Artikel Popular

Sunday, March 20, 2011

Peluang dan Pilihan

AHAD, 20 Mac 2011
Oleh:  ZULKIFLI  SALLEH

Seperti yang dibahaskan  oleh Bill McKibben kengerian yang dialami oleh Jepun mendedahkan bagaimana kecilnya pinggir yang kita  diami. Perubahan cuaca mungkin tidak bertanggungjawab terhadap tsunami, tetapi mengecutkan margin keselamatan kita.  Berhubung krisis nuklear di negara itu,  Michael Hirsh mendakwa Jepun yang terkenal dengan budaya kerahsiaan   hampir pasti tidak memberitahu kebenaran, yang semakin memalukan.  Dan meskipun adanya sumber luar yang memantau keadaan, kebenaran mungkin jauh lebih teruk daripada yang kita diberitahu, jika sejarah merupakan mana-mana ukuran.
Kerapnya berlaku bencana alam, yang terbaharu gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun lebih seminggu lalu,  disusuli dengan krisis nuklear, mendorong saya untuk merujuk   buku Jared Diamond, Collapse:  How Societies Choose to Fail or Survive (Allen Lane, London, 575 hlm., RM82.50), dan mengenal pasti  isi utamanya.   Mengapa sesetengah masyarakat, seperti yang dicatatkan pada   blurb, berkembang, manakala yang lain hancur?  Apa yang berlaku terhadap orang yang membina arca Pulau Easter yang terbiar, lama ditinggalkan atau arkitek piramid Maya yang rapuh?  Adakah kita akan mengalami nasib yang sama, pencakar langit kita satu hari nanti berdiri terbiar dan ditumbuhi semak seperti kuil Angkor Wat?
Jared Diamond menjelaskan deretan masyarakat yang gagal, dan mencuba mencari tema bersama dalam kalangan masyarakat yang gagal itu.  Daripada Pulau Easter dan koloni  orang Norway di Greenland kepada genosid terbaharu di Rwanda, daripada masyarakat yang kecil kepada yang lebih kompleks, daripada masyarakat purba kepada masyarakat moden, beliau cuba mengenal pasti unsur atau jalur  bersama.  Beliau cuba mengenal pasti dengan sumber yang sama-sama terbatas yang menyesuaikan diri mereka dengan persekitaran mereka dan berjaya, antaranya Iceland, Papua Guinea, dan Jepun.
Bermula dengan kisah dua buah  ladang, Diamond berusaha mendedahkan kejayaan dan kegagalan masyarakat yang berkenaan.  “Beberapa musim panas lalu,” tulis beliau, “saya melawat dua ladang tenusu, iaitu Ladang Huls dan Ladang Gardar yang meskipun terletak beribu-ribu batu antara satu sama lain, tetapi mempunyai kesaksamaan yang sangat jelas dari segi kekuatan dan mudahnya terdedah.”  Daripada lawatan ke kedua-dua ladang itu Diamond merumuskan bahawa bahkan masyarakat yang kaya, maju dari segi teknologi menghadapi masalah alam sekitar dan ekonomi yang menjadi-jadi yang tidak sepatutnya dipandang remeh. 
Beliau seterusnya menegaskan bahawa banyak masalah kita adalah terlalu serupa dengan yang melemahkan Gardar Farm dan  Greenland Norse, dan bahawa banyak masyarakat lain pada masa lalu juga terpaksa bergelut untuk menyelesaikannya.   Sesetengah masyarakat pada masa lalu gagal, seperti Greenland Norse, manakala yang lain berjaya, seperti Jepun dan Tikopia.
Mengakui bahawa masa lalu menawarkan pangkalan data yang kaya yang kita boleh pelajari untuk memastikan kita berjaya, tetapi Diamond mengingatkan bahawa keruntuhan kini kian menjadi keprihatinan; dan sesungguhnya melanda banyak negara Dunia Ketiga.  “Masalah alam sekitar yang mendepani kita, termasuk yang melemahkan masyarakat masa lalu, termasuk yang baru: perubahan cuaca angkara manusia, bertambahnya bahan kimia toksid dalam alam sekitar, kekurangan tenaga, dan utilisasi manusia sepenuhnya kapasiti fotosentetik Bumi.”  Masalah tersebut jika tidak diselesaikan bukan sahaja melemahkan negara, seperti Somalia, tetapi juga masyarakat Dunia Pertama.
Lima tema buku ini, iaitu faktor kerosakan alam sekitar, perubahan cuaca, jiran yang bermusuhan, rakan perniagaan yang berhemah, dan respons masyarakat terhadap masalah alam sekitar mereka.  Buku ini bermula dengan pengalaman Montana bagaimana banyak masalah alam sekitar yang diterjemahkan kepada masalah ekonomi.  “Montana,” tulis Diamond, “menyediakan kajian kes yang unggul  untuk memulakan buku ini tentang masalah alam sekitar masa lalu dan masa kini.”   Dengan memahami motif orang Montana, maka kita dengan baik dapat membayangkan motif masyarakat masa lalu,  antaranya Polynesia, Anasazi,  Maya, dan Greenland Norse.
Masalah alam sekitar Montana pada hari ini, seperti yang dinyatakan oleh Diamond, termasuk hampir berbelas-belas jenis masalah yang melemahkan masyarakat praperindustrian pada masa lalu, atau kini  mengancam  masyarakat di mana-mana sahaja di dunia ini: masalah buangan toksid, hutan, tanah, air (ada kalanya udara), perubahan cuaca, kehilangan biodiversiti, dan perosak yang diperkenalkan.
