Artikel Popular

Tuesday, March 1, 2011

PPSMI dan Semangat Patriotik

SELASA, 1 Mac 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir  Mohamad terus mempertahankan dasar  yang beliau perkenalkan,  iaitu pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam  Bahasa Inggeris (PPSMI).  Seperti yang dilaporkan dalam akhbar The Star hari ini, beliau  berkata,  “Menguasai bahasa Inggeris tidak menjadikan seseorang itu kurang patriotik.  Ini realiti yang perlu kita hadapi jika kita mahu membina negara menjadi negara maju.”  
“Jika kita memutuskan untuk belajar Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, ini tidak bermakna kita kurang patriotik,” kata Dr. Mahathir dalam ucaptama dalam Forum Bioteknologi 2011.
Seperti yang kita ketahui, keputusan PPSMI dibuat semasa mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada tahun 2002, bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar.  Setelah tempoh pengajaran dan pembelajaran  Bahasa Inggeris selama 11 tahun (enam tahun sekolah rendah, lima tahun sekolah menengah),  berkesudahan dengan  kegagalan, maka melalui Sains dan Matematik dijadikan jalan penyelesaiannya. 
Sejak pelaksanaannya  mulai tahun 2003 dan hingga pengumuman pemansuhannya, PPSMI  mencetuskan polemik yang cukup mengelirukan.  Pada mulanya,  kita rakyat Malaysia diberitahu untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris, meskipun banyak pihak yang meraguinya kerana “lain sakit, lain ubatnya.”  Kemudian, kita juga diberitahu bahawa untuk meningkatkan penguasaan Sains dan Matematik dalam kalangan pelajar,  yang juga  diragui  kebenarannya.
Melihat alasan demi alasan yang dikemukakan, dan yang terbaharu oleh Tun Dr. Mahathir yang dipetik di atas,  PPSMI tidak ubah seperti kes senjata pemusnahan besar-besaran yang dijadikan alasan Pentadbiran George Bush untuk menyerang Iraq.  Apabila Saddam Hussein digulingkan, tetapi senjata pemusnahan besar-besaran itu tidak ditemui – ternyata Amerika berbohong kepada dunia. Kemudian, direka alasan bahawa untuk menegakkan demokrasi dan kebebasan di Iraq! 
Pendek kata, untuk mewajarkan pelaksanaan PPSMI, alasan demi alasan dikemukakan, walaupun  tidak masuk akal, dan terpesong daripada tujuan asal.  PPSMI digambarkan ubat  mujarab segala penyakit.  Menakjubkan!  Sungguh banyak “medan pertarungan” dibuka, dan hari ini ketidaklunturan semangat patriotik  demi mempertahankan PPSMI, yang semuanya tidak dapat dipertahankan. 
Cerita kegagalan pelaksanaan PPSMI  banyak kedengaran, terutamanya di peringkat bawah, iaitu daripada guru-guru.  Meskipun kedengaran juga kisah kejayaannya,  tetapi  “berbaloikah  dengan perbelanjaan yang cukup besar?”
Berhubung dengan  semangat patriotik – sebenarnya, dua tempat yang paling sesuai untuk menyemaikannya, iaitu di sekolah dan dalam angkatan tentera.  Untuk mempertahankan ancaman imperialisme baru, seperti yang pernah diperjuangkan oleh Dr. Mahathir, kita memerlukan benteng yang banyak, termasuk bahasa dan budaya.
Berhubung dengan penguasaan bahasa Inggeris, tidak siapa yang menentang, bahkan rakyat digalakkan menguasai bahasa ini dan bahasa lain, terutamanya Mandarin dan Arab.  Yang dipersoalkan hanya pendekatannya. 
Sebenarnya, tidak semua rakyat Malaysia mudah lupa,  lalu mereka boleh digembar-gemburkan dengan apa-apa sahaja alasan untuk mewajarkan pelaksanaan PPSMI. 





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...