Artikel Popular

Friday, March 18, 2011

Masyarakat Saman Menyaman

SABTU,  19 Mac 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Judul ini saya ubah suai daripada “Saman Menyaman di Mahkamah” yang ditulis oleh sahabat saya, Allahyarham Rustam A.  Sani dalam bukunya, Menjelang Reformasi.  Beberapa tahun kebelakangan ini menyaksikan banyak saman menyaman yang melibatkan  orang kenamaan  dan  orang kebanyakan, penulis dan artis,  akhbar dan media alternatif.   Berdasarkan laporan akhbar semalam,   sekurang-kurangnya  tiga berita  saman menyaman: saman  Ummi Hafilda  terhadap Baginda Minda dan Mkini Dotcom, penolakan tuntutan Malaysiakini, dan penolakan saman Tian Chua.  
Untuk memahami  berleluasanya saman menyaman, Rustam  melakukan pemerhatian yang baik, meskipun dalam konteks Malaysia masa kini, beberapa pandangan beliau tidak boleh dipertahankan lagi  apabila beliau menulis pada peringkat pengenalan:    “Pada asasnya, masyarakat kita bukanlah masyarakat litigious, seperti  masyarakat Amerika, umpamanya. Yang dimaksudkan masyarakat litigious  ialah masyarakat yang para anggotanya memperlihatkan kecenderungan kuat untuk mengambil tindakan mengemukakan saman sebagai penyelesaian terhadap sebarang bentuk perbalahan dan salah faham di kalangan mereka.”  Sekali lagi beliau mengulangi pendiriannya, “masyarakat kita pada umumnya belum lagi mencapai tahap sebuah masyarakat litigious seperti itu.”   Rustam juga menganggarkan syarikat guaman menikmati pulangan yang lumayan kerana  jumlah ganti rugi yang dituntut sangat besar.
Wawasan beliau supaya tidak wujud masyarakat litigious wajar diperturunkan di sini:  “Dalam upaya kita mematangkan sistem demokrasi dalam proses sosial dan pemerintahan negara, pada hemat saya, keprihatinan terhadap undang-undang, iltizam terhadap pemerintahan hukum, tekad mempertahankan hak asasi individu tertentu wajarlah diperkembangkan di kalangan rakyat kita.  Namun, masyarakat yang menghormati pemerintahan hukum pada asasnya merupakan masyarakat yang bermoral, dan tidak semestinya masyarakat yang litigous sifatnya.”
Saya pernah beberapa kali membincangkan dengan kawan-kawan tentang saman menyaman yang berlaku.  Pertama, setiap orang  perlu bertanggungjawab terhadap apa-apa sahaja  penulisan, tutur kata, atau  tingkah lakunya.  Keterlanjuran atau keceluparannya boleh membawa padah.  “Mengenakan”  orang lain memang seronok sehingga kadang-kadang lupa bahawa individu berkenaan  akan bertindak balas. 
Kedua, pihak yang  menyaman atau dalam bahasa undang-undang disebut plaintif selalunya diyakinkan oleh peguam bahawa “ada kes” hingga  menyebabkan dia begitu yakin boleh menang. 
Ketiga, dia selalu mengabaikan atau memperlekehkan keupayaan  pihak lawan atau defendan mengupah peguam yang berwibawa. 
Keempat, yang sering dilupakan adalah dengan  saman, seseorang itu menyerahkan nasibnya kepada orang lain, iaitu kepada  hakim yang mendengar kes itu yang belum pasti memihak kepadanya.  Maka, jika  diperhatikan bahawa si plaintif selalu begitu teruja dan riang seolah-olah sudah menang,  padahal dia hanya baru memfailkan samannya.  Dengan kata lain, memfailkan saman seolah-olah satu kemenangan!
Melihat  banyaknya saman dan tuntutan ganti rugi yang mencecah puluhan juta, bahkan ratusan juta ringgit, saya sering tertanya-tanya apakah  yang sedang berlaku terhadap masyarakat kita.  Adakah ini merupakan pertembungan antara kebebasan dengan harga diri, antara keadilan dengan keangkuhan? Atau toleransi terhadap kritikan atau perbezaan pendapat semakin terhakis?   Atau  sekadar memuaskan dendam peribadi? 
Allahyarham Rustam juga membangkitkan kemusykilannya  kerana  berleluasanya saman yang melibatkan tuntutan ganti rugi berjuta-juta ringgit kes yang sebenarnya hanya melibatkan rencana pendek:  “Apakah terdapat tanda-tanda bahawa masyarakat kita juga sedang menuju terbentuknya sebuah masyarakat litigious yang tidak semestinya bermoral.”  
Malangnya, beliau tidak berkesempatan untuk  melihat bahawa persoalan beliau itu kini sudah terjawab, menjadi kenyataan, iaitu “masyarakat litigious yang tidak semestinya bermoral.”  Orang yang mempunyai  minda yang terbuka dan fikiran yang waras, pastinya bersetuju dengan pandangan  itu.  Inilah hakikat yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang yang kadang-kadang menggerunkan.  
Dalam erti kata lain, masyarakat yang sedang runtuh: terhakisnya kepercayaan dalam kalangan anggota masyarakat. Mungkin agak keterlaluan kenyataan ini bahawa    ahli politik  tidak memberikan pimpinan dan panduan yang baik terhadap masyarakat.  


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...