Selepas mengupas enam  masyarakat yang gagal  menyelesaikan masalah alam sekitar mereka, yang mereka cipta atau hadapi yang menyumbang kepada keruntuhan mereka akhirnya:  Pulau Easter, Pulau Pitcairn, Pulau Henderson, Anasazi, Maya Tanah Pamah Klasik, dan Greenland Norse, Diamond muncul dalam Bab 9:  “Opposite Paths to Success.”  Beliau mengakui bahawa tidak semua masyarakat  masa lalu menjadi  bencana alam, seperti orang Iceland yang hidup dalam alam sekitar yang sukar lebih 1100 tahun.  Kisah kejayaan mereka, tulis  Diamond, juga memberikan pengajaran kepada kita, di samping memberikan harapan dan inspirasi.  Wujud dua jenis pendekatan yang berbeza untuk menyelesaikan masalah alam sekitar yang diistilahkan sebagai pendekatan bawah ke atas dan atas ke bawah.
Antara yang berjaya ialah masyarakat tanah tinggi New Guinea,  Pulau Tikopia, dan Jepun.  Sejarah panjang Jepun tentang pengurusan hutan saintifik kurang diketahui oleh orang Eropah dan Amerika.  “Dasar hutan Jepun diperkenalkan sebagai respons terhadap krisis alam sekitar dan penduduk yang secara paradoks dibawa oleh keamanan dan kemakmuran yang memungkinkan penduduk dan ekonomi Jepun meletup.”  Akan tetapi,  negara yang dikatakan berjaya menyelesaikan alam sekitar sejak zaman Tokugawa lagi, kini ditimpa bencana yang teruk, bahkan lebih teruk daripada bencana Perang Dunia Kedua.
Masyarakat menemui kegagalan, menurut Diamond adalah kerana mereka  tidak mempunyai pengalaman sebelum ini.  Namun, tidak ada jaminan bahawa mereka dapat mengelakkan daripada bencana, walaupun mereka mempunyai pengalaman sebelum ini jika pengalaman itu telah lama berlalu.  Misalnya, semasa kemarau yang panjang, orang ramai selalu beringat untuk menjimatkan air, tetapi apabila kemarau berakhir dan air mudah diperoleh, mereka  mula  membazikan sumber itu.  Alasan lain mengapa orang gagal menjangkakan masalah adalah  melibatkan taakulan oleh analogi palsu.
Buku ini telah diulas secara meluas, antara oleh ahli antropologi yang terkenal, yang tidak asing  di Indonesia dan Malaysia, iaitu Clifford Geertz dalam The New York Review of Books kira-kira enam tahun lalu.  Geertz memulakan ulasan dengan membangkitkan “tragedi tsunami yang melanda bahagian selatan Asia yang mungkin suku juta orang daripada semua peringkat umur dan keadaan menjadi mangsa bencana alam yang maha dahsyat yang mungkin pada detik ini, mungkin pada detik ini – menghantui kita.”  Untuk realiti masa kini, yang kita alami sekarang, iaitu krisis Jepun yang selepas beberapa ketika kian dilupakan. 
Berbanding dengan masyarakat moden sekarang, Jared Diamond mengingatkan, masyarakat masa lalu tidak mempunyai  ahli arkeologi dan televisyen.  Masyarakat Pulau Easther yang melakukan pembasmian hutan untuk kediaman penduduk yang bertambah dan aktiviti pertanian pada tahun 1400-an, mereka tidak mengetahui bahawa masyarakat lain yang tinggal beribu-ribu batu di timur dan barat, iaitu masyarakat Greenland Norse dan Empayar Khmer pada masa yang sama mengalami kemerosotan terminal. 
“Kini,  dengan  menonton televisyen, mendengar radio, membaca akhbar, kita dapat mengetahui apakah yang berlaku di Somalia atau Afghanistan beberapa jam sebelum ini. Dokumentari televisyen dan buku menunjukkan dengan terperinci penduduk Pulau Easter, Maya Klasik, dan masyarakat lain pada masa lalu runtuh. Justeru, kita mempunyai peluang untuk belajar daripada kesilapan masyarakat yang jauh daripada kita dan masyarakat masa lalu.  Peluang ini tidak dinikmati oleh masyarakat masa lalu.” 
Namun, hakikatnya, manusia  seperti ketika menempuh  krisis ekonomi semasa, mempunyai  memori yang pendek. Meskipun bencana alam  kini berleluasa dan tiada negara atau masyarakat yang terkecuali, namun jarang-jarang dijadikan iktibar.  Psikologi penafian menebal bukan sahaja dalam kalangan pemimpin, tetapi juga dalam rakyat jelata. Dalam masyarakat kita khususnya,  yang berleluasanya tuding jari, salah menyalahkan antara satu sama lain kerana pertimbangan politik terutamanya, jangan terperanjat jika kita tidak bersedia untuk menangani  apa-apa bencana alam . Kadangkala kita dibuaikan oleh mimpi indah bahawa sesetengah bencana itu terlalu asing bagi kita. Kita cenderung memilih untuk runtuh!  

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...