau ikut amalan di Kelantan di bawah pimpinan Tok Guru Nik Aziz, dalam hal ikhtiar untuk menyelamatkan sesuatu yang sedang bermasalah tenat seperti ini, mereka akan buat solat hajat beramai-ramai. Ya, kalau solat hajat boleh, baca Yaasin tentulah juga boleh, ‘kan?

Tetapi ini hukum agama tak bolehlah kita buat andaian atau kias begitu sahaja, tanpa mengetahui nas-nas hukumnya. Apa pun, kita akan rujuk kepada orang yang ‘alim. Jangan bimbang. Dan seperti saya kata tadi, apa-apa pun, baca puisi tetap akan diadakan. Khalid Salleh yang jadi tuan rumahnya.

Baca puisi untuk selamatkan Dewan Bahasa dan Pustaka. Baca puisi untuk selamatkan bahasa, sastera dan budaya Melayu. Wan Ahmad Ismail di Kuala Terengganu tentu suka dengan program ini! Harap-harap dia sihat dan dapat datang. (Allah kurniakan dia kesihatan!) Kalau Bicara Buku di Shah Alam baru-baru ini dan Himpunan Seniman di Kampung Bandar Dalam sebelum itu dia datang, yang ini tentulah dia datang.

Dan kawan-kawan lain juga, pimpinan badan-badan penulis di seluruh negara, kita jumpa di “Tahrir Square” depan DBP, Kuala Lumpur! Insya Allah!

(Penulis boleh dihubungi dengan emel dinsman_49@yahoo.com.my atau sms 013-6362408)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...